Monday, November 21, 2011

Najib Razak perlu baca 'HFF' Al-Attas, tonton 'HSM' Azizi

Oleh RUHI HAYATI THANI

Teater 'Harga Sebuah Maruah' (HSM) telah pun dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka pertengahan bulan November baru-baru ini. Ia adalah sebuah kisah perjuangan para petani, pesawah di Kerpan, Kedah. Saat ini juga ada sebuah wacana yang menyelak semula sejarah Islam di Malaysia.

Wacana itu disusun berasaskan buku baharu berjudul' Historical Facts and Fictions' (HFF) oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk menangkis serangan ilmiah yang diterjemahkan dalam kerangka fikiran ilmuan sejarahwan Barat.

Pada ketika itu juga, ada persembahan teater Merong Mahawangsa yang dipentaskan di Panggung Sri Budaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sejarah Islam di Tanah Melayu telah banyak diperkatakan orang.
 
Ada yang menyatakan ia tiba dari India dan China. Tetapi akhirnya aliran Al-Attas dan Hamka ini yang paling banyak diterima ramai secara sepakat.

Al-Attas dan Buya Hamka menyatakan bahawa Islam itu tiba ke Alam Melayu ini dari Tanah Arab. Antara buktinya adalah aliran mazhab fiqah yang dianut oleh kebanyakan kaum Melayu ini adalah mazhab Asy-Syafie dan bukan mazhab Hambali dan Maliki dari China dan India. Begitu Al-Attas berhujah.

Sementara itu, berbicara mengenai Merong Mahawangsa, maka umat teringat kepada revolusi. Keturunan Merong Mahawangsa keempat; Raja Bersiong adalah lambang seorang raja yang zalim. Lalu baginda diturunkan oleh rakyatnya yang berjiwa revolusioner. 
 
Kedah adalah negara yang mencatat sejarah pergolakan perang dan revolusi yang panjang jua. Revolusi kaum nelayan di Kedah Tua pada era pemerintahan Raja Bersiong tidak dicatat sebagai suatu revolusi oleh mana-mana sejarah. Tapi, ia tetaplah suatu revolusi juga.

Semangat revolusi menolak Raja Bersiong itu kemudiannya diperpanjangkan oleh kaum petani di Kerpan. Semangat perjuangan revolusi itu dirakam oleh Azizi Abdullah dalam novel beliau; Harga Sebuah Maruah. Dan novel itulah yang kemudiannya dipentaskan di DBP pada pertengahan November ini.

Sangatlah sayang apabila pementasan teater sebegini tidak dihayati oleh Perdana Menteri Najib Razak. Menteri-menteri ini seharusnya dipanggil datang ke DBP untuk menonton kembali gambaran kisah kekejaman polis FRU yang datang menghancurkan perhimpunan anjuran para penduduk kampung ini.

Kenapa Najib Razak patut datang menonton HSM iaitu karya yang ditukangi Azizi Abdullah? Ia penting kerana di dalamnya termuat kisah melibatkan Akta Pengambilan Tanah yang memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk merampas tanah para penduduk kampung di situ.

Dengan menonton teater ini, Najib Razak perlu faham kesilapan Umno, iaitu tanah sawah bendang itu tidaklah sesuai untuk menjalankan projek ternakan udang harimau yang memerlukan pengaliran air masin dari laut.
 
Azmi, salah seorang ketua pembangkang di situ, akhirnya tampil memberitahu penduduk berhubung masalah pengaliran air masin yang bermungkinan memusnahkan hidupan di situ.

"Bila air masin dari laut dialirkan ke tanah sawah bendang kita, tanah akan jadi masin," kata Azmi dalam suatu babak yang melakonkan mesyuarat dalam teater tersebut, "Bila air sudah masin, nak tanam apa pun dah tak menjadi."

Di sini, Najib Razak mungkin akan teringat kembali Blue Archipelago Bhd; anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah). Syarikat tersebut telah mengorbankan kira-kira 463 hektar tanah sawah di Air Hitam itu.

Najib akan sedar bahawa usaha itu akhirnya membawa kegagalan dengan kesan yang tidak sikit. Ia menghancurkan mata pencarian petani, mengundang kemusnahan tanah sawah sekali gus memusnahkan alam persekitaran di sekeliling mereka.

Sikap penduduk di situ yang berpecah dapat dihidu oleh Najib juga. PM akan sedar, ramainya rakyat Kerpan yang tamakkan wang setelah dipancing atas nama pembangunan, dijanjikan pampasan lumayan, dan saham. 
 
Sementara itu, tidak kurang penduduk yang tidak pernah setuju atas alasan maruah. Ada kalangan penduduk Kerpan yang mula mencemuh golongan penentang pembangunan itu atas alasan - penentangan mereka itu terlalu melulu.

Demi sesungguhnya, Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Abdullah dan Historical Facts and Fictions oleh SMN Al-Attas itu amat penting sekali ditelaah Najib Razak demi mengukuh kuatkan fikiran beliau terhadap kemanusiaan dalam erti kata yang sebenarnya.

No comments: