Saturday, December 03, 2011

Najib Razak mesti baca cerpen Awamil Sarkam sebelum ke Mekah!

Oleh H FANSURI

Ketika Najib Razak dan Rosmah Mansor berkunjungan ziarah ke Mekah baru-baru ini, maka hal itu juga dikeranakan kematian Putera Mahkota Arab Saudi. Jadi, niat itu bukan tulus betul kerana Allah s.w.t, melainkan kerana tersarung di dalam hatinya niat berpolitik. Manusia seperti Najib boleh berbuat amal kerana dia kaya. Tetapi, belum tentu dia akan masuk syurga dengan kekayaan amalannya itu.

Kisah Najib Razak berpergian ke Mekah ini mengingatkan saya sekali lagi ke atas watak Pakcik Bakaruddin yang dirakam tulis oleh cerpenis yang berjiwa rakyat, iaitu Awamil Sarkam. Cerpenis ini berasal dari Sarkam, Melaka. Gaya kepengarangan beliau ini menunjukkan bahawa beliau istiqamah memegang aliran 'sastera untuk rakyat' dan bukan 'sastera untuk seni'.

Cerpen beliau yang berjudul Pakcik Saya Kembali Ke Masjid ini menjadi titik tolak kepada penjernihan hubungan ahli politik dengan Ketuhanan dan boleh dianggap sebagai cerpen yang baik direnungkan oleh semua pihak; agamawan dan semua ahli politik. Kolumnis Utusan Malaysia Mazlan Nordin pernah juga mengulas mengenai cerpen ini.

Nama Awamil Sarkam yang sebenarnya adalah Abdul Wahab bin Mohamad. Beliau menyertai kumpulan sasterawan pada awal tahun 50-an yang dikenali sebagai ASAS '50. Beliau pernah bertugas sebagai sidang pengarang akhbar Melayu Raya (1951) dan menyertai Utusan Melayu pada tahun 1952. Beliau kemudiannya berpindah ke Berita Harian sebagai penulis luar sebelum menyertai Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 sebagai penyunting.

Syahadan di dalam cerpen tersebut, dituangkan pengalamannya berbual dengan Pakcik Bakaruddin. Bakaruddin adalah pegawai kerajaan yang bertaubat dengan berulang-alik ke masjid untuk membasuh dosanya yang banyak menipu masyarakat ketika beliau masih bekerja sebagai penjawat kerajaan.

Kata Pakcik Bakaruddin, ketika menjelaskan sikapnya yang suka ke masjid itu, "Kalau engkau melihat aku saban waktu di masjid saja, maka semua cerita (dosa-dosa kepada rakyat) inilah yang menjadi dasarnya. Kini aku memandang bahawa masjid sajalah satu-satunya tempat yang paling damai dan yang paling mujarab bagi semua manusia yang sesat ketika hidupnya untuk kembali ke dunia sejahtera. Masjidlah tempat yang paling tenteram bagiku dan bagi manusia yang serupaku."

Lalu, Awamil Sarkam pun menamatkan catatan cerpennya sebagai berikut:-

"Dalam perjalanan balik ke rumah, saya terfikir-fikir: Adakah dosa pak cik saya itu akan hapus begitu saja? Sedangkan guru agama saya menyatakan, kalau berdosa kepada Tuhan, cukuplah meminta ampun kepadaNya saja; kemudian melakukan segala titah perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Tetapi, kalau berdosa kepada sesama manusia, maka seharusnya ampun dan maaf diminta kepada manusia itu sendiri dan sesudah itu barulah Tuhan akan mengampuni kita.

"Tetapi, Pak Cik Bakaruddin hanya sembahyang dan berdoa di masjid dengan tidak mencari orang-orang yang telah dianiayanya dulu itu.

"Inilah yang menjadi bahan fikiran saya selepas mendengar cerita Pak Cik Bakaruddin. Sesungguhnya fikiran inilah yang membuatkan perasaan saya menderita sekarang. Hati saya selalu tertanya: Adakah dosa pak cik saya itu akan hapus begitu saja? Dan, setiap pertanyaan ini timbul, maka saya tidak dapat menjawabnya, malah membingungkan, juga menakutkan."

Tamatlah cerpen di sini. Ia termuat di Utusan Zaman pada 8 Ogos 1954. Usia cerpen itu berusia 57 tahun, tapi kekal relevan dihayati Najib Razak. Seperti Awamil Sarkam, saya kerap memikirkan hal ini apabila terbaca berita mengenai Najib Razak yang ke Mekah menunaikan haji.

Sebagai pemuja Awamil Sarkam, saya ingin melantunkan pertanyaan ini kepada Najib - adakah dia sudah meminta maaf kepada keluarga Altantuya dan apakah beliau sudah menyelesaikan persoalan cincin berlian isterinya dari New York sebelum berangkat ke sana?

Catatan: Cerpen penuh Awamil Sarkam boleh dibaca di sini -> http://ibnuamir.multiply.com/journal/item/62/Pak_Cik_Saya_Kembali_ke_Masjid

No comments: