Sunday, September 11, 2011

Serunai Melayu dan Surnay Tatar, adakah dari Mongolia?

Oleh H FANSURI

Nota ringkas ini dipersembahkan buat warga revolusioner yang suka berfikir keras mencari jawapan. Pada 11 Ramadan lalu, Jejak Rasul membawa cerita tentang kesusasteraan dan kebudayaan masyarakat Tatar di Tatarstan. Tatarstan adalah negara yang baru merdeka setelah Kesatuan Soviet Rusia jatuh.

{Kini, situasi ekonomi Amerika Syarikat semakin meruncing. Apakah situasi ini menyebabkan 50 buah negeri yang membentuk kesatuan dan persekutuan United States of America boleh menuntut kemerdekaannya seperti yang terjadi ke atas Rusia sebelum ini? Masih juga kita belum menemui jawapannya}

Setelah bebas dan merdeka, barulah kita dapat mengenali sasterawan di belahan dunia Eropah Timur seperti Abdullah Tukay dan Kul Sharif. Sebenarnya, masih banyak khazanah kisah perjuangan mereka yang terpendam oleh sebab komunis Rusia menyekat perkembangan dan kemajuan mereka disebutkan secara meluas dan terbuka. Atau, mungkin juga ketiadaan inisiatif untuk mengkaji kedudukan kebudayaan dan kesusasteraan bangsa-bangsa Muslim.

Menonton Jejak Rasul pada bulan Ramadan ini, kita tentu terserempak dengan perkataan Tatar; 'surnay' yang mirip sebutannya dengan serunai di dalam bahasa Melayu. Apakah surnay itu ada kaitannya dengan serunai yang banyak dimainkan oleh bangsa Melayu? Masih juga belum ditemui jawapannya.

Bagaimanapun, dokumentari itu turut mendedahkan bahawa kebanyakan lagu tradisi dan muzik warisan Tatar banyak dilatari pengaruh Hungary dan juga Mongolia. Sempena Ramadan ini, semakin banyak pendedahan untuk Najib Razak juga jika beliau berminat dengan kerja-kerja penyelidikan ini.

Banyak persoalan yang boleh kita singkap sedikit demi sedikit jika kita punya kekuatan wang. Dengan wujudnya kalimat 'surnay' dan 'serunai', kita mesti bertanya juga, misalnya adakah pernah wujud suatu jalinan kemesraan dan hubungan muhibbah antara Alam Melayu dengan Mongolia pada suatu masa dahulu? Semoga Najib Razak dapat menyediakan inisiatif wang seperti geran penyelidikan 1Malaysia untuk kerja-kerja berfaedah ini.

Di RTM, lewat dokumentari Syahadah, turut diangkat watak akademikus baharu; Dr Tatiana Denisova daripada Rusia yang fasih berbahasa Melayu sekali gus dijemput melantunkan pandangannya berhubung perjalanan dakwah Islam di Selangor. Rasa kagum mengalir ke fikiran kita, betapa seorang wanita Rusia boleh bercakap Melayu dan mengenali perkembangan sejarah Islam di Tanah Melayu.

Ramadan ini, kita wajar bertanya Najib, jika ada orang Rusia seperti Dr Tatiana yang mengkaji sejarah Melayu, apakah tiada Melayu yang akan mengkaji sirah Islam di belahan dunia Eropah Timur (Rusia) seperti Tatarstan dan Uzbekistan. Jangan dilupakan Kazakhstan (dan negara jirannya, Mongolia) juga.

No comments: