Oleh H FANSURI
Setakat diketahui hingga ini, Cinta Madinah ditarik daripada diajar kepada pelajar. Alasan - konon kementerian tidak mahu unsur Islam hadir dalam novel itu. Hingga catatan ini ditulis, secara peribadi, belum diketahui apa kerangka fikir para pembuat dasar ini.
Dahulu, pengaruh Anwar Ibrahim dalam Umno itulah yang mewujudkan Dasar Penerapan Nilai Islam pada 1985 selepas Anwar dan kumpulannya menyerap dalam Umno pada 1981.
Perhatian! Umno saat itu tidak teragak-agak menamakan 'Islam' ke atas nilai-nilai itu. Maka ada 11 nilai yang dimajukan iaitu, Amanah; Tanggungjawab; Ikhlas; Dedikasi; Sederhana; Tekun; Bersih; Berdisiplin; Bekerjasama; Berbudi Mulia; dan Bersyukur.
Nilai-nilai ini boleh disarung sebagai landasan pendidikan negara melalui sastera jua. Oleh sebab sastera berkembang sejalan dengan penulisan novelis, maka apa salahnya dipilih novel Islami yang mewakili nilai-nilai di atas untuk diasuh ke atas para pelajar?
Sejak Reformasi 1998, penerapan nilai Islam merosot dengan 'kemajuan' fitnah. Sastera Islami dicabut daripada pendidikan. Ketika ini sikap Umno yang inginkan Hudud itu boleh disukat. Jika persuratan dan kesusasteraan Islami tercabut, agaknya apa sikap Umno ke atas Hudud?
Rupanya penarikan novel Islami bukan baru. Kata seorang rakan, antara yang terkena tempias itu - 'Mereka Yang Tertewas' (Hassanuddin Mohd Isa) yang dikeluarkan sebagai teks Sastera SPM.
Baru-baru ini, ada gegaran berikutan keberanian lima penulis yang membuat laporan polis. Khabarnya, ada laporan menyusul kepada SPRM. Hal ini dikait dengan royalti yang tidak dibayar.
Antaranya melibatkan sajak Amy Suzani Mohd Ainuddin (Seorang Insan Istimewa) dalam antologi Apologi Kepada Alam (Nur-Ilmu Sdn Bhd) yang terpilih sebagai teks Komsas.
Dan ramai lagi penulis yang tidak dibayar upah setimpal. Hingga kini, antara penulis lain yang tersenarai dalam memperjuang hak mereka adalah Rohani Deraman, Hazama Harun, Mohd Izan Abd Hazes dan Erda Roslan Khairi.
Itu deretan penulis yang diketahui. Mungkin lebih ramai yang bernasib malang. Begitulah adanya. Novel Islami ditarik daripada Komsas. Dan, kalau karya mereka tersenarai sebagai teks Komsas, maka timbul pula isu royalti tidak dibayar.
No comments:
Post a Comment