Wednesday, October 26, 2011

Jika Najib tolak Hudud, usah bicara soal Maqasid Syar'iyyah

Oleh BOESTAMAM SARI

Isu Hudud sengaja diputar kembali oleh Umno, bertujuan menjauhkan fikiran rakyat terhadap usaha Bersih menjernihkan senarai daftar pemilih termasuk isu kerakyatan Bangladesh, Indonesia, Kemboja di Pekan, Pahang yang berjumlah ratusan ribu secara keseluruhannya itu.

Justeru, apakah kita tidak boleh langsung mengikut rentak Umno untuk ikut berbicara mengenai hal hukum Hudud itu? Jawapannya boleh, tapi janganlah kita hanyut terus, terbuai oleh putaran isu-isu politik yang ombak badainya menggila ganas mutakhir ini di televisyen mahu pun di dada akhbar. Pendek kata, kita semua mestilah sentiasa berwaspada selalu.

Terhadap isu hukum Hudud ini, kita mesti jelas bahawa Umno sememangnya anti Hudud. Perkara ini amat jelas. Kita tidak perlu teropong sikap Umno ini berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah kerana mereka memang menolak Al-Qur'an. Memadai kita menggunakan asas dasar falsafah pemikiran Melayu.

Oleh sebab Umno mengaku bahawa parti mereka berjiwa Melayu, lalu kita teringat pepatah Melayu yang menyatakan, "Kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak, maka seribu dalihnya." Maka, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak sememangnya bersepakat dalam perkara ini.

Kesepakatan mereka terzahir lewat ucapan seperti berikut: "Hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan lagi sebab suasana belum kondusif!" Lalu Muhyiddin Yassin dan Najib Razak tidak hanya terhenti kenyataan mereka setakat itu. Mereka melapikkan hujah, mendandan hias bicara kata mereka dengan fatwa ulamak yang sependirian dengan mereka. Demikianlah yang terus Umno lakukan kerana mereka anti Hudud dalam diam.

Kita mengetahui bapa Muhyiddin adalah guru agama kerana terpecah berita mengenai Mat Indera baru-baru ini. Bapa Muhyiddin itu guru agama kepada Mat Indera yang tidak merestui percintaan antara pejuang kemerdekaan itu dengan anak gadisnya, iaitu kakak Muhyiddin. Tapi, ini bukan isu Mat Indera dan soal percintaan pejuang kemerdekaan itu ataupun kisah ayah Muhyiddin.

Ini adalah perihal kedudukan Muhyiddin sebagai anak kepada seseorang guru agama. Nampaknya, fahaman agama Islam yang murni asuhan ajaran ayah itu tidak pernah turun kepada anaknya. Panduan agama, pedoman kerohanian tidak meresap masuk lantas menusuk ke dalam kalbu Muhyiddin itu.

Najib apatah lagi. Dengan faktor kegelapan tadbiran ayahnya Tun Abdul Razak, apa yang boleh kita harap kepadanya? Sekurang-kurangnya di tahap awal, Muhyiddin sebagai anak guru agama boleh diharap untuk menyekat faham sekular Najib Razak yang bertopeng di balik pidato Maqasid Syar'iyyah baru-baru ini. Tetapi, kini Muhyiddin mengecewakan. Najib pula memang tidak boleh diharap langsung.

Pidato Najib Razak yang menyentuh perihal Maqasid Syar'iyyah itu tidak bermakna apa-apa pun jika Umno di bawah kepemimpinan Najib tidak berhasrat menetapkan Hudud sebagai lambang kepada perjuangannya.

Akhirnya, kemelut yang berlaku ini menyebabkan rakyat sedar suatu hal. Iaitu, Umno bertuhankan undi. Jika umat ingin Hudud, maka Umno akur desakan itu. Namun, jika Umno akur dengan desakan umat yang mahu Hudud itu sekali pun, Umno tetap bermasalah juga. Umat boleh rosak lalu menolak Hudud, lalu Umno akan berpatah balik kepada dasar lamanya, dengan menolak Hudud.

Sebaliknya, jika Umno bertuhankan Allah, nescaya telah lama mereka membuat keputusan itu biar pun terdapat bantahan di pihak rakyat. Maka, wajiblah Umno bermuhasabah mengenai niat mereka menggembar-gemburkan isu Hudud ini. Apakah ia jujur dan ikhlas?

Rakyat tahu bahawa Hudud itu senjata Umno untuk alihkan perhatian umat ke atas tuntutan Bersih dalam pilihan raya. Selain itu, ia boleh menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mula goyah.

Namun, Allah s.w.t maha berkuasa menentukan segalanya. Akhirnya, hukum Hudud sudah berubah rupa menjadi senjata makan tuan pula. Terbaru, MCA mengeluarkan notis ugutan bahawa pihaknya akan keluar BN jika Umno mahu melaksanakan hukum Hudud. Muhyiddin menjadi kecut mendengar ugutan tersebut. Lalu, dikatakanlah bahawa Chua Soi Lek tidak jelas dan kurang faham berhubung kedudukan isu hukum Hudud tersebut.

Maka, pucat cuak juga Muhyiddin. Resah gelisah ini seperti pepatah, "Ditelan mati emak, diluah mati bapak!" Tapi, Muhyiddin dan Najib mesti membuat pilihan sama ada mahu mati ibu atau bapa.

Mereka tidak boleh pendamkan isi hati. Mereka mesti pilih samada ingin telan kenyataan bahawa mereka ingin laksana Hudud atau mahu luah perasaan untuk laksanakan Hudud. Hudud itu penentu sukatan, piawai dan kayu ukur yang menentusahkan keislaman Umno.

(Kita bersangka baik Umno melaksanakan Hudud sebab ada kenyataan terzahir bahawa Hudud boleh terlaksana jika ada suasana kondusif.)

Yang lain, kita boleh tolak ansur dengan debat berterusan. Namun, yang menyakitkan hati adalah sikap Najib Razak yang bercakap sesuka hati mengenai Maqasid Syar'iyyah yang dirumus khusus bertujuan menjaga lima kemaslahatan insan semua - jiwa, keturunan, harta, maruah dan agama.

Kepada penolak Hudud ini, hanya sembilan kata, "Jikalau takut laksanakan Hudud, usah bicara soal Maqasid Syar'iyyah."

No comments: