Thursday, October 20, 2011

Abdul Aziz Bari digantung universiti, tiba waktunya menuai revolusi!

Oleh BOESTAMAM SARI

Dan, Prof Dr Abdul Aziz Bari pun sudah digantung tugasnya daripada mengajar kuliah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau bukanlah orang pertama yang menerima kesan akibat pergolakan politik di universiti itu. 

Di UIAM ada Istac yang kini telah pun 'berpindah tangan', setelah lama ia dipimpin oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Jadi, hal ini pun bukanlah perkara baharu sangat.

Selain pembaziran ilmu oleh sebab penggantungan pensyarah itu, maka universiti di negara kita ini tidak pernah menginsafi kedudukan wang mereka kini yang telah banyak mengalir keluar di tempat tidak sepatutnya. Hingga kini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membelanjakan lebih RM1.5 billion setiap tahun bagi menaja siswa sarjana muda dalam pelbagai bidang di Amerika, Britain, Australia, New Zealand, Rusia, India, Korea Selatan dan Jepun.

Antara program ijazah luar negara yang ditawarkan JPA kepada siswa adalah perubatan dan kejuruteraan di mana kedua-duanya telah ada dalam negara. Jadi, sepatutnya dana JPA itu boleh dimanfaatkan untuk menaja siswa di IPT tempatan dalam bidang profesional pula.

Kalau ini dilakukan, maka kerajaan sedang melaksanakan kaedah serampang dua mata. Iaitu Malaysia dapat kurangkan beban menaja siswa luar negara yang belanjanya makin meningkat, lalu pada masa yang sama, IPT tempatan dapat menerima siswa terbaik dalam bidang-bidang yang sedia ada.

Sebenarnya, dasar mengirim siswa ke luar negara ini dibuat ketika Malaysia cuma ada satu universiti. Kini, kita sudah mempunyai banyak universiti. Jadi, rasional JPA meneruskan dasar lama ini wajar dipersoalkan semula oleh rakyat.

Sebetulnya, bukanlah tidak boleh menghantar siswa ke luar negara. Tapi hendaklah dipastikan cuma pasca siswazah sahaja yang ditaja. Oleh itu, JPA dan Mara boleh menaja mana-mana siswazah yang mendalami mana-mana kursus yang masih belum tiada dalam negara.

Tetapi, betapa malangnya, hari ini wang kerajaan yang diharapkan dapat menaja pasca siswazah itu telah digunakan untuk kumpulan mahasiswa pasca siswazah luar negara. Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata, seramai 110 pelajar antarabangsa terbaik dari 27 negara akan terima Biasiswa Antarabangsa Malaysia (MIS) tajaan Kementerian Pengajian Tinggi dengan jumlah RM10.9 juta!

Tambahnya, peruntukan ini bertujuan membiayai pengajian pelajar luar negara di peringkat sarjana, ijazah kedoktoran dan pasca kedoktoran. Perkara ini, menurutnya, tertakluk di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bertujuan menarik bakat luar negara belajar di negara ini.

Ketika mencatatkan perihal ini, telah belasan ribu pelajar Matrikulasi tidak mendapat tempat gara-gara universiti penyelidikan sudah mengurangi jumlah pengambilan matrikulasi itu. Ini semua adalah modal untuk bersaing bagi mendapatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa.

Dalam keadaan jumlah pelajar Matrikulasi dikurangi, dan pelajar terbaik dihantar ke luar negara untuk mendalami ilmu yang sudah ada dalam negara ini, maka mengalirlah wang kita ke negara luar dengan penghantaran pelajar sarjana muda dan membanjirilah wang kita kepada pelajar sarjana, kedoktoran dari luar negara itu.

Melalui dana itu kata Khaled Nordin, setiap siswa sarjana luar negara akan terima jumlah wang sebanyak RM65,600 seorang manakala siswa kedoktoran pula menerima RM106,500. Selain itu, pelajar pasca kedoktoran RM111,600 sepanjang tempoh pengajian mereka di sini!

Kata Khaled, hal pemberian biasiswa itu bukan saja memberi peluang kepada pelajar dari negara lain, tapi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara negara dan membolehkan kita mendapat pelajar terbaik untuk belajar dalam negara kita.

"Malah, kesan daripada itu juga dapat meningkatkan kefahaman mereka tentang negara kita, membangunkan jaringan, selain mereka sendiri memainkan peranan menghebahkan kekuatan negara kita dalam penyediaan pengajian tinggi, katanya Khaled lagi, tanpa dia menyedari bahawa dasar itu sudah pun membunuh peluang pelajar kita sekali gus menutup peluang untuk membangunkan penyelidikan anjuran pelajar tempatan.

Kenyataan Khaled tidak cuma terhenti setakat itu. Beliau berkata, bahawa sejak tahun 1999 lagi telah pun ada sekitar 562 anugerah biasiswa ditawarkan kepada pelajar antarabangsa, malahan daripada jumlah itu, terdapat seramai 149 siswa luar yang mengambil kursus sarjana dan kedoktoran, masih aktif dan sedang mengikuti pengajian di Malaysia.

Rupa-rupanya, KPT juga memutuskan sebagai berikut, iaitu siswa antarabangsa yang cemerlang ketika mengikuti ijazah pertama di negara ini turut diberi peluang berkhidmat di Malaysia selepas menamatkan pengajian masing-masing.

"Pelajar yang sangat baik kita akan mencadangkan kepada Jabatan Imigresen untuk mereka mencari pekerjaan di dalam negara kita. Kita mahu negara kita mempunyai banyak (pelajar) PhD bagi tujuan untuk menjayakan matlamat negara yang ekonominya berasaskan kepada inovasi," kata Khaled lagi. Ini tentu sahaja bermaksud, peluang kerjaya profesional sudah beransur hilang untuk mahasiswa tempatan.

Begitulah kenyataan menteri pengajian tinggi yang kedudukan beliau itu bukanlah seperti mentari yang setaraf mentari yang mengirim pencerahan abadi buat semua kita. Anak kera disusukan, sedangkan anak sendiri mati kehausan. Dagang lalu diberikan makan, suami sendiri yang kelaparan.

Dan inilah menteri pengajian tinggi yang diangkat dan dipilih oleh Perdana Menteri Najib Razak. Moga dengan penggantungan Dr Abdul Aziz Bari ini, kita semua akan celik mata ke atas semua kejahatan perilaku BN, sekali gus bersedia pula semua kita menggalas amanah mencetuskan revolusi!

No comments: