Thursday, September 01, 2011

Ramadhan, bulan perjuangan DBP, Dawama lawan Najib, Muhyiddin

Oleh BOESTAMAM SARI

Sabda Rasulullah s.a.w, "Ketika sesuatu urusan, amanah dan tanggungjawab itu diberi terhadap orang yang tidak sepatutnya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya."

Hadis ini tidak cuma sesuai dimuhasabah oleh Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin selepas selesai solat tarawih Ramadhan, malah ia sangat baik diabadikan sebagai bahan renungan oleh semua kita termasuklah warga DBP dan Dawama mutakhir ini.

Alkisahnya, bermula 1 Ramadan bersamaan 1 Ogos, imej suci 1Malaysia makin pudar sinarnya, kerana semangat 1DBP, 1Dawama sedang memberontak, untuk melaksanakan revolusi. Protes itu bermula sejak sekian lama. Ratusan pekerjanya mula diminta memohon cuti tanpa gaji. Kedudukan gaji pekerja 'tersangkut' ini sudah kedengaran mutakhir ini.

Hanya bermula Ramadan ini, tindakan itu berlaku secara drastik. Sengketa 'perang dingin' antara kedua-dua syarikat itu mula hangat kedengaran sekitar akhir Jun lalu. Isunya terkait dengan perkara kemerosotan jualan dan cetakan buku dan majalah terbitan DBP sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan menjadi kian meruncing dan sangat parah apabila timbul berita kononnya ada kalangan pegawai DBP dan Dawama yang tidak dapat berunding lagi dan amalan menutup pintu wujud pada ketika beberapa editor DBP mahu ke pejabat Dawama itu.

Desas-desus perkhabaran menyatakan bahawa ada tindakan di pihak DBP yang mahu melantik pihak ketiga bagi mencetak buku-buku teks untuk dibekal di sekolah-sekolah selepas ini.

Hal ini bertambah parah selepas adanya 'pesan' daripada Ketua Pengarah DBP mutakhir ini, disusuli 'memberi tempoh' kepada Dawama agar - badan itu mengatasi masalah kemerosotan jualan, percetakan buku dan majalah DBP yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Sejak 1 September 2002, Dawama diberi tanggungjawab mencetak, memasarkan bahan bacaan DBP secara kontrak. Sejak itulah, terjadinya kemerosotan jualan dan percetakan yang sangat parah. Ketua Pengarah DBP Termuzi sebelum ini pernah menjamin bahawa buku teks akan sampai di sekolah sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun depan.

Tetapi, dengan sebab 'pemberhentian' atau pemberian cuti tanpa gaji ke atas para pekerja di Dawama ini, maka segala usaha mencetak buku-buku teks dan menjual majalah-majalah bulanan terbitan DBP itu kini menjadi tergendala.

Sudah kedengaran suara ramai yang tertanya-tanya mengenai ketiadaan majalah-majalah terbitan DBP Julai lalu. Difahamkan bahawa DBP kini telah mencari khidmat orang ketiga bagi mencetak buku-buku teks dan majalahnya termasuk edaran Julai yang gagal dicetak dan dipasarkan pada Julai sebelum ini.

Selain itu, di sebalik kejadian ini semua, difahamkan bahawa ada juga kalangan pekerja Dawama yang menerima surat bank yang mendakwa bahawa mereka tidak membayar pinjaman peribadi selama ini.

Walhal potongan gaji itu dikatakan telah dibuat oleh Dawama untuk tujuan pembiayaan itu yang telah bermula November 2010 sehingga Februari tahun ini.

Apa pun yang terjadi, Muhyiddin perlu bertanggungjawab sejak daripada mula. Najib Razak turut tidak terlepas sama. Suatu suruhanjaya yang telus, adil dan terbuka perlu diusahakan segera dan kali ini biar rakyat sendiri yang campur tangan dalam urusan tersebut.

Biarlah Melayu itu sendiri yang kumpul dan mengutip duit bertujuan menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu setelah keadaan makin kronik oleh sebab BN disibukkan dengan fitnah yang mereka ciptakan.

Inilah masalahnya apabila sistem Umno, BN telah meletakkan seseorang itu bukan pada tempatnya yang sesuai. Akhirnya, dua tahun sebelum tamat tempoh kontrak (2014), maka 'kiamat' di Dawama dan DBP sudah bermula pada tahun ini.

Bulan Ramadhan itulah bulan menuntut pengorbanan teragung. Ia bulan ujian ke atas para pekerja itu dan umat tidak boleh sekadar memerhati. Selain turut membantu orang yang susah, dalam masa yang sama, mereka perlu turut bangkit dengan mengundi parti politik apa pun kecuali Umno!

No comments: