Oleh RUHI HAYATI THANI
Umno amat mengetahui bahawa ramuan untuk menang dalam pertempuran kali ini sudah tentunya dengan cara mengelirukan fikiran umat Melayu. Lalu, tohmahan mesti dilakukan beberapa kali walaupun hal yang diungkapkan itu tidak tepat sama sekali.
Contohnya, Muhyiddin Yassin timbalan presiden Umno membuat dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan menjadikan Malaysia sebagai republik sekiranya kerajaan menunggu (Pakatan Rakyat) menang dalam pilihan raya umum kali ini.
Yang akan terjebak serta terperangkap dalam permainan kata-kata ini tentulah orang Melayu yang masih boleh diperdaya, khususnya kalangan Umno itu sendiri. Sebenarnya, jika diteliti kedudukan pangkat gelar istana yang diraih pimpinan Pakatan Rakyat ini, maka dakwaan Muhyiddin itu telah terbatal.
Bukan sedikit pimpinan Pakatan Rakyat yang mendapat gelar daripada istana. Jadi, ini tidak bermaksud, Pakatan Rakyat mahu tolak sistem beraja. Maka, atas sikap pemfitnah Umno seperti inilah yang akhirnya membuatkan parti Kita pimpinan Zaid Ibrahim membuat keputusan untuk tidak bertanding.
Berkata Zaid, parti Kita tidak akan meletakkan sebarang calonnya bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebab dikhuatiri hal itu boleh menjejaskan ruang Pakatan Rakyat untuk menang pilihan raya. Nampaknya, daripada semangat yang ditunjukkan oleh Zaid itu, maka boleh dianggap bahawa parti itu punya sikap positif dengan memihak kepada Pakatan Rakyat juga.
Daripada suatu segi, sikap ini memang positif. Sikap dan pendirian Kita yang enggan meletakkan calon ini, bermaksud Kita akan memberi sokongan padu terhadap Pakatan Rakyat dalam apa juga cara bagi memastikan kemenangan rakyat dalam urusan meruntuhkan institusi kezaliman Umno itu.
Tambah Zaid lagi pendirian Kita yang enggan bertanding dalam pilihan raya itu diambil setelah beliau melihat kenyataan pimpinan Umno ke atas Pakatan Rakyat (khususnya selepas Perhimpunan Agung Umno) ini amatlah buruk kesannya terhadap iklim politik negara.
"Untuk menunjukkan solidariti kita dengan pembangkang dan penolakan kita terhadap idea fasis dan autoritarian, Kita ingin menyatakan semula bahawa kita akan terus menyokong pembangkang dengan harapan untuk perubahan sebenar," kata Zaid dalam suatu kenyataan.
Semua itu lahir atas sebab kesedarannya bahawa fikiran Umno membunuh dasar politik yang baik. Itu terjadi gara-gara pidato Muhyiddin di perhimpunan agung Umno baru-baru ini tentang hal Pakatan Rakyat yang kononnya memihak kepada penubuhan negara republik manakala ucapan perwakilannya pula banyak yang bersifat perkauman.
Sambil menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai 'berbahaya dan tidak bertanggungjawab', Zaid berkata kenyataan itu amat membimbangkan kerana ia melebarkan lagi jurang perkauman. Antara lain, DAP dikecam sebagai parti perkauman sementara Melayu di dalam Pakatan Rakyat pula disifatkan oleh TPM sebagai 'pak turut' kepada bangsa Cina.
Inilah antara perkara yang menyebabkan perlunya rakyat Malaysia bersikap mandiri dengan menyemak sentiasa penipuan pemimpin Umno dalam pilihan raya yang akan datang. Tapi, semua ini tidak bererti jika tiada sikap berkorban di dalam diri.
Orang-orang mungkin berkata, parti Kita tidak bertanding kerana mereka tiada kekuatan di akar umbi. Kalau parti Kita itu ada kekuatan, mungkin mereka akan bertanding di dalam pilihan raya juga. Tuduhan itu mungkin juga ada benarnya. Biar apa pun kata-kata orang, yang boleh diambil inti pati semangat mereka cuma satu. Iaitu, demi menggulingkan Najib Razak dan menjatuhkan Umno, maka kita mesti lebih banyak mengorbankan kemahuan peribadi.
Walaupun Kita adalah parti yang tegak berdiri sendiri, tidak melibatkan dirinya dengan mana-mana pakatan, sama ada BN atau Pakatan Rakyat, tapi Zaid Ibrahim sudah jelas mengenai suatu hal, iaitu Kita tidak akan hadir memecah undi dalam pilihan raya akan datang.
Terpulang kepada semua kita sama ada mahu memuji, mengeji atau buat tidak peduli terhadap kenyataan Zaid itu. Namun, pendiriannya yang menyebut - bahawa Kita tidak bertanding bagi mengelak berlakunya perpecahan undi dalam usaha menggulingkan Umno itu wajar dicontohi.
Apatah lagi, beliau jelas terhadap suatu hal - iaitu Umno adalah batil saat menyatakan bahawa Pakatan Rakyat mahu membina Negara Republik, sedang beliau tahu bahawa tuduhan itu tidak benar kerana beliau pernah menerima anugerah istana.
Maka, bertolak daripada fahaman itu, beliau dan parti Kita mengambil keputusan untuk tidak bertanding supaya tidak berlaku pecah undi, dengan harapan Umno akan jatuh terguling.
Saya kira, semangat seperti itulah yang wajar kita semua contohi.
No comments:
Post a Comment