Friday, September 23, 2011

Hujung Ramadhan, Najib Rosmah bermadah helah isu cincin berlian

Oleh H FANSURI

Ketika umat Islam sedang meniti di hujung-hujung bulan Ramadan ini, nampaknya Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor masih jua tidak bersikap jujur terhadap rakyat. Pada hujung bulan ini, ialah gerakan kejiwaan untuk mendapatkan pembebasan daripada api neraka.

Bagi rakyat Libya, Ramadan itu bulan perjuangan. Dan bagi rakyat Libya, pada akhir bulan Ramadan ini maka ia bererti - wujudnya gerakan pembebasan dan kemerdekaan daripada Muammar Ghaddafi.

Tapi menjelang kemerdekaan yang makin akrab menghampiri kita ini juga, masyarakat Melayu, Muslim dan rakyat seluruhnya masih mabuk terpinga-pinga melihat gelagat ghairah Najib Razak mempertahan isterinya, Rosmah Mansor, khasnya dalam hal ehwal cincin berlian itu.

Kedudukan cincin berlian itu memanglah sah wujud. Cuma, apakah ia dibeli oleh Rosmah atau sekadar hiasan pameran, maka ia perlu disemak berkali-kali. Ramailah yang sudah membuat penafian, bahawa cincin itu sebenarnya bukanlah dibeli oleh Rosmah, sebaliknya sebagai pameran dan hiasan sahaja.

Jika ia memang untuk pameran sahaja, lalu hal itu tetap sahaja mengundang persoalan yang lain pula. Contohnya, berapakah jumlah kos untuk pameran tersebut.

Ringkasnya, akan lebih banyak timbul persoalan dan pertanyaan mengenai hal ini. Oleh sebab itu juga, Najib Razak tidak akan pernah berani menyaman akhbar-akhbar di Malaysia sebab bimbang akan lebih banyak rahsia mereka suami isteri yang bakal terbongkar.

Kompas.com menyiarkan laporan dengan lantang menyebutkan nama Rosmah, “Kehidupan Datin Seri Rosmah Mansor memang penuh dengan kontroversi”

“Mungkinkah kes cincin berlian 24 juta dollar AS ini nanti menjadi pintu perubahan dan demokratisasi Malaysia? “Hanya rakyat Malaysia sendiri yang menentukan,” tambah Kompas.com lagi. Pemberitaan itu, tentu sahaja melahirkan kejutan baharu buat Rosmah.

Ketika Rosmah terperanjat dengan laporan pemberitaan itu, maka Najib Razak tentulah sahaja beroleh kesusahan sebab kekecohan yang ditimbulkan Rosmah itu. Untuk Najib, biarlah apa pun yang melanda dirinya, semua itu ditempuhinya seperti biasa, walaupun di hatinya menggunung juga segumpal resah.

Tapi, jika Rosmah sudah mengganggu kehidupan Najib, maka terpaksa juga Najib mengambil tindakan ke atas laporan Kompas itu. Kalau tidak, Rosmah mungkin akan selalu menganggu urusan hariannya.

Sebenarnya, laporan Kompas itu tidak cuma terhenti setakat laporan cincin berlian. Malah, ia merayap kepada isu pembelian kapal selam Scorpene dan komisen tinggi yang dituntut Altantuya hinggakan hal itu mengundang korban ke atas model daripada Mongolia berkenaan.

Laporan berita Kompas.com tersebut dipetik sebagai berikut, “Perimekar Sendirian Berhad diketahui Parlimen Malaysia telah menerima wang komisyen sebanyak 100 juta euro (sekitar Rp 1.2 trilion) atas pembelian kapal selam Scorpenen buatan Perancis.

“Pada pertengahan Julai, seorang peguam Perancis, William Bourdon yang mewakili sejumlah aktivis pro-Demokrasi Malaysia yang mengugat Perimekar Sdn Bhd atas dakwaan suap dan korupsi dalam kes pembelian kapal selam Scorpene telah ditahan Imigresen Malaysia lalu dihantar pulang ke negara beliau. Tindakan itu telah memicu protes daripada pergerakan hak asasi di Malaysia seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

“Pada 23 Julai yang lepas, William yang berada di negara untuk bercakap tentang urusniaga kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, telah dihantar pulang setelah memberikan taklimat kes tersebut di satu makan malam anjuran Suaram di Pulau Pinang.

Tambah Kompas lagi, “Altantuya, puteri seorang profesor di Ulan Bator, diketahui mempunyai hubungan khusus dengan Abdul Razak Baginda, penasihat peribadi Perdana Menteri Najib Razak. Kerana menuntut terlalu banyak (komisen), akhirnya dia ditembak mati, lalu tubuhnya diletupkan.”

Demikianlah, daripada laporan berhubung cincin berlian Rosmah sehinggalah kepada isu kapal selam, maka Najib Razak cuma berani dan terdaya mendesak Kompas meminta maaf ke atas isu cincin berlian yang terkait dengan Rosmah sahaja. Manakala, laporan berhubung skandal pembelian kapal selam itu, yang khusus dikait dengan projeknya sendiri, maka Najib berlepas diri.

Pada Najib, biarlah Rosmah Mansor tidak akan bising-bising lagi, biarlah Kompas melaporkan isu kapal selam Scorpene, biarlah Rosmah puas hati walaupun imej Najib rosak dan punah teruk dibedil Kompas itu. Maruah Rosmah Mansor itulah yang lebih awla diutama.

Pendek kata, bagi Najib Razak - biarlah apa sahaja orang mahu kata kepada beliau dalam isu Altantuya, kapal selam Scorpene atau apa pun, asalkan Rosmah Mansor puas hati apabila isu cincin berlian beliau itu berhasil diredakan dan ditamatkan dengan kadar segera oleh Kompas.

No comments: