Saturday, October 22, 2011

Bukan saja Komunis China, Israel Apco pun Umno sokong kerana keuntungan peribadi

Oleh RUHI HAYATI THANI

Kepada mereka yang belum mengerti cara aturan dan corak olahan Umno berfikir, maka renungkanlah kedua-dua falsafah ini; 'the right is might' dan 'the might is right'. Ajaran 'the right is might' itu bererti, 'kebenaran itu berkuasa', dan lawannya adalah, 'the might is right', iaitu yang berkuasa itu yang benar.

Maka, dalam hal ini, Umno akan selalu melihat mereka yang menang dalam pertarungan akan selalu benar. Kebenaran sebagai sesuatu yang berkuasa (the right is might) tidak pernah dianggap sebagai keramat atau pun kebenaran tidak pernah diangkat, dimuliakan dan dijulang.

Bukti mudah, komunis di Malaya telah dihilangkan kuasanya oleh penjajah British, lalu komunis hari ini dihina di Malaysia sebagai alat untuk mengecam pembangkang dan Mohamad Sabu.

Tetapi, di China, komunis telah berjaya merebut kekuasaan negara. Maka, oleh sebab itu, Umno telah meraikan parti komunis di China. Ini kerana, komunis di China telah merebut kekuasaan.

Maka, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak boleh jalinkan hubungan dengan kerajaan komunis di China. Timbalan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin boleh bermesyuarat sekali gus menemui Setiausaha Agung Parti Komunis China, Dr Sun Zhengcai.

Tulisan ini cuba menjawab pandangan seorang teman yang mengkritik mesyuarat TPM Muhyiddin Yassin dengan pihak parti komunis di China itu.

Katanya, Muhyiddin tidak mengenali beza antara parti komunis dan kerajaan komunis China. Katanya, hubungan diplomatik terbentuk antara kerajaan China dengan kerajaan Malaysia.

"Jadi, alasan mahu menjaga hubungan diplomatik antara dua negara dengan menghadiri jamuan Parti Komunis China adalah alasan yang lemah," kata beliau. "Ini kerana, Dr Sun Zhengcai adalah pemimpin Parti Komunis China." Saya setuju dengan pendapat ini, tapi izinkan saya sebut isu lain juga; ekonomi.

Ada dakwaan yang menyatakan bahawa jamuan makan itu adalah anjuran Parti Komunis China dan jamuan bukan anjuran kerajaan China sepenuhnya. Kita boleh tuduh Muhyiddin mengkhianati askar yang berjuang menentang Komunis Malaysia.

Tetapi kita juga mestilah mengetahui asas apa yang dipegang Muhyiddin itu. Ia bukan lagi soal ideologi negara, tapi kaitan ekonomi negara atau mungkin dikait dengan ekonomi peribadi pimpinan Umno itu.

Sila semak jawapan Muhyiddin, "Hubungan diplomatik kita dengan China adalah yang terbaik buat masa sekarang dan yang kedua dari segi eksport global. Kita ada hubungan yang rapat dalam perdagangan dan industri, pelaburan. Saya tidak melihat isu sedemikian sebagai satu halangan."

Tambah Muhyiddin lagi, "Hubungan antarabangsa adalah normal bukan hanya bagi Malaysia. Negara-negara demokrasi yang lain seperti Amerika juga ada hubungan dengan China kerana hubungan antarabangsa boleh membawa manfaat yang besar, bukan kita menganuti ideologi mereka. Itu hak mereka, urusan negara mereka."

Ke atas isu komunis yang Umno momokkan dengan Mat Indera dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, maka Muhyiddin berkata, "Tiada apa-apa kaitan dengan isu Mat Sabu. Hubungan negara kita dengan China adalah yang terbaik. Persoalan mengenai komen Mat Sabu adalah isu dalaman."

Jadi, jelaslah di sini bahawa Muhyiddin dan kelas pimpinan Umno tidak menghitungkan soal benar dan salah lagi. Tentera kita boleh ditipu oleh Umno dan hal itu bukanlah sesuatu yang sulit dilakukan.

Apabila komunis menang di China menumbang maharaja, maka hubungan Umno dan Parti Komunis di China hari ini masihlah boleh terjalin walau dahulunya, hubungan Sultan Melaka dan Maharaja China memang pernah wujud juga.

Ini semua disebabkan kuasa wang yang menjadi penentu ke atas usahasama itu dan tidak lagi ideologi. Inilah juga yang menyebabkan berlakunya urusan pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis yang melibatkan keuntungan ke dalam kantung Najib Razak yang terhasil atasnamakan negara.

Inilah jua yang menyebabkan terjadinya hubungan perdagangan rahsia antara Malaysia - Israel dan ia mungkin membabitkan individu tertentu di dalam Umno sendiri.

Oleh sebab wang dan keuntungan, maka persoalan ideologi komunis di China dan ideologi Apco Israel itu sudah tidak penting lagi. Apatah lagi, jikalau urusan urusniaga yang dilaksanakan atas nama negara itu, sebenarnya boleh mengaut keuntungan peribadi tertentu dalam Umno itu sendiri.

Kapal selam Scorpene adalah antara deretan contoh, bagaimana urusniaga atas nama negara itu boleh dijadikan sebagai keuntungan milik peribadi Najib.

No comments: