Thursday, January 26, 2012

Najib fitnah Anwar, agar isunya tidak seperti Erdogan?

Oleh RUHI HAYATI THANI

Seorang tokoh akademik Umno berwatak agama berkata, "Anwar Ibrahim menobat diri sebagai bakal PM dan menyamakannya dengan PM Turki Erdogan. Masalahnya, Erdogan dipenjara bukan atas tuduhan liwat dan salah laku moral seperti Anwar."

Alasan kenapa Anwar berbeza dengan Erdogan, tambahnya, "Erdogan dipenjara atas dakwaan menanam kebencian dalam beragama kerana ubahsuai sajak Ziya Gokalp. Erdogan dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan tegar mendokong Islam tanpa kompromi..."

Sedangkan, tambah beliau itu, Anwar dipersoal prinsip agamanya bagaikan komoditi jualbeli. Yang beliau maksudkan prinsip agama boleh dijual beli itu - antaranya pluralisme, kedudukan Lina Joy, isu murtad, hudud dan lain-lain yang kerap dikait dengan Anwar.

Semua pendirian Anwar itu, katanya, telah dilafaz kepada masyarakat umum dan antarabangsa sebelum ini kerana keghairahan Anwar untuk menjadi PM.

Pertama, untuk jawab senyuman sinis beliau itu, saya fikir beliau perlu meneliti semula kedudukan 'tahanan politik'. Anwar itu tahanan politik sejak 1998 tapi cuba ditahan Dr M dengan isu yang bukan bersifat politik. Antaranya liwat. Hari ini Najib yang bertopeng agama, dengan bantuan agamawan tentu sahaja tidak akan berwatak sekular seperti di Turki.

Maka, dipergunakan hujah agama pula demi meyakinkan masyarakat agar Anwar layak ditahan. Kalau tidak dimanfaatkan hujah ini, maka rakyat melihat Anwar sebagai wira jika beliau dilihat sebagai tahanan politik.

Dengan gelaran tahanan politik, Umno secara tidak langsung meletakkan kedudukan Anwar sebagai wira rakyat yang sedang berjuang menelanjangkan dosa pekung dan tembelang jenayah Umno.

Jadi, Najib mesti menyusun kaedah menahan Anwar atas isu liwat, hudud, dan liberal. Semua dakwaan ini bertujuan memukat sokongan rakyat sekali gus mengesahkan bahawa Anwar memang patut ke penjara. Umno kini memperalat isu agama rakyat memihak kepada Umno dalam hal menahan Anwar.

Anwar tidak patut ditahan atas pendiriannya tentang isu liberal dan hudud. Pemikiran tidak boleh dikurung penjara, sebaliknya didebat secara ilmiah. Itu sepatutnya berlaku jika Malaysia mahu menuju ke arah negara berfikiran maju.

Ditinjau segi ini, nasib Anwar mirip Erdogan. Kedua-duanya mahu 'ditahan' oleh isu yang dikait dengan pemikiran. Bezanya, Erdogan ditahan oleh kerana olahan pemikiran yang tertuang dalam puisi, manakala Anwar ditahan oleh isu pemikiran liberal, hudud dan murtad seperti yang dibangkitkan tadi.

Tapi jika Anwar mahu disabit dengan murtad, Lina Joy dan hudud, maka tokoh akademik berwatak agama itu perlu bertanya dirinya dengan jujur, "Adakah dia berani mengulas hal Najib yang turut menolak hudud secara jelas?"

Najib tidak dikenakan pertuduhan apa pun oleh tokoh akademik Umno berwatak agama itu selepas Najib keluarkan kenyataan tentang penolakan hudud. Pernahkah Najib ditanya media antarabangsa mengenai isu Lina Joy dan kemurtadan?

Jika Najib diasak media antarabangsa dengan soalan serupa yang pernah dilantun kepada Anwar, dan kebetulan Najib menjawab deretan pertanyaan itu dengan nada berbeza, maka baharulah hal ini boleh didebat lanjut dengan lebih sempurna.

Apa yang saya nampak, tokoh akademik Umno berwatak agama ini bertungkus-lumus melatih Najib cara menjawab agar jawapan itu tidak sama dengan Anwar. Jika Najib bercakap kepada media tanpa bantuan akademik Umno berwatak agama dan Wahabi Literalis Umno, maka Najib terbabas juga.

Dalam pendirian Najib berhubung hudud misalnya, saya rasa Najib tidak dibantu Wahabi Literalis Umno dan tokoh akademik berwatak agama itu dahulu mengenai cara menjawab yang lebih 'selamat' demi kebaikan Umno.

Akhir kata, kalau tokoh akademik berwatak agama itu masih berkeras bahawa Anwar berbeza dengan Erdogan, kerana Anwar dipalit dengan isu liwat dan bukan pemikiran, maka renungkan sejarah gelap Umno ketika mereka berjaya memfitnah seteru mereka sebelum ini.

Dr Burhanuddin Al-Hulaimy pernah fitnah Umno bahawa beliau berkasih dengan Ibu Zain ketika rakyat hampir mengangkatnya sebagai Ketua Menteri. Ya, Dr Burhanuddin difitnah untuk dijatuhkan reputasinya, sama seperti Anwar dikait fitnah liwat untuk menghalangnya sebagai PM pula!

No comments: