Oleh BOESTAMAM SARI
Tiba-tiba, Mohamad Sabu (Mat Sabu) digelar Utusan sebagai watak yang dipercayai sebagai ahli politik pertama yang didakwa di mahkamah atas tuduhan mentohmah polis dan keluarga mereka dalam satu serangan di Bukit Kepong itu. Bunyi pertuduhan itu adalah, Mohamad Sabu memfitnah polis dan ahli keluarga mereka yang mempertahan diri dalam serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950 dengan tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Dendam Umno ini boleh saja diapi-apikan selalu ke atas polis sementara menunggu detik pilihan raya berlangsung. Taktik Umno dalam drama kali ini ialah – usaha 'menyibukkan Anwar Ibrahim dengan kes liwat dan merosakkan imej reputasi Mohamad Sabu dan PR dengan fitnah mengenai komunis.'
Semua taktik 'menyibukkan dan merosakkan' ini akan berlangsung terus-menerus selepas suatu ketika dahulu, Utusan (dengan bantuan Umno) telah merosakkan imej, dan reputasi Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kini, tiba pula giliran Mohamad Sabu.
Semua ini akan melalaikan rakyat teramai yang sudah memihak kepada Pakatan Rakyat daripada sibuk menyemak ke atas masalah kerakyatan Bangladesh, Indonesia dan Myanmar demi pilihan raya 13.
Beberapa hari lalu misalnya, sudah pun tersiar di muka depan sebuah akhbar mengenai beberapa kad pengenalan yang berselerak dan bertaburan di atas jalan raya. Sepatutnya, hal ini membuatkan rakyat menjadi semakin sibuk bertanya mengenai kedudukan kerakyatan segera itu.
Berteraburnya kad pengenalan misteri itu, mengundang fikiran ke atas dua hal. Pertama, mungkinkah terjadi rompakan ke atas segolongan manusia, lalu kad pengenalan mereka ditinggalkan perompak di atas jalan raya? Kedua, yang lebih merbahaya ialah kemungkinan wujudnya suatu sindiket rahsia untuk membuat kad pengenalan secara haram yang mana semua ini akan dihalalkan oleh Umno.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), perlu menjawab beberapa persoalan di bawah ini.
Sehingga kini, khabarnya, seramai 170,818 pengundi misteri memegang kad pengenalan dengan kod 71. Kini dikatakan sudah ada 57.32 peratus atau 97,923 dalam kalangan mereka itu adalah pengundi berdaftar di bawah negeri naungan Pakatan Rakyat.
Di Kedah sahaja telah ada seramai 5,793 orang. Di Pulau Pinang pula telah dikesan ada kira-kira 12,799 orang manakala di Kelantan pula ada 15,345 orang sementara di Selangor pula ada 29,758 orang.
Di Perak pula, ada 16,680 orang. Di dalam Wilayah Persekutuan 17,548 tersenarai masuk dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi suku ke-2 pada tahun ini.
JPN juga baru-baru ini mendedahkan bahawa - sejak 1998, hanya 37 warga Bangladesh yang diberikan kerakyatan. Seorang penduduk tetap yang pernah memohon kerakyatan mendakwa bahawa pegawai Imigresen telah memberitahunya bahawa – antara tugas utamanya, jika beliau telah diberi kerakyatan - ialah mengundi 'parti pemerintah' (Umno).
Menurut rekod, jumlah terkini menunjukkan bahawa warga Indonesia dan Bangladesh berada dalam senarai teratas, antara pendatang asing yang datang secara haram ke negara ini. Keseluruhannya, ada dimuatkan catatan bahawa sudah ada 2,040,709 buruh asing dan pendatang haram yang didaftarkan.
Yang mengeluh mengenai kehadiran warga asing ini adalah penguatkuasa yang sudah lali menangkap mereka termasuk rakyat yang telah terkena tempias ekoran kehadiran warga asing ini. Tapi Umno dan kapitalis tidak peduli semua ini kerana jumlah ini adalah aset untuk menang dalam pilihan raya kali ini.
Perkembangan mutakhir ini amatlah menggerunkan kita semua. Di celah-celah hiruk-pikuk Najib Razak mendeklamasikan sajak jahiliah saban malam kononnya beliau perwira negara, maka rakyat dikejutkan dengan penemuan ke atas jumlah 'pengundi asing' Najib Razak di bahagian Parlimen Pekan.
Umat tentu sahaja mendesak Najib Razak agar memberi penjelasan ke atas hal penempatan Myanmar dan Kemboja yang besar di dalam kawasan Parlimen Pekan. Kebanyakan mereka ini, khabarnya sudah pun menjadi warganegara Malaysia sepenuhnya.
Kepada yang terlupa, maka hendaklah diketahui bahawa pada 1999, Najib Razak terselamat daripada digulingkan oleh rakyat Pekan. Dengan bermodalkan undi pos sahajalah, maka Najib akhirnya menang dengan undi majoriti kecil, iaitu 200 undi lebih sahaja.
Sedar dengan penolakan rakyat Pekan ke atas Najib, lalu beberapa kawasan baru mula dibuka dengan usaha menempatkan orang ramai ke sana. Kalangan mereka ini diberi tanah sebagai penempatan baru sekali gus didaftar sebagai pengundi di Pekan. Ramai kalangan mereka di Pekan hari ini adalah bangsa Myanmar dan Kemboja yang meneroka tanah di Tanjung Agas, Sekukuh, Merchong dan Sungai Miang.
Kini hampir keseluruhan mereka menjadi rakyat Malaysia sekali gus terdaftar dalam senarai pengundi di Pekan, Pahang. Dan, Najib akan terus berdeklamasi sajaknya saban malam sambil media Umno akan berterusan menjebak Anwar dan Mat Sabu bertujuan melalaikan umat dengan fitnah liwat – komunis.
No comments:
Post a Comment