Friday, November 25, 2011

Tolak Hudud jadi kufur, bagaimana Umno mahu selamat aqidah Melayu?

Oleh BOESTAMAM SARI

Ada tiga keadaan dan kedudukan jiwa yang berlaku apabila kita menolak hukum Allah ini. Iaitulah kafir, zalim dan fasiq. Ini sesuai dengan kedudukan nas dan ayat Al-Quran seperti yang disebutkan di bawah ini:-

Pertamanya, "Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH, maka dia jatuh fasiq." Hal ini termaktub di dalam Surah Al-Maidah, ayat 47.

Keduanya, "Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH, maka dia jatuh zalim." Perkara ini jelas tertulis di dalam Surah Al-Maidah, ayat 45.

Ketiganya, "Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH, maka dia jatuh kafir." Hal ini disebutkan Tuhan di dalam Surah Al-Maidah, ayat 44.

Jika MCA menolak hukum Hudud, maka jelaslah bahawa mereka ini tergolong dalam ayat ke 44, di dalam Surah Al-Ma'idah itu. Sementara Umno mungkin tergolong sebagai fasiq dan zalim apabila ia menolak hukum Hudud ini. 
 
Tapi Umno tidak boleh selesa juga lantaran ia tidak mengetahui dengan jelasnya bagaimanakah taraf kedudukan jiwa mereka di sisi Allah s.w.t di akhirat kelak berhubung hal penolakan mereka ke atas hukum Hudud ini.

Kalau Umno jatuh fasiq dan zalim sahaja, hal itu pun sudah membawa kecelakaan, kerana orang yang cenderung kepada kezaliman pun boleh terjebak ke dalam neraka, apatah lagi mereka yang benar-benar zalim dengan sebab penolakan mereka ke atas hukum Hudud ini.

Syahadan, ketiga-tiga ayat, nas di atas ini patut menjadi pengajaran dan pedoman ketika menyusun rumusan baharu berhubung tindakan Umno merestui HIMPUN baru-baru ini. Kita kata Umno izinkan kerana polis telah mengeluarkan permit untuk berhimpun di stadium itu. Tanpa restu Umno, polis tak akan keluarkan permit.

Jadi, paling ringan kedudukan jiwa Umno ini adalah taraf fasiq dan zalim dengan sebab penolakan ke atas hukum Hudud. Kalau disekalikan Umno dengan kelompok manusia MCA yang kafir ini, tentulah Umno akan marah pula. Bagaimanapun, lojik bahawa Umno itu kafir, tetaplah wujud juga.

Lalu, jika Umno kafir kerana menolak Hudud, maka mustahil Umno yang 'cacat iman' (kufur, fasiq dan zalim) ini mampu berjuang menyatukan suara umat untuk memerangi kemurtadan. Kemurtadan adalah kekafiran dan sulit untuk Umno berjuang demi Islam lewat HIMPUN ini. Mampukah HIMPUN meminta tolong daripada si 'kafir' Umno dalam usaha memerangi kemurtadan?

Begitu juga hal kezaliman dan kefasikan. Orang jahat dan zalim ini, perlu apa dia menggerakkan kempen kesedaran dalam memerangi gejala riddah? Dia tidak perlu ini semua. Hanya si Muslim yang benar-benar sayangkan agamanya akan berjuang di dalam HIMPUN ini.

HIMPUN sudah mengumpulkan insan jujur dan insan curang dalam jihad 'memperjuang' isu murtad. Tapi, insan curang Umno itu telah menguasai sistem. Orang yang menguasai sistem boleh membuat keputusan sama ada ingin halalkan atau haramkan acara itu lewat permit. Insan jujur dalam HIMPUN pun terperangkap dalam sistem itu sehingga terpaksa mengemis permit daripada tangan Umno yang curang itu.

Ya, suatu kemujuran untuk Umno juga, apabila masih ramai Melayu yang tidak terfikir hal-hal sebegini, iaitu kekafiran Umno memustahilkan mereka akan memerangi gejala riddah ini. Bagaimanapun, hal ini membawa kepada kesimpulan dan rumusan baharu, iaitu Umno mungkin menang dalam pilihan raya.

Bagi Melayu yang cerah fikiran, mereka faham bahawa HIMPUN tajaan Najib, NGO Melayu dan NGO Islam Umno itu adalah sandiwara. Jadi, pemulauan Melayu ke atas HIMPUN itu petanda jelas bahawa umat Islam tak yakin Umno akan selamatkan akidah Melayu, kerana penolakan Hudud telah membuka wajah sebenar Umno yang zalim, kafir dan fasik.

Mustahil dengan tiga nilai serangkai Umno ini, akidah Melayu dibela. Jadi, yang tidak hadir itu bukan enggan menyokong usaha menyelamatkan akidah, tapi mereka was-was dan berawas ke atas hal lain, iaitu Umno Najib yang tolak Hudud ini tidak boleh membela akidah. Menolak Hudud bererti cacatlah iman. Lalu, bagaimana insan Umno yang cacat iman, tempang akidah ini boleh tampil membela aqidah?

Akhirnya, akhbar pun jujur juga apabila membuat liputan berhubung kegagalan HIMPUN. Menurut laporan akhbar yang membuat tinjauan mengenainya, acara itu tidak dihadiri ramai. Petikan akhbar menyebut, acara itu gagal mencapai sasaran berikutan sambutan dingin. Akhbar itu mengukur kehadiran di stadium Shah Alam yang kurang memberangsangkan.

Tinjauan akhbar itu menganggarkan bahawa jumlah kehadiran peserta kurang daripada 1,000 dibanding 1 juta umat dari seluruh negara yang disasarkan penganjur. Menurut catatan lalu, Himpunan Sejuta Umat itu adalah acara anjuran bersama 2,000 NGO Islam.

Agak aneh juga. Ada 2,000 NGO Islam yang menajanya. Tapi, peserta kurang 1,000 orang? Jika setiap NGO kirim seorang wakil, sudah ada 2,000 peserta, melebihi 1,000 peserta. Mungkinkah NGO Islam juga tidak sokong HIMPUN hingga mereka gagal mengirim walaupun seorang wakil pertubuhan?

No comments: