Wednesday, December 14, 2011

Lembu 'feedlot' demi kroni, perlukah MIC tuntut cerai daripada Umno?

Oleh RUHI HAYATI THANI

Sangat aib apabila rakyat gempar dengan berita berhubung ibadah haji Najib Razak yang dikatakan tidak sah itu. Tapi, akhirnya hal itu telah dijawab oleh para pegawai agama Perdana Menteri tersebut.

Tapi, suatu hal yang paling memalukan dibanding haji Najib Razak yang dikatakan tak sah itu, adalah isu 'ibadah' korban lembu demi keuntungan kroni.

Diketahui bahawa korban sembelihan lembu itu adalah ibadah yang lahir daripada jiwa yang luhur untuk meraih keredhaan Tuhan. Diketahui juga bahawa 'Haji' Najib Razak juga mengerjakan ibadah hajinya pada tahun ini ketika isu lembu 'feedlot' menjadi semakin hangat membara.

Isu ini menyala terang dan garang hingga tiada apa-apa lagi usaha Umno yang boleh menudung cahaya yang menyuluh kemungkaran Umno itu. Jika Haji Najib Razak sedar bahawa dirinya sedang berdepan dengan warga India dan MIC yang sensitif terhadap kedudukan lembu sebagai haiwan suci ini, maka bercucuranlah peluh keringatnya.

Di Pulau Pinang khabarnya memang terjadi demonstrasi bagi masyarakat kaum Hindu apabila tibanya musim perayaan Aidil Adha. Penganut Hindu tidak rela lembu sebagai haiwan suci disembelih. Di sini, sudah menjadi titik-tolak antara masalah perpaduan antara Melayu dan India, Islam dan Hindu.

Untuk tidak membincangkan hal sembelihan lembu ini, kita tetap berdepan dengan masalah juga. Sampai bila kita mahu hidup memendam rasa?

Jadi, adalah lebih baik kita membincangkan juga masalah ini secara terbuka agar masing-masing dapat meluahkan isi hati dengan sabar. Perlahan-lahan titik persamaan akan dapat dijalin. Pepatah Mongolia menyatakan, "Berdebat dengan sabar lebih baik daripada damai yang pura-pura."

Kembali kepada masalah sembelihan lembu oleh masyarakat Islam Melayu pada hari ini, maka India Hindu perlu sedar bahawa sikap ini tidak bermaksud menghina mereka melainkan korban sembelihan ke atas lembu itu dilaksanakan atas sebab menjalankan titah perintah Tuhan jua.

Maka, di sinilah yang mungkin diharapkan wujud dalam jiwa dan fikiran masyarakat India Hindu itu. Bersabarlah, kerana perayaan Aidil Adha tiada kaitan langsung dengan keinginan menghina perasaan kaum lain.

Tapi dalam hal penyelewengan Umno melibatkan korban sembelihan lembu 'feedlot' kisahnya lain sedikit. Shahrizat, Najib Razak, Khairy Jamaluddin, Noh Omar dan lain-lain watak teraju utama, sosok dalang wayang dalam Umno sudah 'berjuang' bermati-matian dalam mempertahan maruah jatidiri mereka termasuk kroni, kaum kerabat dan suku sakat mereka.

Jadi, apakah pendirian MIC yang mewakili masyarakat India dan penganut Hindu seluruhnya dalam hal ini?

Kita sebut tadi bahawa sejak awal telah ada demonstrasi oleh para penganut Hindu Pulau Pinang yang membantah amalan korban sembelihan lembu itu, dan kita menyeru mereka supaya bersabar seketika kerana amalan itu tidaklah bermaksud menghina, mencela adat dan kepercayaan India dan Hindu.

Tetapi, isu korban sembelihan lembu 'feedlot' ini sudah jadi lain sedikit. Ia tidak hanya korban sembelihan ke atas lembu itu, malah sudah melibatkan hal penyelewengan dalam hal sembelihan lembu sebagai haiwan suci oleh penganut Hindu.

Ketika perayaan Deepavali baru-baru ini, Najib Razak telah menziarahi rumah terbuka MIC yang dilaksanakan di Batu Caves. Ada kalangan pimpinan MIC berkata kepada Najib sebagai berikut, "...Najib Razak ini, bolehlah dikatakan sebagai 'bapa' untuk bangsa India juga..."

'Haji' Najib Razak pernah menghadiri perayaan demi perayaan anjuran masyarakat India termasuk menaja pembangunan Little India di Brickfield. Tajaan pembangunan di Little India di Brickfield itu memang tanggungjawab Najib Razak selaku Perdana Menteri.

Tapi, saat dihadap dengan selonggok permasalahan mengenai korban sembelihan lembu 'feedlot' ini, maka kaum India Hindu patut merenung banyak hal berhubung sikap Umno yang banyak terbabas mutakhir ini.

India dan penganut Hindu pernah membakar novel Interlok dengan tuduhan - wujudnya ayat tidak menyenangkan yang tertuang dalam novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Kini, tiba masanya kaum India, penganut Hindu dan MIC memikirkan sejauh mana sikap mereka terhadap Umno yang terjebak dalam skandal korban sembelihan lembu 'feedlot'.

Apakah MIC terus berdiam, atau mendesak agar penganjur penyelewengan 'feedlot' ini ke muka pengadilan? Setinggi-tinggi 'jihad' MIC (jika Umno masih setia membela penyelewengan dalam lembu 'feedlot'), tentu saja bercerai dari Umno lebih afdal lagi awla, berbanding persekongkolan yang sudah lama.

No comments: