Friday, November 25, 2011

Kuasa kata, kuasa sastera persuratan dalam menangani politik dan isu semasa

Oleh H FANSURI

Bermadah Sasterawan Negara A Samad Said dalam Facebook beliau sebagai berikut:-

"Beza matlamat,
bezalah darjat:
Himpun dirangsang,
Bersih diganyang.
Himpun dibela,
Bersih dicela.
Himpun dipuji,
Bersih dicaci."


Syahadan, Al-Quran sebagai karya sastera, persuratan terunggul, tidak pernah sunyi daripada membunyikan peringatan demi peringatan pada zamannya. Ia keluar mencabar Musyrikin Quraisy di Mekah pada awal-awal kebangkitan risalah Rasulullah s.a.w.

Dan, selepas Hijrah, sastera persuratan Al-Quran keluar lagi. Lalu, tanpa bertangguh lagi, ia lantas bingkas bangkit menggencar pemikiran musuhnya. Ia ikut bertempur di medan gelanggang pemikiran yang dihuni masyarakat setempat di Madinah. Episod kali ini, ia keluar mencabar ahli kitab pula setelah ia dicabar oleh kalangan pendeta Yahudi di Madinah itu.

Al-Quran itu adalah sastera persuratan yang menepis hujah-hujah liar daripada Musyrikin Quraisy di Meka dan pendeta Yahudi di Madinah. Ia tak kalah dan sebagai Muslim, kita wajar bermegah dengan Al-Quran. Orang yang murtad meninggalkan ajaran Islam itu, bukan dikeranakan ajaran Islam itu tidak kuat sebenarnya. Hal ini terkait dengan kelemahan jiwa dan fikiran umat Islam itu sendiri.

Allah s.w.t berfirman, dalam Al-Baqarah, 256, "Tiada paksaan dalam agama.." Dilanjutkan dengan ayat berikutnya - kebenaran kepalsuan itu sudah jelas dengan kehadiran karya sastera persuratan Al-Quran itu sendiri.

Jadi, kenapakah tiada perlunya paksaan untuk menganut Islam ini, dan tiada pula paksaan untuk tidak lagi menganutnya? Ini kerana, segala sudah jelas, terang lagi bersuluh. Manusia yang waras, tidak dapat menolak lagi kebenaran total penuh yang hadir dalam Islam.

Walau berjuta umat berhimpun di Mongolia, ia tidak menguatkan Al-Quran dan kalau pun umat tidak berhimpun Kazakhstan, kekuatan Al-Quran tak akan pernah lumpuh. Al-Quran adalah Al-Quran, kekuatannya bermuara daripada kekuatan kata Tuhan. Yang terpisah dan memisahkan diri daripada Al-Quran, bukan kerana kitab itu lemah tapi jiwanya sendiri yang goyah.

Al-Quran bagai tali simpulan aqidah yang mana insan seluruh berpaut kepadanya. Ia (tali Al-Quran) dipaut kepada Allah. Jika ada insan yang jatuh ketika berpaut dengannya, maka hal itu bukan disebabkan rapuhnya tali (Al-Quran) tapi tangan itu sendiri yang lemah, dan bukannya tali itu yang reput.

Ia seperti Najib yang mengaku mentadbir negara dengan acuan Islam, tapi negara rosak binasa dengan hutang piutang makin meningkat. Jadi, jika Najib mengaku menyusun tadbir negara secara Islami, tapi negara hancur musnah rosak luluh binasa, maka itu bukan kerana Islam lemah, tetapi Najiblah yang lemah lantaran tafsiran agamanya dilemahkan hijab tabir Rosmah dan Wahabi Literalis Umno.

Al-Quran itu himpunan susunan kata-kata terindah yang tidak meminggirkan politik dan situasi semasa. Jadi penyair sejati tidak akan bersajak mengenai rang bulan dan bintang, saat umat sedang berjuang menolak kecurangan Umno dengan menjauhi HIMPUN, sekali gus mengakrabi BERSIH.

No comments: