Saturday, October 29, 2011

Bukan Seksyen 15 AUKU saja, malah hal keizinan NC pun patut mansuh

Oleh RUHI HAYATI THANI

Bukan hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) juga turut menambat perhatian orang-orang yang zalim dalam Umno ini. Nampaknya, penzalim sendiri tidak sukakan akta zalim yang meragut hak untuk berpolitik dalam kalangan mereka sendiri.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akhirnya sudah mengeluarkan kenyataan bahawa Seksyen 15 Auku itu perlu dimansuh. Bagaimanapun, berbeza dengan siswa haluan kiri lainnya yang mendesak Auku dimansuhkan terus, Khairy sebaliknya hanya mendesak seperenggan itu sahaja yang dimansuhkan.

"Kita tidak mahu AUKU dibuang sama sekali kerana yang kita mahukan hanyalah perkara tertentu dalam akta ini dilihat semula terutama berkaitan yang membenarkan mahasiswa berpolitik," kata Khairy di dalam suatu sidang medianya baru-baru ini.

Kata beliau, pihak Pemuda Umno pernah membuat kajian terhadap hal ini. Lantas beliau mendesak supaya kerajaan memberi perhatian sewajarnya. Ini kerana, katanya, desakan ini turut melibatkan pendapat mahasiswa kebanyakan universiti.

Kata-kata Khairy ini bermakna, beliau telah berbicara dengan siswa-siswa itu. Suara Khairy itu mungkin juga luahan rasa siswa yang ingin melibatkan diri ke dalam Umno secara sah, walaupun mereka sedar bahawa sebelum ini pun mereka sudah berpolitik secara senyap-senyap dengan restu Naib Canselor dan limpah perkenan Timbalan Naib Canselor di kampus masing-masing.

Yang agak ganjil, tidak pula siswa-siswa Aspirasi di dalam universiti itu berani mengangkat suara mereka sendiri untuk menuntut hak mereka berpolitik secara bebas. Mereka terpaksa juga mengguna suara orang luar, iaitu suara Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno yang terlepas bebas daripada tindakan Auku.

Mahasiswa Aspirasi itu sendiri menyedari bahawa kenyataan mereka berhubung hal pemansuhan Seksyen 15 AUKU itu memerlukan keizinan NC, TNC HEP terlebih dahulu. Ini kerana, tidak semua NC dan TNC boleh bersetuju Seksyen 15 ini dimansuhkan. NC dan TNC hanya mengikut kata Khaled Nordin sebenarnya dalam hal ini.

Di peringkat KPT, yang benar-benar ingin Seksyen 15 dimansuhkan hanyalah timbalan KPT, iaitu Saifuddin Abdullah. Sedangkan Khaled Nordin tidak berminat. Malah, Ibrahim Abu Shah sendiri pernah berdebat dengan Saifuddin di TV3 dengan menolak keras tuntutan Saifuddin agar mahasiswa itu dibenarkan berpolitik secara bebas.

Maka Aspirasi-Umno sangat menyedari hakikat ini. Iaitu, hakikat bahawa NC dan TNC Umno yang dilantik Khaled di kampus ini tidak berminat berminat dengan idea pemansuhan Seksyen 15 Auku itu. Sesetengahnya mungkin berani bercakap jika ternampak jelas tanda-tanda bahawa Khaled Nordin bersetuju dengan pemansuhan seksyen tersebut.

Kesimpulannya, tidak semudah itu Aspirasi Umno mahu membuat kenyataan bagi memansuhkan Seksyen 15 itu. Maka, sebab itu terpaksa digunakan orang luaran seperti Khairy Jamaluddin yang tidak boleh dibatas Auku.

Kenapa Aspirasi tidak boleh mengeluarkan kenyataan mereka sendiri? Ini kerana, Aspirasi Umno tahu bahawa di dalam Auku itu terkandung di dalamnya fasal mengenai perlunya mendapat izin NC dan/atau TNC terlebih dahulu sebelum mengeluar kenyataan tentang pemansuhan seksyen itu.

Jadi sebab itulah kita nyatakan di sini, tidak cuma Seksyen 15, malahan ruang untuk mahasiswa berbicara kepada media itu pun tidak diberi sepenuhnya. Mahasiswa kini perlu meminta izin daripada pentadbir universiti, NC dan/atau TNC HEP sebelum bercakap kepada akhbar.

Pendek kata, Khairy jangan fikir Seksyen 15 itu sahaja yang menyekat. Malahan, di sana ada fasal lain yang turut sama menyekat gerakan siswa kampus termasuk membataskan kebebasan akademik pensyarahnya sekali.

Ada bagusnya juga saat Khairy mengambil ruang kesempatan ini untuk memansuhkan Seksyen 15 itu, seiring dengan pemansuhan ISA yang dilaksanakan oleh Najib Razak baru-baru ini. Kata Khairy, selepas membuat transformasi politik dengan pemansuhan ISA ini, kerajaan perlu juga teliti syor pembabitan siswa dalam politik. 
 
Sekali lagi, Khairy mesti sedar juga bahawa, tiada ertinya jika mahasiswa boleh berpolitik, tapi untuk berbicara, tetap perlu meminta izin NC dan/atau TNC HEP juga. Jadi, di manakah ertinya kebebasan berpolitik sementara lidah siswa masih dibatasi keizinan pentadbir universiti?

Hal meminta keizinan ini sangat berkuasa sehingga ramailah pensyarah pun kadangkala disekat untuk membentang kertas kerjanya di luar negara. Inilah usaha terbaru yang mesti Khairy Jamaluddin laksanakan bersama gabungan pemuda Pakatan Rakyat selain usaha memansuhkan Seksyen 15 AUKU itu.

No comments: