Sunday, October 30, 2011

Kongres Gapena suram, royalti tertunggak, TPM bukan wira pemansuh PPSMI

Oleh RUHI HAYATI THANI

Baru-baru ini di dalam kongres anjuran Gapena, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan tunduk terhadap gesaan pertubuhan Page yang mahu dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu dikekalkan sebagai dasar 'option'; pilihan yang diamalkan di kebanyakan sekolah-sekolah aliran kebangsaan.

Ramai 'pejuang bahasa' yang sudah tua, generasi lama berasa gembira terhadap kenyataan ini. Tapi, apa pun yang terjadi, jangan dilupakan bahawa hal ini terjadi kerana terdapatnya beberapa desakan yang berulang-ulang oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) sehingga geloranya memuncak di jalanan.

Maka perkara pertama yang perlu dipelajari di sini ialah meletakkan wira sejati, wira sebenar di tangan rakyat yang berhimpun di jalanan bersama GMP! Keputusan pemansuhan PPSMI itu tidak wujud oleh kerana desakan Gapena semata-mata. Gapena pernah membuat laporan polis ke atas Hishammuddin Hussein, sepupu Najib Razak kerana isu ini. Ekoran laporan polis itu, Najib dengan pantas melarikan sepupunya ke Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Hal kisah lama mengenai laporan polis terhadap sepupu Najib Razak itu nampaknya tidaklah dibincangkan dalam kongres bahasa dan persuratan Melayu baru-baru ini. Ia terus padam begitu sahaja ditiup angin keras yang hadir bersama isu-isu baharu. Tiada orang ambil kesempatan bertanyakan Muhyiddin berhubung kedudukan laporan polis ke atas Hishammuddin ketika menteri itu hadir merasmikan kongres Gapena itu. Pejuang bahasa sendiri sudah lupa!

Itu kisah PPSMI. Tiada pula kedengaran pejuang bahasa dalam Gapena itu yang membangkitkan isu empat penulis yang teraniaya baru-baru ini terhadap Muhyiddin itu. Empat penulis itu mendakwa bahawa hasil penulisan mereka sebelum ini telah dipilih sebagai teks Komsas tetapi mereka tidak menerima sebarang royalti. Mereka pernah menghantar surat rayuan kepada Muhyiddin berikutan kegagalan mendapatkan royalti tersebut.

Antara mereka adalah Rohani Deraman, penulis cerpen Warkah Daripada Ibu di dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius DBP. Antologi itu untuk pelajar Tingkatan 2 seluruh negara. Pada peringkat awal cerpen diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas (2001) dan kemudiannya Edu Quest Publisher (2007).

Berdasarkan prosedur biasa, para penerbit wajib mendapatkan surat izin daripada penulis terlebih dahulu. Tetapi dalam kes ini DBP adalah pencetak dan royalti dibayar secara terus kepada penerbit. Rohani berkata, sebelum ini Kementerian Pelajaran telah mendakwa bahawa surat izin telah dikeluarkan.

Tapi hal ini dinafikan beliau. Justeru, laporan polis dibuat pada 10 September. Sementara itu penulis Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes mendakwa novel Satu Pengajaran terbit pada 2006 sudah diberi tajuk baru, iaitu Hikmah (2010). Ini juga tidak diberi royalti oleh penerbit AED Sdn Bhd. Hikmah telah digunakan sebagai teks Komsas untuk Tingkatan 1 di zon utara.

Dalam suatu laporan akhbar maya, Hazama mendakwa bahawa peratusan royalti juga tidak dibincangkan kepada beliau. Manakala penulis puisi Seorang Insan Istimewa dan cerpen Budi Semangkuk Daging, Amy Suzani Mohd Ainuddin sudah menimbulkan keraguan tentang surat izin palsu yang dikemukakan oleh penerbit Nur Ilmu Sdn Bhd kepada Kementerian Pelajaran sebelum ini.

Sehingga catatan ini ditulis, keempat-empat penulis itu mungkin sedang merancang atau telah membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat keadaan ini. Bagi mereka, perkara ini bukanlah isu berhubung empat penulis sahaja, tetapi ia melibatkan penganiayaan ke atas semua golongan penulis.

Jadi terhadap laporan polis dan mungkin laporan ke atas SPRM ini, apakah pula jawapan dan maklumbalas Muhyiddin? Inilah juga yang sepatutnya pihak Gapena laksanakan juga, bukan hanya mengadakan sebuah kongres demi kepentingan politik diri mereka sendiri.

Agaknya, memang wajarlah wajah kongres Gapena itu menjadi suram dan muram, mendung kelabu yang tidak mungkin bertukar wajah. Ramai yang hadir awalnya kemudian bangun tinggalkan kongres sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan umat mula meminggir dari jalanan perjuangan bahasa kebangsaan.

Ya, Gapena boleh marahkan masyarakat, tapi Gapena juga perlu faham kenapa perjuangan bahasa tidak dirakyatkan. Bagaimanakah perjuangan bahasa ala Gapena mahu dirakyatkan jika Ismail Hussein sendiri selaku kemudi badan pertubuhan bahasa dan persuratan itu telah mencemuh peserta himpunan jalanan anjuran GMP sebelum ini? Setidak-tidaknya, rakyat yang diusung oleh GMP itu perlu diraikan kerana tindakan mereka disahkan perlembagaan.

Patutlah suram kongres bahasa anjuran Gapena pada 28 - 30 Oktober baru-baru ini. Kata sesetengah orang, sulit meremajakan Gapena. Walaupun sukar mengguling Ismail Hussein (kerana tidak peduli isu royalti penulis dan lain-lainnya), maka hendaklah susun tatacara politik baharu seperti naikkan Ismail sebagai 'Mursyidul Am' Gapena dan lantiklah Ketua 1 yang baharu. Kedudukan itu sebagai lambang sahaja tanpa kuasa apa-apa.

Inilah kaedah yang Ahmad Boestamam lakukan apabila mahu menukar kedudukan Dr Burhanuddin Al-Hulaimy sebagai ketua PKMM itu, iaitu dengan cara menaikkan sosok watak ulama' itu ke tempat jauh lebih tinggi lalu mereka menaikkan calon yang lain pula. Entahlah siapa boleh menyusun kaedah ini?

No comments: