Friday, November 04, 2011

Falsafah Haji - dakwah nabi tidak ditolak para sahabat

Oleh RUHI HAYATI THANI

Apabila kita meninjau sejarah pembukaan Kota Mekah, maka kita akan dapati bahawa hadir juga perselisihan antara para sahabat. Tapi akhirnya mereka ditenteramkan oleh wahyu. 
 
Wahyu Tuhan itu kata putus dan penamat sengketa ke atas mereka apabila terjadinya perbalahan demi perbalahan. Misalnya dalam peristiwa pembukaan Mekah, semua sahabat bersetuju untuk masuk ke dalamnya dalam keadaan pedang tersarung.

Generasi yang diasuh para sahabat inilah akhirnya yang masuk ke dalam Mekah itu di dalam keadaan lidah mereka bertasbih, bertahmid dan beristighfar memuji Tuhan dan meminta keampunan dan rahmat daripada-Nya. Tidak berlaku bantahan apa-apa.

Hal ini berbeza dengan tentera Talut yang sudah ada yang ikut bantah ke atas suruhan beliau agar tidak mengambil air sungai lebih daripada sepatutnya. Sahabat Nabi Musa a.s juga ada turut mengkhinatinya termasuklah Nabi Isa a.s sendiri pernah dikhianati oleh Judas Iscariot yang menghebahkan tempat persembunyian nabi itu ketika tentera Rom mahu membunuh baginda.

Mengenang rentetan peristiwa ini semua, saya terkenang keluhan berat yang dilepaskan oleh bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada awal Oktober baru-baru ini. Keluhan itu dinyatakannya lewat sidang media selepas beliau merasmikan forum 'Keamanan dan Keselamatan-Perspektif Islam' di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR). Katanya, PAS dan segelintir Umno adalah punca kenapa Islam Hadhari tidak disambut di Malaysia.

"Semasa kita bawa Islam Hadhari ke luar negara, kita mendapat sambutan tetapi di Malaysia tidak, sebab PAS dan Umno. Masalahnya apabila kita buat promosi Islam Hadhari... PAS tidak setuju sebab mereka kata Islam hanya satu dan mereka berceramah di merata tempat untuk tolak Islam Hadhari, kemudian ada juga ahli Umno sendiri yang ikut cara PAS berceramah isu Islam Hadhari," kata Abdullah.

Perihal PAS berpidato atas pentas ceramah politik bagi menolak konsep Islam Hadhari itu sudah diketahui umum. Kita juga boleh berkata, bahawa selain penolakan PAS ke atas Islam Hadhari yang terjadi atas nama ilmiah, maka mungkin juga penolakan ini terjadi sebab telah jadi warisan berzaman bahawa PAS dan Umno ini akan terus berseteru dan bergolak dalam apa juga isu.

Jadi, perseteruan atas Islam Hadhari ini mungkin berlaku atas faktor agama, ilmiah dan kedua, ia berlaku atas nama sengketa kepartian sahaja.

Tapi, akhirnya Abdullah turut mengakui bahawa wujudnya segelintir ahli Umno yang turut mengguna kaedah sama seperti PAS bagi memburukkan konsep Islam Hadhari kepada rakyat. Jadi, ke atas penentangan Umno sendiri ke atas Islam Hadhari ini, apa yang kita mahu katakan? Kalau tadi, hal PAS menolak Islam Hadhari itu dikatakan sebagai sengketa Umno - PAS, tapi bagaimana pula jika Islam Hadhari itu ditentang oleh Umno sendiri?

Abdullah menyambung keluhannya lagi, "Yang jadi masalah bila libatkan politik. Tapi di luar negara, Islam Hadhari diterima baik kerana ia dilihat sebagai wadah yang boleh diterima orang Islam dan bukan Islam. Malah ada juga yang lihat Islam Hadhari dapat dijadikan platform di peringkat antarabangsa."

Beliau berhujah lagi, 10 prinsip yang terkandung di dalam konsep Islam Hadhari itu adalah pendekatan paling sesuai untuk membangunkan modal insan yang termasuk dalam kalangan mereka yang bukan Islam juga.

"Sepuluh prinsip ini boleh diterima kerana ia melibatkan banyak perkara seperti pendidikan, ekonomi, pertahanan..ada 10 prinsip," katanya saat berhujah balas dengan soalan warga pemberita. Bagaimanapun, hal begitu belum lagi membolehkannya menjawab - kenapa PAS, malah Umno juga menolaknya?

Di situ beliau bingkas bangun mempertahan Islam Hadhari habis-habisan walaupun Umno juga menolaknya. Kini, pada zaman Najib Razak, Islam Hadhari sudah mula surut tenggelam diganti dengan 1Malaysia. Maksudnya, 1Malaysia 'menolak' Islam Hadhari secara halus dengan tidak membiarkan Abdullah banyak berbicara mengenainya. 1Malaysia tajaan Apco Israel tidak mengkritik Islam Hadhari secara jelas, tetapi menutup Islam Hadhari untuk dijelaskan kembali oleh Abdullah itu, bolehlah juga dianggap sebagai suatu lambang kepada suatu bentuk penolakan Umno ke atas Islam Hadhari juga.

Tapi, Abdullah mungkin risau berkontra dengan Najib Razak. Ketika ditanya samada Islam Hadhari surut tengelam dengan laungan - 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' oleh Najib Razak itu, maka Abdullah cuma terdaya berkata, 'ia (Islam Hadhari) masih wujud walaupun konsep baru dibentuk.'

"Bila ada perubahan, bukan tenggelam, tetapi (kerajaan) ada kepentingan lain yang hendak dilaksanakan, bukan dalam kerajaan sahaja dalam organisasi lain juga begitu. Kita masih teruskan dan kita tidak pernah lupa kemukakan cadangan jangka panjang," kata beliau lagi. Sama ada Abdullah lupa ataupun sedar bahawa Muhyiddin Yassin (TPM sekarang) adalah antara yang mengepalai angkatan perang ketika Najib Razak dilanda sindrom segan mengguling Abdullah secara terang-terangan.

Yang pasti, dalam Umno, watak bercitra 'agamawan' seperti Abdullah ditolak mentah 'dakwah'nya melalui beberapa siri pengkhianatan yang berterusan. Islam Hadhari ditolak itu sama ada kelemahan Abdullah, atau kecelaruan Umno terhadap Islam Hadhari atau agenda Islam Hadhari itu sendiri tidak baik, maka hal itu tidaklah kita maklum. Yang pastinya, Aidil Adha dan peristiwa pembukaan kota suci Mekah ini merumus iktibar baharu buat Abdullah.

Iaitu, beliau tidak seperti Rasulullah s.a.w yang dakwah seruannya sendiri tidak dikhianati oleh para sahabat baginda. Semuanya sokong mendokong atas segala titah perintah Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w tidak dikhianati oleh pendokongnya ketika meraikan Aidil Adha pertama dan terakhir ketika pembukaan kota suci Mekah ini.

No comments: