Saturday, December 10, 2011

Pengorbanan tidak boleh meraih keuntungan jualan lembu

Oleh RUHI HAYATI THANI

Lazimnya, pengorbanan pada Hari Raya Aidil Adha itu terkait dengan korban sembelihan lembu. 
 
Syahadan, ketika 'Haji' Najib Razak baru selesai daripada mengerjakan fardhu haji baru-baru ini, tersiar pula kisah penyelewengan lebih RM250 juta Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang membabitkan suami dan anak-anak Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil.

Dikatakan bahawa kos secara purata untuk tugasan mengimport, menternak dan menyembelih seekor lembu berjumlah RM4,481 seekor! Ini yang berlaku ketika berlaku perayaan suci yang mengingati iltizam dan semangat pengorbanan Ibrahim a.s dan anaknya, Ismail a.s. Kautan keuntungan ini tidak tamat di situ. NFC memberi diskaun daging hampir RM3 juta buat Real Food Company Sdn Bhd (RFC) yang mengelolakan Meatworks, milik keluarga Shahrizat.

Kini, Umno sudah mula heboh dengan Seksualiti Merdeka dengan tujuan memalingkan fikiran rakyat terhadap kisah ini sekali gus melampiaskan dendam peribadi mereka terhadap Ambiga dalam kes perhimpunan aman anjuran Bersih 2.0 sebelum ini. Kita tinggalkan sahaja kisah kecil ini buat orang lain.

Ini kerana, jika diteliti dan diperhalusi, nescaya kita akan sampai kepada kesimpulan lain yang juga tidak kalah pentingnya - iaitu pemimpin Umno hari ini menjadi celaru fikirannya dan tidak jujur terhadap umat kerana penghayatan agama dalam keluarga mereka dan sistem pendidikan Islam di sekolah tidak begitu lengkap, unggul dan sempurna.

Semua ini berlaku dengan kecelaruan dan kekeliruan masyarakat seluruhnya ke atas Islam. Agama Islam yang telah diupayakan di sekolah hampir lumpuh pengamalannya. Maka sebelum heboh-heboh mengenai Seksualiti Merdeka serta kecurangan Projek Fidlot Kebangsaan ini wujud, masyarakat telah tenat dengan persoalan buta rohani, buta Al-Quran, buta nilai, buta akhlak.

Maka sebelum segala kecelaruan di atas ini disebut, baru-baru ini pun telah wujud Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang julung kali diadakan. Akhirnya kesedaran agamawan pun hadir setelah melihat betapa merosotnya penghayatan agama pemimpin hari ini, berikutan kesilapan besar meremehkan pengajian Islam di peringkat sekolah rendah, menengah, dan pengajian tinggi.

Lalu, alkisahnya, di dalam kongres itu, kerajaan disyor menjadikan Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus untuk pelajar Islam dalam semua peperiksaan awam dan sijil pengajian tinggi. Inilah salah satu usaha yang mungkin kelihatan tegas diambil dalam kongres kali ini.

Kata pembentang kertas kerja, hal mewajibkan itu bertujuan memperkukuh pendidikan Islam sekali gus meletakkan Islam dalam arus perdana kehidupan. Syor itu dimajukan agamawan dan akademik dalam kertas kerja mereka masing-masing yang dibentangkan dalam kongres yang julung kali diadakan itu. Sebenarnya, sebelum ini bukanlah pelajaran agama itu tidak ada, tetapi ia tidak diwajibkan lulus, demikian menurut laporan akhbar.

Kalau ditinjau cara pembawaan amalan pendidikan Islam sekarang ini, adakah ia hanya sekadar teori? Adakah praktiknya dilaksanakan sekali? Ilmu-ilmu Islam fardhu ain itu barangkali hanya sekadar hafalan serta bukan untuk wirid amalan seharian. Al-Ma'thurat misalnya (jika ia dilatih), ia bukanlah untuk dihafal di tahap sekolah rendah mahu pun menengah. Khemah ibadat dan program kerohanian apakah wujud di sekolah sekarang, tidaklah kita ketahui.

Maka, kebanyakan tokoh agamawan intu, lewat kertas kerja mereka, sudah menyatakan bahawa Pendidikan Islam patut dapat membina sahsiah, jati diri, budaya dan cara berfikir umat Islam sehingga mereka mampu mendepani segala cabaran dalam mahupun luaran negara. Jika anak-anak murid seperti ini dapat dicetak, maka sekumpulan manusia yang riuh-rendah dalam Seksualiti Merdeka itu sepatutnya tidak ada.

Yang menyebabkan wujud dan adanya sekumpulan manusia seperti itu adalah - (antaranya) kerana fahaman dan kefahaman Islam itu tidak diakrab dekat dengan jiwa, hati nurani dan fikiran umat Islam secara menyeluruh. Sama ada agamawan Umno tidak menjelaskan kaedah dan bentuk latihan kerohanian ini secara lebih rinci atau pun agamawan Umno ini disibukkan dengan hujah balas untuk menjatuhkan musuh politik Umno, iaitu PAS.

Atas semua ini, kita berharap-langkah mewajibkan Pendidikan Islam di semua peringkat pendidikan; rendah, menengah dan pengajian tinggi ini dapatlah membawa kita semua kepada pembasmian sikap meraih keuntungan daripada penyembelihan ternakan lembu ketika Aidil Adha dan lain-lain kecurangan.

Syahadan perjalanan dakwah kita masih panjang. Tidaklah diketahui apakah dengan langkah mewajibkan Pendidikan Islam ini, maka pemimpin Muslimin pada masa depan tidak akan bersikap curang seperti Shahrizat Abdul Jalil, 'Haji' Najib Razak. Semoga pemimpin pada masa depan akan bertambah insaf sedar terhadap perlakuan kecurangan mereka selama ini. Sama-samalah kita berdoa.

No comments: