Sunday, November 06, 2011

Dr M kutuk filem seram, tapi kenapa penolakan CM didiamkan?

Oleh BOESTAMAM SARI

Selepas memporak-perandakan pemikiran rakyat dan memecah-belahkan umat dengan isu hukum Hudud, akhirnya Dr Mahathir berminat pula mencetus huru-hara baharu dalam dunia pemikiran rakyat dengan membuka ruang perbincangan berhubung filem-filem seram dan hantu ini.

Saya fikir, isu ini ada kaitan dan kena-mengena dengan polemik Hantu Bonceng juga dan keterkaitannya dengan polemik penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w yang dikatakan tertuang melimpah di dalam karya filem itu. Sama ada wujud atau tidak penghinaan itu, maka itu terserah kepada semua orang.

Polemik 'penghinaan ke atas Rasulullah s.a.w' yang dikatakan wujud dalam filem Hantu Bonceng ini agaknya bermula dengan video klip yang dibikin oleh blogger Milo Suam. Ia pertama kali saya lihat meriah terapung di Facebook dan blog. Lalu, Pemuda PAS membawa isu itu kepada pengarah filem itu, iaitu Ahmad Idham. Saya kira, hal itu sudah selesai seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pemuda PAS.

Tapi, dengan tiba-tiba bekas Perdana Menteri mengungkitnya kembali. Ada pihak tertanya-tanya juga. Sudah habiskan isu Hudud diulas lagi? Adakah hal filem hantu ini digelorakan guna menenggelamkan pula isu Hudud selepas fikiran rakyat digelisahkan umat dengan polemik Mat Indera? Bagaimanapun hal terawalnya, adalah lebih bagus jika kita bersangka baik dengan Dr Mahathir sahaja terlebih dahulu.

Mungkin Dr Mahathir sebenarnya mahukan filem-filem yang baik dan bermutu sebetulnya untuk diketengahkan kepada rakyat. Kalau begitu yang diingini, maka wajarlah kita sambut cakap-cakap negarawan ini secara terhormat juga.

Atas rasa itu, maka kita ingin bertanya Dr Mahathir tentang novel Cinta Madinah yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada 2000 itu. Cinta Madinah itu bukanlah sebuah novel yang tergolong dalam kalangan karya yang penuh tepu dengan nilai-nilai yang mengarut; tahyul serta diresapi keseraman yang menghantui kita. Ia bercerita mengenai moral, akhlak yang wajar dipasak ke dalam jiwa nurani umat.

Khabarnya, novel ini sudah diangkat menjadi drama televisyen dan ditayang di TV1 pada 2006. Ia turut disiarkan di belahan dunia Timur Tengah juga. CM karangan Abu Hasan Morad dipilih sebagai teks sastera untuk murid Tingkatan 3 di pantai timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang) pada 2011. Novel ini menang anugerah lalu didramakan dan sudah ditayang di kebanyakan negara, tapi kini ia tidak dapat berlegar untuk sebagai bahan bacaan secara rasmi.

Paling menyedihkan, perjanjian sudah ditandatangani, tetapi akhirnya ia ditolak oleh KPM dan penulis terpaksa memulangkan semula wang pendahuluan yang diterima. Penulisnya kesal kerana perjanjian termansuh begitu sahaja lantaran perjanjian itu hanya berlaku antara penerbit dan KPM.

Dalam kebanyakan hal, penulis teraniaya apabila perjanjian berlaku antara penerbit dan KPM. Dr Mahathir patut memeriksa kerajaan hari ini yang terlalu memusatkan perhatian kepada agenda Yahudi dengan faham 1Malaysia. Akhirnya terbit pula andaian bahawa teks Komsas Cinta Madinah ditolak kerana kononnyanya naskhah itu tidak bercirikan 1Malaysia. Jika hal ini tidak benar, maka kita desak Dr Mahathir mendesak penjelasan sebenar di pihak KPM.

Cinta Madinah yang sebelum ini pernah termasyhur di belahan dunia Eropah itu, bukan semalang nasib karya filem hantu yang membanjiri pawagam kita mutakhir ini. Jika nasib filem seram ini didakwa malang sekali pun, hakikatnya sekatan Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu berniat baik jua. Yang baiknya adalah - fikiran kita tidak lagi mengunyah sajian seram yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Dan, sebab-musabab penarikan filem itu jelas diketahui.

Tetapi, ini tidak berlaku untuk Cinta Madinah yang gagal menjadi teks Komsas itu. Tiada hitam putih berhubung penarikan itu. Kita semua tidak jelas apa puncanya. Hanya penerbit yang maklumkan secara tidak rasmi kepada penulis asal. Ekoran polemik filem hantu, kita tahu tentang Dasar Tayangan Filem.

Tapi, kita lupa bahawa sebelum ini ada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang meletakkan Islam, Melayu sebagai teras kebudayaan kebangsaan itu. Lantas, atas alasan apa lagi yang menyebabkan kerajaan telah menolak dasarnya mereka sendiri? Hal ini patut dijawab oleh Muhyiddin, dan Dr Mahathir perlu mengulas isu ini dengan panjang lebar juga sebelum beliau berani bercakap berhubung filem hantu seram.

Najib juga perlu menjawab berhubung asas penolakan CM ini. Penolakan ini membayangkan seolah-olah beliau membuang DKK yang pernah digagaskan oleh ayahnya, Tun Abdul Razak. Oleh itu, janganlah Dr Mahathir dan Muhyiddin mengkhianati PM terdahulu dan jangan pula Najib khianati ayahnya.

No comments: