Wednesday, October 19, 2011

Mansuh ISA tidak bererti jika warga Bangla boleh mengundi

Oleh RUHI HAYATI THANI

Najib Razak mengharapkan bahawa pemansuhan ISA akan memulihkan imej dan reputasinya. Tapi, hal itu tidaklah membuatkan rakyat melonjak keriangan kerana rata-rata mereka masih meragui penipuan yang sedang dijalankan oleh Perdana Menteri dan jentera-jentera pilihan rayanya.

Telah menjadi pengetahuan umum bahawa pilihan raya akan semakin mendekat. Sama ada Mac tahun depan atau pun dalam tempoh terdekat selepas tamat hari raya ini. Berucap kepada jemaah haji baru-baru ini, Najib Razak berpesan kepada mereka agar berdoa di Mekah agar Malaysia aman.

Ini bermaksud, sezalim-zalim Najib, dia masih percaya dengan kerohanian Islam, iaitu antara doa yang dimakbulkan itu, adalah doa di Mekah, depan pintu Kaabah, iaitu Multazam. Doa agar negara ini aman adalah doa, harapan dan impian Najib agar Malaysia terus aman di bawah kepemimpinannya.

Ini bermaksud, Najib ingin menang lagi, tetapi harapannya di sebalik anjuran doa itu dikatakan dengan penuh tersirat. Tetapi, Najib terlupa suatu hal – iaitu kepincangan yang terjadi dan suasana yang tidak aman ini pun berlaku dengan sebab sikap beliau yang selalu mencetuskan huru-hara dalam negara.

Misalnya, bagaimanakah negara ini akan terus-menerus aman jika Najib sendiri yang mendalangi coup d'etat, rusuhan penggulingan ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak secara revolusioner?

Selain itu, rakyat pun makin meragui semua deretan sikap zalim Najib yang melibatkan juzuk ekonomi, pendidikan dan ketelusan pilihan raya yang sudah lama dituntut oleh Bersih 2.0.

Kembali kepada ISA, umat sedang bertanya – apakah Najib Razak pernah meminta maaf kepada rakyat yang teraniaya di bawah ISA itu? Sepertinya Najib tak akan meminta maaf. Sebaliknya beliau umumkan pemansuhan itu dengan harapan agar rakyat akan mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Ucapan terima kasih sebab Najib mengurangi sedikit kejahatan dan kezalimannya, sememangnya tiada makna apa-apa terhadap pembangunan akliah. Ini kerana, soalan yang rakyat bangkitkan seterusnya – berapakah jumlah pampasan yang Najib Razak akan beri kepada mereka yang teraniaya sebelum ini?

Manakala ke atas rumah tangga yang bercerai-berai oleh sebab penahanan ISA ini, berapa pula jumlah wang pampasan yang sepatutnya diterima oleh tiap-tiap ahli keluarga tahanan ISA itu?

Dan, banyak lagi persoalan yang boleh dimajukan kepada Najib Razak ini. Tiba-tiba, ketika Najib Razak berusaha keras menyucikan wataknya itu maka timbul laporan lagi di Bernama berhubung kedatangan warga Bangladesh yang didakwa akan memiliki darjat dan taraf kewarganegaraan yang sah.

Mendengarkan kisah ini, Muhyiddin Yassin pun tergesa-gesa bertindak. Katanya, beliau akan meminta pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh menyemak semula perkara berkenaan, sama ada ia benar atau tidak, demikian laporan Bernama dipetik sebagai berkata.

Walaupun Muhyiddin menafikan, tetapi khabar itu datang sendiri daripada laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina. Laman itu menyiarkan dakwaan bahawa ada pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan asalkan mengundi parti pemerintah (Umno).



Sejak tahun lepas, Pejabat Perdana Menteri Bangladesh itu dikatakan menerima pengesahan daripada para pekerja Bangladesh di Malaysia bahawa mereka kini telah pun diberi taraf kewarganegaraan.

Menurut laman itu, Hasina bertemu Najib; sekali gus mendakwa PM memberi jaminan menimbang isu itu ketika beliau (Hasina) berada di Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia 66 Ekonomi Islam di Kuala Lumpur pada Mei 2010. Kita menunggu Najib membuat penafian setelah penafian dibuat Muhyiddin.

Tidakkah kebanjiran warga Bangladesh ini juga merupakan suatu ancaman kepada rakyat? Ramai yang tak berasa aman kehadiran warga Bangla ini. ISA sudah tentu tidak wajar digunakan untuk tujuan ini. Tapi, yang kita ingin hebahkan di sini hanya satu - ISA hanya berfungsi menahan seteru politik Najib.

Warga Bangla bukan mengancam Najib Razak. Jadi, apa yang Najib pedulikan sangat jika ada kalangan Bangla yang mengancam kedudukan Melayu di tanah tumpah mereka sendiri? Najib tidak mempeduli nasib rakyat walau beliau kerap menunjukkan kedudukannya sebagai watak pendengar luahan rakyat.

Wartawan Bernama yang melaporkan kegiatannya seharian, adakah dipedulikan? Mungkinkah jua ada kaedah yang disusun Bernama dengan penyiaran berita berhubung 'kewarganegaraan' Bangladesh ini?

Kita memiliki filem Qaisy dan Laila yang mana penggambarannya dibuat di Afghanistan. Jadi, tidakkah boleh Najib menerbitkan filem tentang riwayat jurugambar Bernama yang bertarung nyawa di Somalia tanpa baju kalis peluru walhal Abdul Azeez Abdul Rahim dibiar terus mengampunya dengan jaket kalis peluru? Kini, umat tuntut keadilan dan menolak sikap tidak pentingkan diri sendiri yang ada padanya.

Dan, baru-baru ini, Najib menyeru ahli-ahli Umno supaya terus menyokong BN dan jangan pertikaikan calon BN yang beliau pilih jika mereka mahu merampas Selangor. Jadi, ke atas ahli Umno sendiri, Najib tidak peduli suara mereka. Lalu, ke atas suara hati warga Bernama dan rakyat semua ini apatah lagi?

Hal pemilihan calon Umno-BN harus diserahkan kepada pucuk pimpinan, begitu kata Najib. Jadi, di sini kita sudah boleh melihat warna sikap dan wajah tembelang Najib itu.

Semua sikap luaran ini menunjukkan Najib kini terpaksa berdepan dengan krisis penentangan dalaman Umno . Gelora ini hanya dapat dirasai jika kita dapat menyelaminya. Jadi, pemansuhan akta drakonian ini tidak bermakna apa-apa melainkan ia cuma perkakas Najib untuk mengalih perhatian kita daripada terus menyemak periksa kewarganegaraan Bangladesh yang maha serius itu.

No comments: