Friday, December 02, 2011

Aidil Adha, madrasah revolusi menggulingkan Najib Razak?

Oleh BOESTAMAM SARI
Perdana Menteri Najib Razak sudah berangkat menunaikan fardhu haji baru-baru ini. Ketika ada kalangan muslimin Malaysia yang berdoa di Multazam; pintu Kaabah agar beliau digulingkan dalam sebuah revolusi, agar Rosmah terusir keluar dari Malaysia ini, maka hal yang sama turut dilakukan Perdana Menteri itu.
Najib Razak mungkin akan turut berdoa agar revolusi menggulingkan beliau itu tidak berhasil dan sentuhan revolusioner itu menjadi gagal.

Ini tidak menghairankan. Di sana memang ada riwayat yang menunjukkan betapa Abu Jahal sendiri telah pernah kepada Allah s.w.t untuk memenangkan angkatan perangnya ketika melawan angkatan perang yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w.

Lojiknya, kejadian ini tidak berlaku, kerana Abu Jahal itu menyembah berhala. Tetapi, siapalah yang dapat menyangka bahawa rupa-rupanya, ada terselit juga nama Allah apabila bapa saudara nabi itu bersiap-siap menyusun angkatan peperangan bertujuan memerangi ajaran Tauhid yang dibawa oleh anak saudaranya itu.

Akhirnya kemuncak kemenangan revolusi pun tiba! Rasulullah s.a.w serta para sahabat berjaya memasuki kota Makkah dalam keadaan pedang tersarung dan lidah mereka berzikir dan berwirid sedang hati mereka berzikir. Tiada caci cela, carutan kata yang terungkap sepanjang perjalanan masuk ke kota itu.

Inilah revolusi yang kita inginkan! Pembukaan Makkah atau digelar sebagai Al-Fath (pembukaan) itu adalah suatu jenis revolusi terawal dalam Islam. Ia berlaku tanpa pertumpahan darah sekali pun. Begitu juga halnya dengan revolusi kemasukan dakwah Islam ke Tanah Melayu ini. Ia terjadi tanpa tumpah darah, terkelar kulit dan tersiat daging mana-mana pihak pun.

Hal ini disebutkan dalam Al-Quran sebagai berikut, lewat Surah An-Nasr itu, "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Makkah). Dan engkau melihat manusia memeluk agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih, memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

Justeru, khutbah yang seperti inilah yang sepatutnya dibaca-bacakan kepada orang sebagai satu rangsangan motivasi ke arah pembukaan Palestin serta wilayah-wilayah Islam lain yang sedang bergolak. Tetapi, khutbah yang semacam ini jarang-jarang dibacakan khatib lagi.

Khutbah hari ini banyak berkisarkan penyembelihan korban Ibrahim a.s ke atas Ismail a.s. Lalu, diceritakan bagaimana sembelihan itu digantikan dengan seekor haiwan ternakan oleh Tuhan. Khatib tidak banyak menyentuh perjalanan haji dalam membina revolusi keimanan dan revolusi ketakwaan. Khutbah tidak membuka pintu fikiran Muslimin supaya melihat haji sebagai revolusi nabi membuka pintu keangkuhan insan Makkah yang risau dengan Islam ini.

Haji dan agenda revolusi keimanan dan ketakwaan ini semakin sulit terlaksana apabila kita melihat betapa banyaknya rancangan hiburan berleluasa di tv menjelang musim perayaan. Maka, kita perlu mengawasi bentuk program tv yang kerap ditayangkan kepada kita. Langkah kawalan serta pengawasan ini pun adalah sejenis langkah revolusi juga.

Tv itu mungkin tidak membahayakan kesihatan biologi terhadap golongan dewasa, belia dan remaja seperti kita. Tetapi ia mungkin mengundang masalah lain pula seperti tayangan filem memberahikan dan mengghairahkan nafsu syahwat. Lalu timbul hal berkaitan kemerosotan kesihatan fikiran akibat tv ini.

Telah tiba waktunya untuk kita merenung semula tahap pemikiran kita, apakah kita mencapai tahap kematangan yang tinggi ketika melihat semua hal ini yang terpampang di ruang fikiran. Misalnya, haji adalah kemuncak ibadah revolusi tertinggi yang berjaya dicapai oleh segala manusia bergelar Muslim.

Adakah ia membawa fikiran baharu kepada kita pada setiap tahun? Adakah kita terfikir bahawa madrasan haji itu ibarat ijazah Doktor Falsafah (PhD), jika Ramadhan dan zakat itu bagai ijazah Sarjana (Master)? Dan, solat saban hari itu bagai kuliah yang mencetak ijazah Sarjana Muda manakala sijil Diploma kita adalah dua kalimah syahadah?

Haji dan revolusi setiap tahun tidak membawa buah fikiran dan hasil renungan yang baik kepada masyarakat Melayu kita. Ia bermula dengan kelalaian di tv sejak anak-anak kita lahir dan membesar pun dengan tv. Setelah dewasa, masyrakat kita pun dilekakan dengan pertikaian dan penipuan Najib Razak di tv juga. Semoga ibadah haji kita yang mabrur inilah yang benar-benar mencetuskan ledakan api revolusi di aras tertinggi!

No comments: