Saturday, January 28, 2012

Kita perlu Institut Wasatiyyah 'Godmother' Rosmah di dunia

Oleh BOESTAMAM SARI

Wasatiyyah itu ada banyak maknanya. Erti sejati wasatiyyah tidak boleh dipakai terburu-buru dalam bualan harian termasuk tulisan. Hari ini, wasatiyyah kerap dipasang pengertian dengan makna kata 'kesederhanaan' dalam bahasa Melayu. Soal tepat atau tidak, ia boleh didebat semula.

Dalam makna lain yang berkaitan, 'wasatiyyah' boleh diarah pengertiannya kepada kedudukan 'tidak kiri dan tidak kanan (di tengah-tengah)' serta 'tidak beralkali dan tidak berasid (neutral). Tapi, itu bukan makna sebenar dan pengertian sejati yang boleh diungkap daripada semangat wasatiyyah.

Manakala dalam permainan ada perkataan 'wasit' yang juga digunapakai saat merujuk pengadil. Kata wasit adalah kata bahasa Arab yang bererti 'orang tengah'. Jadi, wasatiyyah dan wasit sudah lama berperanan dalam menentukan garis rukun kehidupan Alam Melayu hari ini.

Kalau hendak digeledah dalam-dalam makna 'wasatiyyah', tidak perlu ditubuh institut wasatiyyah tajaan Najib. Merugikan duit rakyat saja. Memadailah dengan kejujuran dan keikhlasan dalam perbincangan usrah, tamrin, mukhayyam dan persidangan meja bulat.

Hari ini dalam masyarakat Melayu, perkataan 'wasatiyyah' sudah diseludup masuk ke dalam perbendaharaan kata Melayu. Lalu tersarunglah ia ke dalam faham dan ilmu iktisad ekonomi sehingga ia menjadi tersorong secara borong dalam ekonomi manusia bujang dan berkeluarga.

Contohnya, orang akan berkata, "Kita mesti amalkan cara hidup 'bersederhana'. Jangan beli banyak, nanti membazir." Bazir, adalah perkataan Arab Islam yang terseludup dalam perbendaharaan kata Melayu. Perkataan 'sederhana' juga terkait dengan wasatiyyah hari ini.

Mujurlah hari ini, tiada yang memutar lidahnya dengan berkata, "Kita janganlah mewah berbelanja seperti Rosmah, wasatiyyahlah sama!" Calang-calang orang, harus terpengsan dan wajib terkoma saat mendengar perkataan ini digunakan. Tetapi, inilah antara cabaran serta ujian dalam kehidupan ini.

Manusia akhir zaman perlu bersedia mendengar berita di Buletin Utama, TV3, Berita Harian dan Utusan Malaysia dengan penuh sabar. Di antara nasihat agamawan tajaan Najib di media yang mesti kita dengar dengan kesabaran tinggi adalah, "Kita mesti amal wasatiyyah sebagai pendekatan dakwah."

Adapun 'wasatiyyah' (sederhana) itu bermakna sabar, jangan terburu-buru bertindak dengan nafsu juga. Arakian di Dewan MBSA Seksyen 30 Jalan Kebun Shah Alam pada 21 Januari lalu, ceramah politik anjuran Asalkan Bukan Umno (ABU) dan Timbalan Presiden PAS Mohd Sabu telah diserang Umno.

Jadi, adakah ini menunjukkan Umno telah wasatiyyah dalam tindakan mereka? Ceramah hendaklah dibalas dengan ceramah juga. Tapi, sentuhan asuhan rohani 'wasatiyyah' dalam fahaman Najib tidak begitu menjadi dan tidak pula berbekas kepada hati nurani ahli Umno ini.

Khabarnya, ada hadirin cedera dan gerai para peniaga Melayu habis dirosakkan. Dalam kejadian itu, kononnya polis hadir, tetapi mereka gagal bertindak. Melihat erti 'wasatiyyah' kini dikelirukan, maka selayaknyalah gaya rakus Umno ini disebut sebagai garuda ganas biadap! Yang mana dengan kebiadapan mereka itu, telah menjahanamkan seluruh isi kampung.

Itulah 'wasatiyyah' Umno dalam bertindak rakus sehingga mengenepikan polis dan perundangan. Umno punya 'Godmother' yang amat hebat penampilan 'wasatiyyah' dalam berbelanja secara bermewahan juga.

Dalam pojok 'Private Sydney' di akhbar Australia (Sydney Morning Herald) penulis Andrew Horney menggelar Rosmah sebagai 'first lady of shopping'. Hal ini kerana, Rosmah dikatakan sudah berbelanja sebanyak A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney untuk sekali perbelanjaan sahaja!

Malah, tulisan di pojok itu turut melaporkan bahawa, penginapannya di penthouse sudah mencecah nilai sewaan A$20,000 (RM65,100) di Hotel Darling.

Dalam tulisan berjudul 'Super Kerr Now a Model Citizen', penulis pojok itu melaporkan bahawa Rosmah meminta 'parkir valet untuk limousin beliau' dan menerbangkan Kapp ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Rasanya Najib Razak tidak perlu menubuhkan institut wasatiyyah. 'Godmother' Rosmah adalah 'rasul' ikutan suri teladan dan guru besar dalam mentakrif apakah itu wasatiyyah sejati dalam usaha merosakkan pemikiran bangsa Melayu menjelang akhir zaman kini. Institut wasatiyyah ala Rosmah kini sangat perlu selepas belanjawan negara diperkosa sebanyak RM111 juta demi menjayakan Permata Negara.

No comments: