Wednesday, January 25, 2012

Asy-Shafie kuasai sastera Arab, pesan buat Literalis Umno

Wahabi Literalis Umno wajib belajar sastera Arab
Oleh H FANSURI

Dalam keempat-empat mazhab fikah yang terkenal di dunia Islam; (Shafie, Hambali, Malik dan Hanafi), kedudukan Imam Syafie barangkali agak istimewa. Ini kerana, beliau mahir kesusasteraan Arab. Pengasas mazhab lain menguasai persuratan Arab juga. Tetapi Imam Shafie menonjol dalam persuratan dan kesusasteraan Arab ini.

Manakala Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, ketika mematahkan dakwaan bahawa Islam Alam Melayu tiba dari China dan India, maka kedudukan mazhab Asy-Syafie ini diambilkira. Hujah beliau, pegangan mazhab Alam Melayu telah menjelaskan bahawa pengislaman Melayu ini secara terus dibawa dari Arab. Hujah ini turut disepakati oleh Buya Hamka.

Bagaimanapun semangat juang dan jihad Asy-Syafie dalam merumuskan mazhab ini, barangkali tidak diikuti secara penuh oleh agamawan. Berapa ramai agamawan yang menguasai sastera Arab? Malah, ramai juga yang mempersenda sastera Arab, termasuklah sastera Melayu purba juga.

Sebelum sendaan ini dilantun ke medan, sepatutnya agamawan difahamkan terlebih dahulu bahawa, kedudukan bahasa Melayu amat besar pengaruhnya dalam penyebaran Islam di Alam Melayu. Ini kerana, menurut Al-Attas, bahasa Melayu adalah bahasa Islam kedua terbesar selepas bahasa Arab.

Hal ini telah membawa maksud; kesusasteraan Melayu jatuh tempat kedua selepas kesusasteraan Arab (tempat pertama) dalam menyokong ajaran Islam di dunia.

Buktinya, pendeta (failasuf) Melayu purba Alam Melayu telah menyelit pesan keagamaan Islam lewat gurindam, syair serta nazam. Inilah tabiat dan sifat syair dan persajakan Melayu yang asli, iaitu ia berfungsi merakam ajaran Tuhan untuk dikembangkan dengan lebih jauh lagi ke dalam hati kita.

Sebenarnya, peranan syair, sastera dan persuratan amat luas. Dalam perang Badar, syair digemakan Hassan bin Tsabit penyair nabi s.a.w ketika baginda diejek Musyrikin dengan gubahan syair jahiliyah mereka. 

Selain itu, Asy-Syafie dan imam mujtahid lain, memahami al-Quran dengan mempelajari bahasa dan kesusasteraan Arab kerana kitab suci itu diturunkan dengan rupa paras gaya bahasa indah.

Ya, memang jelas bahawa guru ikutan kita semua adalah Muhammad bin Idris Asy-Syafie yang terkenal dengan kehebatan gubahan syairnya. Dan, secara lojiknya, kita mestilah mencontohi guru besar kita yang mahir kesusasteraan Arab. 

Pesan ini dituju kepada Wahabi Literalis Umno yang tersasar di dalam memahami teks dan konteks hadis. Inilah akibatnya jika agamawan tidak menguasai persuratan Arab dan persuratan Melayu Islam purba.

No comments: