Oleh RUHI HAYATI THANI
Dalam keadaan 'Haji' Najib Razak melaungkan semangat Hijrah selepas habis menunaikan fardhu haji baru-baru ini, tiba-tiba terpacul di 'lidah rasmi' Umno, iaitu akhbar-akhbar yang diterajui Umno ini, bahawa wujudnya Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011.
Rakyat sedar bahawa undang-undang ini wujud selepas Umno terdengar ura-ura hendak mengadakan Bersih 3.0 selepas ini.
Sudah tentu, bagi rakyat yang prihatin, RUU ini jelas drakonian. Namun, 'Haji' Najib menafikannya sebagai sebuah perundangan yang zalim. Kata Najib, rang undang-undang yang dibentang di Dewan Rakyat itu lebih menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk berhimpun secara aman.
Dalam akta baru ini, kata Najib hak warganegara untuk berhimpun dengan aman itu terjamin. Berkata Najib, kenyataan pembangkang bahawa kerajaan BN itu lebih zalim dibanding Myanmar itu tidak berasas sama sekali.
"Mereka yang membuat dakwaan ini mahu mengelirukan orang ramai," kata beliau dalam satu sidang media selepas merasmikan forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno 2011.
Sebelum ini, terbit dakwaan bahawa kononnya rang undang-undang yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat itu menyekat hak dan kebebasan rakyat untuk bersuara sehingga hal ini dianggap sebagai lebih buruk daripada amalan di Myanmar.
Seharusnya Najib Razak sedar juga bahawa persoalan kedudukan sama ada Malaysia akan menjadi lebih teruk dibanding Myanmar itu adalah persepsi tanggapan yang dibuat agar negara ini tidak berubah ke arah yang lebih buruk.
Rakyat berhak menasihati Najib Razak agar berpada-pada dengan akta sedia ada dan tidak perlu menambah akta baharu hanya gara-gara ketakutannya ke atas Bersih 3.0 yang bakal diadakan nanti.
Yang Najib Razak perlu lakukan kini ialah meneruskan perubahan dan bersetuju dengan tuntutan rakyat seperti yang wujud di dalam Bersih itu. Jikalau daripada dahulu lagi, iaitu sejak 2007 sejak awal-awal Bersih diwujudkan dan sejak Julai tahun ini, Najib Razak sudah pastikan segala tuntutan Bersih itu dilaksanakan, maka tentu tidak ada lagi Bersih 3.0 yang akan datang ini.
Maka, akibat daripada kedegilan dan keangkuhan Najib yang tidak mengendahkan tuntutan sejak Julai lalu, maka rakyat kembali semula untuk ingatkan Najib ke atas tuntutan untuk membersih pilihan raya itu. Lalu, cara menyelesaikan 'masalah baru' (Bersih 3.0) ini, adalah dengan menggubal RUU baru.
Bukankah mudah kalau sejak awal lagi Najib sudah selesaikan semuanya sejak Julai dahulu? Semua ini ibarat penyakit yang tidak dirawat Najib Razak.
Inilah sepatutnya semangat Hijrah yang lebih afdal lagi awla didahului Najib, iaitu dengan beransur-ansur beranjak daripada amalan pentadbiran yang zalim (tidak endahkan suara hati rakyat) kepada adil, iaitu dengan bertanya mengenai apa-apa yang rakyat mahukan.
Tetapi, itu semua tidak dilakukan. Sebaliknya, pada 24 November lalu, Najib membentang RUU Perhimpunan Aman di Parlimen yang meliputi hak bukan sahaja kepada penganjur dan peserta untuk sertai perhimpunan secara aman tanpa senjata malahan ia juga kononnya bakal mengambil kira persoalan kepentingan awam dan masyarakat setempat.
Sebetulnya Najib mesti berasa malu dengan kata-kata beliau sendiri yang kerap melaungkan transformasi politik atau perubahan politik. Ini bermaksud, beliau inginkan suatu perubahan ke arah yang lebih baik dan bermakna.
Jikalau ditinjau, ditelaah dan diteliti, inilah semangat Hijrah yang asal.
Rakyat kini mempersoal kenapa transformasi politik itu tidak wujud ketika beliau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan dengan tuntutan Bersih, sedangkan kalimat itu sendiri bermaksud hijrah juga, iaitu suatu perubahan yang lebih baik dalam bidang politik.
Hijrah itu sebetulnya terkait rapat dengan persoalan penyusunan semua politik Islam, kerana ia bertujuan mencari penempatan baharu untuk mentadbir negara Islam di Madinah. Maka, Hijrah ke Madinah adalah tindakan politik yang baik setelah hidup Muslim selama ini dipayungi rupa kekuasaan jahat.
Selepas Hijrah beberapa lama di Madinah, maka baginda s.a.w akhirnya dapat menembusi politik di kota Mekah lalu mewajahkan semula akidah Tauhid penduduk Mekah setelah 10 tahun.
Jadi proses perubahan politik dan aqidah umat Islam secara seluruhnya di bawah sentuhan dan bimbangan rasul itu berlangsung selama 23 tahun. Ya, 23 tahun secara perlahan-lahan dan beransur-ansur menuju ke arah kebaikan.
Malaysia, sejak mencapai kemerdekaan politiknya sejak 1957, adakah sudah beransur-ansur ke arah pemansuhan ISA? Tidak! Sebaliknya, ada akta yang mungkin menghalang rakyat untuk berhimpun secara aman.
Ya, inilah nilai yang sepatutnya dihimpunkan dalam fikiran Najib Razak jika dia benar-benar ingin melaksanakan Hijrah dalam politik itu dengan satu kalimat yang kerap digemakannya di mana-mana, iaitu transformasi politik.
Harapan rakyat, biarlah politik negara berubah menuju kebaikan dengan tuntutan Bersih benar-benar terlaksana. Inilah semangat Hijrah dalam erti kata yang sebenarnya.