Wednesday, November 02, 2011

Secebis kisah teater Senja Merah (A Shukor Haron) bersama Yusnor Ef

Oleh H FANSURI

Di celah kesuraman dan kemuraman Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu anjuran Gapena yang berlangsung pada 28 - 30 Oktober baru-baru ini, saya sempat berbual-bual ringas bersama Yusnor Ef. Beliau anak didik P Ramlee khasnya dalam bidang dan lapangan ilmu berhubung penulisan lirik lagu.

Apabila saya memperkenal diri bahawa saya dari Harakah, beliau jadi teruja dan terus bertanya mengenai seseorang, "Awak kenal Shukor Haron?"

Saya anggukkan kepala.

"Saya pernah arahkan teater arahannya," kata Yusnor yang saya bahasakan cikgu. Saat itu, kongres yang suram itu baru tamat sidang pembentangan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. "Judul teater beliau itu, Senja Merah. Ia lahir pada 1964 atau 1965," katanya ingat-ingat lupa.

"Kali terakhir saya dengar, dia (A Shukor Haron) masuk PAS.." kata beliau lagi. Ada banyak lagi bualan kami mengenai P Ramlee, tentang tulisan tangan P Ramlee yang masih beliau simpan di rumahnya di Singapura dan lain-lain perkara.

Dalam carian di internet, dengan bantuan teman, maka tertera sedikit rincian mengenai penulisan Ismail Muhammad di Dewan Masyarakat pada Januari 1965. Judul tulisan itu, 'Ulasan terhadap drama A. Shukor Harun: Senja Merah'.

Jadi, mungkin juga ia adalah drama dan bukan teater. Atau, mungkin juga teater yang kemudian diangkat sebagai drama. Sementara itu, pada 1982, ada pula filem Senja Merah arahan Hussein Abu Hassan. Oleh sebab kekurangan sumber, tidak dapat dipastikan saat ini - apakah Senja Merah yang asalnya teater(?) atau drama tadi telah diangkat ke layar perak menjadi filem?

Filem Senja Merah mula ditayangkan, menampilkan lakonan Latif Ibrahim, Jamaliah Arshad dan lain-lain lagi. Semua hal ini mengirim suatu isyarat jelas - bahawa ada kalangan penggiat seni dan budaya pada zaman 1960-an yang sudah masuk PAS.

Kebanjiran tsunami para penggiat seni budaya di dalam Pakatan Rakyat ini bukan baharu berlaku sejak hari ini sahaja. Pelakon dan pelawak Bob Lokman misalnya, hanyalah salah satu sosok yang kita tahu pada zaman ini.

A Shukor Haron yang kami kenali di Harakah ini telah bersara sejak 2007 kalau tidak salah ingatan. Saya pernah ke Pustaka Peringatan P Ramlee. Di sana jelas tertera penulisan A Shukor Haron mengenai kegiatan kesenimanan P Ramlee. Di Harakah selepas persaraannya A Shukor Haron adalah juga seorang kolumnis yang menulis dengan cara-gayanya yang tersendiri.

Nyatanya, kita belum tandus watak-watak penggiat seni budaya. Yang tidak nyata, tidak jelas, samar-samar, adakah kita ingin membuat pelaburan untuk memakmurkan teater, drama, filem revolusioner untuk menggulingkan Najib Razak dan mengedarkannya ke serata negeri? Sekadar bertanya.

Kepada Pak Shukor, "Cikgu Yusnor Ef kirim salam dengan ucapan Assalamualaikum..."

No comments: