Monday, January 30, 2012

Malaysia Spring perlu contohi Revolusi Mesir

Oleh RUHI HAYATI THANI

Dr Mahathir, Najib Razak dan para pimpinan tertinggi Umno khususnya dan pimpinan Barisan Nasional amnya perlu berwaspada ketika berdepan dengan rempuhan kiamat pilihan raya 2012 kali ini. Kalau dilanjutkan kepada tahun depan; 2013 pun belum tentu menang besar lagi.

Pendek kata, kalau dibuat pilihan raya pada tahun ini, BN mati. Dan, jika dilanjutkan setahun kemudian, BN mungkin lumpuh atau pun terkoma sepanjang hayat pemerintahannya. Jika Umno menggelar revolusi sejagat yang berlaku dalam Arab Springs kali ini sebagai malapetaka baharu ke atas kita, rasanya kenyataan tersebut perlu disemak semula berulangkali dan didebatkan selalu.

Rakyat wajar bertanya kepada pimpinan Umno lagi, "Revolusi akan menyusahkan negara atau pun segelintir pimpinan Umno dan Barisan Nasional saja?" Rakyat berhak bertanya sedemikian dan pemimpin Umno wajar tampil dan berani menjawab soalan tersebut.

Meredah pengalaman menyemai benih intelektual sekali gus menyelak peristiwa menuai Revolusi Iran 1979 nampaknya revolusi membawa hasil terbaik bagi bumi Parsi itu. Iran kekal bangkit sebagai salah sebuah kuasa baharu yang mampu membawa tentangan yang keras padu ke atas Amerika.

Revolusi itu boleh menjadi gagal dan berjaya tergantung kepada kekuatan dan kelemahan juru kemudi yang menakhodai bahtera saat melayari samudera revolusi itu. Sementara itu, di bawah demokrasi yang korup fasad ala Malaysia sepanjang pemerintahan Dr Mahathir sehingga pentadbiran Najib Razak, tidak semestinya rakyat bertambah baik tahap kemajuan pemikirannya.

Buktinya, Dr Mahathir Mohamad sendiri sebagai negarawan masih berterusan melontar pandangan bagi memperbaiki masalah yang lama dia tinggalkan di dalam jentera kerajaan Umno-BN selama ini.

Umpamanya, baru-baru ini, beliau mahu menteri kabinet bersikap telus jujur dalam banyak hal termasuk mengisytihar harta dan keluarga kepada SPRM. Tambah beliau, sebelum ini menteri kabinet cuma wajib mengisytihar harta mereka kepada perdana menteri sahaja.

"Jadi, kata Dr Mahathir, "ia adalah sesuatu yang baik jika dapat isytihar pada satu badan yang tidak ada kepentingan politik dan neutral." Beliau berkata demikian, mungkin kerana beliau ingin memaksa Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatannya dalam parti atau dalam kerajaan sekali gus.

Tetapi kata-kata itu bukan ditujukan kepada Rosmah Mansor yang didakwa berbelanja mewah di Australia baru-baru ini. Terhadap Shahrizat, Dr Mahathir berani melawan. Tetapi, kepada Rosmah, Dr Mahathir mengurung suara di lidahnya. Jadi, kejujuran Dr Mahathir dan keberanian beliau itu bersifat terpilih juga. Menunggu beliau mengkritik Rosmah, bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba lagaknya.

Dan suatu 'kemujuran' bagi Najib Razak kerana rakyat Malaysia belum terfikir membuat demonstrasi bagi mendesak Rosmah tampil memberi jawapan ke atas perbelanjaan mewahnya seperti yang didedahkan akhbar Australia baru-baru ini. 'Kemujuran' ini boleh difikir kembali, apakah demokrasi yang diraih dalam ketakutan ini lebih baik dibanding revolusi yang menyalakan api pemberontakan rakyat yang bahangnya menyeluruh mendadak seluruh negara?

Semak juga keputusan muktamad pilihan raya umum Mesir terkini yang menyaksikan Ikhwan menang 232 kerusi sekali gus menewaskan Fulul iaitu bekas penyokong Hosni Mubarak yang hanya meraih 17 kerusi. Ertinya, tenaga kuasa revolusi memberikan erti sakti terhadap kemenangan rakyat dan umat.

Dalam perkembangan lain, Ikhwan telah mencalonkan Dr Mohd Sa'du Katatni sebagai speaker. Di dalam sidang awal Parlimen beliau kemudiannya dipilih secara rasmi sebagai speaker parlimen dengan mendapat 399 undi daripada 508 undi.

Rupa-rupanya selepas percikan api revolusi di Mesir, pasaran saham melambung dengan keuntungan 5 bilion Junih. Kepada Najib Razak dan Dr Mahathir yang bimbang revolusi akan mencetus huru-hara di Malaysia, sepatutnya mereka menyemak balik Arab Spring. Mungkin Malaysia Spring mengirim mimpi bahagia buat rakyat semua sekali gus ia menjadi igauan ngeri buat mereka berdua termasuk pimpinan Umno-BN sahaja!

No comments: