Monday, November 28, 2011

DBLK tercalon Oscar, bahasa Melayu Indonesia juga yang pergi jauh

Oleh H FANSURI

Aidil Fitri lalu telah terbit filem termahal Indonesia arahan Hanny R Saputra, 'Di Bawah Lindungan Ka'bah' (DBLK) di pawagam Indonesia. Kini menjelang Aidil Adha, filem ini tergolong antara 63 karya yang bakal bersaing merebut anugerah Oscar bagi kumpulan Filem Bahasa Asing, begitu menurut laporan Jakarta Globe.

Ia mengisahkan cerita pasangan anak muda yang jatuh cinta, tetapi percintaan mereka terhalang oleh kerana perbezaan darjat. Filem ini dibintangi Laudya Cynthia Bella, Herjunot Ali, Niken Anjani, Tarra Budiman, Yenny Rachman, Widyawati, Didi Petet dan Leroy Osmani.
 
Kosnya juga agak mahal, dengan penghasilannya menelan belanja sebanyak AS$3 juta (RM9.3 juta), iaitu enam kali ganda melebihi kos biasa sesebuah filem di Indonesia. Filem ini diangkat daripada sebuah novel karangan Buya Hamka dengan berlatarbelakangkan sebuah desa Minangkabau di Sumatera Barat sekitar tahun 1920-an.

Nampaknya, sesuai dengan musim perayaan Aidil Adha ini, filem ini sudah masuk tercalon di Oscar. Kita hanya membuat filem untuk Aidil Fitri sahaja. Di sini, kemeriahan Aidil Adha tidaklah hangat terasa. Filem-filem untuk siaran pawagam bersempena perayaan Aidil Adha pun tidak disambut sangat sebab tidak ada barangkali.

Menurut laporan sehingga kini, sebanyak 63 buah negara sudah menghantar penyertaan termasuklah New Zealand, Albania dan Vietnam yang pertama kali tercalon. Daripada 63 buah filem itu, jawatankuasa khas akan memilih lima pencalonan akhir pada 24 Januari 2012.

Manakala pemenang anugerah akan diumumkan pada Anugerah Akademi ke-84 di Los Angeles pada 26 Febuari 2012. Anugerah berprestij ini diacarakan oleh pelakon komedi Eddie Murphy. Sebelum ini, Malaysia pernah menghantar sebuah filem sahaja untuk dicalonkan, iaitu 'Puteri Gunung Ledang' pada tahun 2004. Sebenarnya, menang atau kalah sesebuah filem itu, sudah menjadi tidak penting lagi.

Yang utama, adakah dakwah Islamiyah sampai ke benua Hollywood? Adakah bahasa Melayu kita pernah dipertuturkan dalam filem-filem Hollywood? Jika ini berlaku, maka bahasa Melayu kita akan berdiri sama tinggi separas dengan bahasa-bahasa lain di dunia.

Barangkali, kali terakhir bahasa Melayu kita bergema di belahan dunia Amerika; Hollywood adalah pada tahun 1962 ketika Ibrahim bin Hassan (Ibrahim Pendek) diperkenalkan berlakon bersama Rock Hudson di dalam The Spiral Roads.

No comments: