Thursday, December 08, 2011

Fikiran bangsa tertawan dalam konteks PPSMI dan Auku

Oleh BOESTAMAM SARI

Apabila manusia terlalu lama hidup di bawah belenggu penjajah, dan selesa hidup di bawah perintah mereka, maka lama-kelamaan mereka akan berasa selesa berada di bawah kaum yang terjajah itu. 
 
Lalu, dengan sebab selesanya mereka di bawah tadbiran penjajah, maka mereka tidak pula mahu keluar daripada belenggu penjajahan itu walaupun penjajah sudah berniat mahu memberikan kemerdekaan kepada mereka. 
 
Contoh yang tertuang di dalam al-Quran memang ada, khasnya merujuk kisah penjajahan ke atas Bani Israel oleh bangsa Fir'aun. 
 
Saat Bani Israel sedang berjuang melepaskan diri daripada kekejaman Fir'aun dan tenteranya, maka telah ada kalangan umat yang menentang syor Nabi Musa a.s yang menyeru bangsa ini untuk berubah ke arah kehidupan pembebasan dan meraih kemerdekaan untuk menjalani kehidupan yang lebih bermaruah.

Hal ini terserlah dalam rakaman dialog antara Nabi Musa a.s dan sekelompok elit dalam kalangan Bani Israel itu. Ketika mereka tak boleh menyeberangi Laut Merah dan tentera Fir'aun sudah hampir menyerang mereka, maka berkata sesetengah mereka, betapa bagusnya jika mereka tidak mengikut Musa.

Hal ini turut terbentang, diterangkan di dalam al-Quran sebagai berikut:-

"Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku begitu)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku." --- (As-Shu'ara: 61 - 62)

Apabila Bani Israel sudah tiba kepada kemerdekaan, mereka masih ditawan fikiran, ditawan oleh ketakutan sendiri. Ketakutan yang semacam itulah yang memenjarakan hidup. Mereka masih belum bebas dari ikatan belenggu ketakutan yang sudah lama menjalar di dalam diri.

Inilah contoh di mana, sikap lemah Bani Israel tadi menjalar kepada manusia hari ini. Dalam memoir keduanya mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu Said Zahari menulis perihal Melayu Singapura yang terjajah fikiran.

Kata Said, ketika Inggeris mahu keluar dari Malaya, maka beribu-ribu Melayu keluar dari merata tempat lalu meminta Inggeris tidak keluar dari Singapura. Kata mereka, mereka tidak tahu siapa yang lebih layak mentadbir Melayu selain British!

Inilah sikap sesuatu bangsa yang sudah berendam terlalu lama dalam sungai penjajahan. Mereka mengandaikan, lebih baik berterusan hidup di bawah payung penjajahan daripada merdeka penuh tapi tidak mendapat makanan seperti mana ketika dijajah itu.

Krisis ini diumpamakan seperti sekumpulan penumpang kapal terbang yang dikenakan 'hijack' oleh perampas kapal terbang. Mulanya, mereka melawan. Tapi, setelah berlalunya beberapa masa yang lama dalam penjajahan, mereka telah selesa di bawah penjajahan perampas kapal terbang.

Mereka diberi makanan oleh sekelompok penjahat, lalu mereka menerima dan mengiktiraf kejahatan perompak asalkan mereka mendapat makanan dan rawatan yang baik.

Inilah yang terjadi dalam Auku, PPSMI dan lain-lainnya. Ketika kelompok pertama menentang Auku dan PPSMI, akan ada segelintir insan yang rasa selesa di bawah Auku dan PPSMI. Semua ini terjadi sebab mereka berasa Auku dan PPSMI sudah tidak menjadi masalah.

Lihat kedudukan guru pengajar PPSMI yang menikmati elaun untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Adakah mereka akan berjuang menamatkan PPSMI sedang mereka mendapat elaun mengajar bagi meneruskan dasar PPSMI?

Jadi, dasar PPSMI yang diawali dengan penjajahan Dr Mahathir akan berterusan sehinggalah hadir sekumpulan guru yang tidak boleh tinggal diam, tidak boleh dihasut dengan elaun, melainkan mereka ikhlas benar-benar dengan iktikad dan jihad memperjuang bahasa.

Dalam konteks Auku, lihat sahaja bagaimana kelompok mahasiswa terawal yang bersih jiwanya menentang kemungkaran di depan mata. Lalu, Auku pula datang menekan suara bersih mereka yang dahagakan keadilan dan kebenaran itu. Sudah tentulah golongan ini menolak Auku.

Tapi, sekumpulan siswa untuk tahun mendatang akan lebih banyak dihasut kempen kebendaan oleh penguasa kapitalis. Siswa jenis ini berasa, untuk apa lagi mereka hendak terus berjuang sedangkan segala-galanya sudah ada tersedia?

Akhirnya pupuslah perjuangan kerana mereka sudah menjadi hamba, tapi berasa selesa dalam penjara yang dipenuhi makanan lazat yang lama diberikan penjajah. Kini, penjara dipenuhi hamba, maka penjajah sudah berniat membebaskan mereka dari penjara yang sudah tepu penuh itu.

Lalu, banduan di dalamnya memberontak sebab mereka tak tahu hendak ke mana lagi jika mereka telah dibebaskan. Mereka tak tahu hendak cari makan di mana? Inilah yang terjadi mutakhir ini, khasnya dalam isu Auku dan PPSMI. 
 
Ketika penjajah Umno mahu Auku dilonggar untuk beri mereka ruang untuk berpolitik, ternyata siswa dan NC yang paling lantang menyuarakan keresahan dan kebimbangan mereka untuk berpolitik itu.

No comments: