Sunday, September 04, 2011

Kuningkan 1Syawal dengan jiwa Bersih 2.0 selepas Ramadhan!

Oleh RUHI HAYATI THANI

“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isterimu adalah pakaian bagimu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka itu...” {Al-Baqarah: 187}

Hubungan pakaian dengan bulan Ramadhan tetap ada. Misalnya, diumpamakan isteri sebagai pakaian bagi suami dan suami itu pakaian bagi isteri. Hal ini termaktub dalam Al-Baqarah ayat 187.

Ramadhan adalah bulan perjuangan menewaskan hawa nafsu dan bulan melawan amalan penindasan  Perdana Menteri Najib Razak dengan kaedah berpakaian juga. Berbaju kuning pada setiap kali bersolat terawih dan mengekalkan pemakaiannya pada hari raya pertama di masjid adalah syor menarik juga.

Kini, di peringkat antarabangsa, Bersih 2.0 sudah menyerlah! Sama ada di New York dan Mesir, rakyat antarabangsa mengetahui bahawa wujudnya garis penyimpangan dan berbarislah deretan kecurangan dalam pilihan raya sejak dulu. Najib sedar ada hal perlu dilakukan demi mempertahan kedudukannya.

Usaha membuat rusuhan dan kekecohan akan terus-menerus dilakukan. Cerita Naib Canselor Unisel di Selangor dipecat dan diperbesarkan. Hal parkir kereta di Kedah diulangtayang di tv. Gelombang Merah dan Strategi Gelombang Biru yang mengukuhkan ikatan polis, tentera dengan Najib makin diperhebat!

Di Pulau Pinang, ada serangan lagi dilakukan. Dalam suatu sidang media di Komtar, George Town baru-baru ini, ada sebuah NGO pro Umno yang menghadiahkan pakaian dalam kepada pimpinan negeri.

Nama persatuan itu, Persatuan Suara Anak-anak Malaysia Negeri yang diketuai Mohamed Ghani Abdul Jiman. Dan, 'hadiah' itu diberi sebab kononnya Ketua Menteri dan beberapa pimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu termasuk Setiausaha Politik Ketua Menteri didakwa menindas rakyat negeri ini.

Lalu, tambah Mohamed Ghani, pakaian dalam bercorak harimau bintang itu dijadikan hadiah kerana ia perlambangan bahawa Lim dan Ng itu tarzan manakala pemimpin kerajaan negeri sebagai harimau.

Ghani kemudian menyifatkan bahawa, maskot kerajaan negeri bukan kucing yang mahu mengamalkan dasar cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), tetapi hakikat sebenarnya mereka harimau. Tambahnya oleh sebab wujudnya penipuan, maka mereka hadiahkan coli dan seluar dalam kepada pimpinan negeri itu.

Demikianlah cerita lucah anak asuhan Najib Razak dan Umno hari ini. Sikap ini tidak wujud barangkali dalam kalangan Umno pada zaman dahulu. Hanya mutakhir ini, Umno sudah makin hilang relevan dan lojik berfikir. Lojik Mohamed Ghani dan NGO Umno ini masih boleh dipatahkan dengan mudah.

Misalnya, ia tidak boleh diterima kerana tarzan sebetulnya tidak memakai coli kerana tarzan itu lelaki. Dan pakaian dalam bukanlah pakaian sebenar bagi tarzan itu.

Tapi dengan lojik yang salah itu pun, tetap juga pemimpin persatuan itu berkeras menganggap bahawa ia lambang kepada ketidakpuasan hati mereka sebagai rakyat Pulau Pinang terhadap kerajaan negeri yang selama ini tidak membela nasib mereka sebelum ini.

Wakil kerajaan negeri bagaimanapun tidak menerima 'hadiah' itu. Lalu, kumpulan NGO Umno itu telah menggantung coli dan seluar dalam itu di pintu masuk berdekatan lif ke pejabat Lim.

Kita boleh melihat bagaimana bentuk Pakatan Rakyat mengguna baju yang baik dan warna baik untuk menzahirkan penentangan, sementara Umno dan Barisan Nasional menggunakan pakaian dalam.

Umno dan NGO-NGO parti itu yang menganggap diri mereka sebagai umat Islam, sepatutnya bersikap baik ke atas penganut penganut bukan Islam. Janganlah mencemarkan hubungan ini hanya kerana hal politik. Sayangnya, hal ini berlaku ketika hampir Ramadhan, bulan yang mulia penuh keberkatan.

Ramadhan dan hubungannya dengan pakaian telah disebut dalam Al-Baqarah, ayat 187 di atas. Maka, lihatlah bagaimana Allah s.w.t memperlihat hubungan suami isteri dengan pakaian itu. Pakaian saling tutup menutupi aib masing-masing dan saling mengindahkan hubungan sesama memreka.

Tapi Ramadhan itu juga bulan perjuangan dan bulan revolusi. Melawan dengan pemakaian baju Bersih itu juga diharuskan dan tidak dilarang oleh agama kita. Walaupun masih melangkah bendul Ramadhan namun, tidak salah untuk kita membincangkan persiapan awal menjelang Syawal nanti.

Untuk mereka yang masih belum memilih warna baju raya, maka tempahan warna baju raya itu mesti difikirkan sekarang. Carilah warna kuning. Berterawihlah sepanjang Ramadhan ini dengan baju kuning.

Pergi awal-awal dan duduk beriktikaf di saf depan, agar Masjid Negara dan Masjid Putrajaya yang akan bersiaran langsung itu dapat menyiarkan gelagat anda yang berbaju kuning di saf-saf paling hadapan. Moga Najib Razak rasa insaf sedar terhadap perjuangan peserta Bersih sepanjang bulan Ramadhan ini.

No comments: