Thursday, December 15, 2011

'Haji' Najib balik ibadah di Mekah, terus debat iktisad di Hawaii

Oleh BOESTAMAM SARI

Dari Mekah, selepas menunaikan fardhu haji, Perdana Menteri 'Haji' Najib Razak telah berangkat ke pulau Hawaii, Amerika. Di Honolulu, tempat tersebut pernah dirakam aksi drama penyiasatan terkenal zaman Retro; 1970-an, iaitu Hawaii Five-O. Apakah mabrur haji Najib, ia jadi teka-teki buat orang-ramai.

Tapi, Najib bukan bersuka-sukaan, sebaliknya berdialog mengenai masa depan ekonomi negara. Di sana, beliau diminta mengulas tentang dialog antara Pemimpin APEC dan ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). Tiada laporan samada Rosmah Mansor mengikut Najib atau tidak di Honolulu itu.

Kita mesti bersangka baik dengan Najib Razak di Hawaii walaupun ada catatan menunjukkan bahawa ketika 'tergadainya' Tg Pagar kepada Singapura itu bermuara daripada sikap pemimpin di negara pulau republik berkenaan menjemput beliau bertandang ke negara berkenaan.

Hal yang sama berlaku ketika penjajah British mahu 'berunding' dengan raja Melayu di Pulau Pangkor. Mereka akan jemput (baca: mengeluarkan) raja itu dari istana bagi memudahkan penjajah merundingkan penjajahan. Sebetulnya, ini bukan dialog dua hala, tapi penjajahan ekonomi dan seterusnya politik.

Dalam hal debat, dialog, kita mesti berani mengakui bahawa umat Melayu masih berada di tahap paling lemah. Ambil satu contoh di UiTM Shah Alam.

Di universiti itu, bermula 24 November, akan diadakan acara debat tanpa henti selama 211 jam. Sehingga kini, tercatat bahawa masa paling lama adalah 100 Jam, 10 Minit dan 44 Saat. Hal itu dicapai dalam Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti yang direkodkan di dalam The Malaysia Book of Records.

Rekod ini dicipta para mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2006 dengan kehadiran pendebat dari luar. Acara ini anjuran Fakulti Pendidikan, UiTM. Kini, sudah ada Sudut Pidato. Sama ada sudut pidato itu dimanfaatkan ataupun tidak, hal itu tidaklah diketahui.

Tetapi, debat kerap dikaitkan dengan perpecahan seperti ia menuai marah-marah sekali gus mengapi-apikan rasa benci. Sebelum ini Naib Canselor UiTM Shahul Hamid juga menyatakan bahawa, Akta Universiti dan Kolej universiti (Auku) tidak perlu dipinda sebab politik di universiti cuma akan memecahkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa, walhal matlamat utama mereka ialah menimba ilmu dan mendapat pekerjaan bagi menjamin masa depan.

Shahul Hamid berkata, UiTM tidak menyetujui syor pindaan AUKU kerana kebebasan politik hanya mengancam keamanan dan kesepakatan siswa Melayu dan Bumiputera di universiti berkenaan.

"Anak-anak (penuntut UiTM) saya aman harmoni berjuang bersama-sama dan menuntut ilmu untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang penting kita semua bersatu padu dan tidak berpecah belah,” kata beliau. Katanya lagi, pada masa ini, siswa sudah diberi peluang meluahkan pendapat melalui persatuan yang disertai serta pilihan raya kampus yang diadakan, dan ini pun sudah memadai, baginya.

Di sini pun, sudah terjadi kekeliruan dalam pemikiran Najib Razak, Umno termasuk pentadbir universiti berkenaan. Politik dikatakan pemisah tetapi debat selalu hadir dalam kancah politik dan debat menyaksikan aksi perbezaan pendapat. Tapi, debat juga diperlukan juga oleh UiTM bagi menaikkan namanya itu. Maka, satu-satunya debat yang perlu dibuat oleh universiti itu adalah debat yang tidak memecah belahkan mahasiswa, iaitu 'debat paling lama'.

Maka debat paling lama itulah yang akan dicatatkan di dalam rekod dan bukan debat mencari kebenaran sehingga mewujudkan pemisahan itu yang akan dicatatkan. Debat 211 jam ini bukan memecahkan perpaduan universiti. Ia bukan mencari kebenaran. UiTM hanya mahu perbaharui rekod lamanya.

UiTM berkata di dalam iklannya di Utusan Online, "UiTM yakin, rekod sedia ada boleh diperbaharui kerana bilangan pelajar yang terlibat secara langsung dengan debat semakin meningkat selaras dengan peningkatan enrolmen pelajar keseluruhannya."

"Oleh itu, rekod yang hendak dicipta ialah 211 Jam iaitu lebih kurang 8 hari setengah," begitu menurut petikan iklan itu. Nampaknya, jelas di sini bahawa hal yang mahu dicapai bukanlah kebenaran, tapi persoalan tempoh, jam dan masa terpanjang. Sementara itu, tajuk-tajuk debat adalah seperti berikut:-

"Demi Kestabilan Negara, ISA Perlu Dipertahankan", "Blog Menjejaskan Keharmonian Kaum", "Ancaman Subversif: ISA Penawarnya", "Demi Perpaduan: Sekolah Jenis Kebangsaan Wajar Dihapuskan", "Pengukuhan Penggunaan Bahasa Inggeris Tidak Menggugat Jatidiri Rakyat Malaysia", "Perpaduan Kaum Semakin Meningkat Selepas 52 Tahun Negara Merdeka", "Pembahagian Kekayaan Negara: Tiada Kaum Yang Terpinggir", "Demontrasi Jalanan Menggugat Kestabilan Negara" dan lain-lain judul lagi.

Senarai tajuk debat ini mungkin tidak akan memecahbelahkan pelajar agaknya? Kepada 'Haji' Najib Razak, selepas pulang dari Hawaii ini harapnya boleh kita lanjutkan debat berjudul, "Selesai wukuf bukan bererti tamatnya fardhu haji".

No comments: