Friday, January 20, 2012

Penyair revolusioner Hassan bin Tsabit; syairnya dikuatkan Jibril a.s?

Oleh H FANSURI

Keluaran lalu ditunjukkan sikap wartawan serta penyair revolusioner yang tampil membela mahasiswa dan politikus yang membela maruah kemanusiaan sekali gus membela agama Tuhan. 

Kalau ditanya, siapa pula yang akan tampil menguatkan kaum penyair itu? Jawapannya...yang akan mengukuhkuatkan perjuangan penyair revolusioner tadi adalah sejenis bentuk tenaga rohani dan kuasa dari langit.

Syahadan, Hassan bin Tsabit menyelar syair Jahiliyyah ketika musyrikin Quraisy menghina Rasulullah s.a.w. Beliau tampil dengan pantas bersyair hingga membungkam diam segala hasrat dan nawaitu penyair Jahiliyyah yang mencela nabi lewat lidah-lidah mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

"...Kamu menghina Muhammad, maka aku membelanya
dan di sisi Allah-lah balasan dari semua itu
kamu menghina Muhammad yang baik lagi bertakwa
seorang utusan Allah yang selalu menepati janji
sesungguhnya bapaku, ibuku, dan kehormatanku
adalah pelindung bagi kehormatan Muhammad dari kalian..."

Saat berdepan ancaman kutukan, celaan Musyrikin, baginda mengguna kuasa kata penyair Muslim untuk membantunya memerangi mereka. Antara yang terkenal adalah Hassan bin Tsabit, Ka'ab bin Malik dan Abdullah bin Rawahah.

Hassan adalah penyair revolusioner yang mempelopori tradisi puisi memuji Rasulullah s.a.w. Lantaran itu, beliau dilantik sebagai penyair peribadi rasul bertujuan melawan kecaman musuh baginda.

Rasulullah s.a.w berdoa yang dituju khas buat Hassan, "Ya Allah tetapkanlah dan kuatkanlah Hassan dengan Ruhul Qudus." Menurut Abu Hurairah, Ruhul Qudus di sini merujuk kepada malaikat Jibril a.s.

Sejak Hassan didoakan baginda untuk diperkukuh rangkap syairnya dengan bantuan Ruhul Qudus, maka syair perjuangan Hassan bin Tsabit sudah harum semerbak dibahaskan masyarakat. Syairnya bukan digubah untuk hal remeh sebaliknya untuk mempertahan nabi; kekasih Allah.

Sebagai termaklum, baginda tidak cuma diejek pada zaman silam. Malah, celaan ke atas baginda masih berlanjutan hingga kini.

Media Barat tidak segan silu mencela nabi sebagai pengganas manakala ajaran Islam dituduh sebagai ajaran ganas. Tetapi hari ini, adakah penyair Muslim yang tampil membela nabi dan ajaran Islam pada saat-saat getir begini pada akhir zaman?

Ketika perang Badar, diriwayatkan bahawa Hassan tampil mengganyang syair Musyrikin yang menghina baginda serta ajaran Islam. 

Nabi s.a.w bersabda kepada Hassan, "Ejeklah mereka ya Hassan dan Jibril bersertamu". Perkara ini dicatat oleh Abul Faradj Al-Isfihany menerusi Al A-Ghany yang menyatakan bahawa Jibril a.s ikut membantu Hassan bin Tsabit dengan tujuh puluh bait syair memuji Rasulullah s.a.w itu.

Syahadan, demikianlah juga pembelaan ke atas kebenaran dan pembelaan ke atas orang-orang yang benar dan memperjuang kebenaran dan keadilan itu. Kelompok penyair revolusioner ini akan hadir setiap zaman. 

Demikian juga wartawan, penulis jahat dan penyair jahiliyah pasca moden akan selalu tampil dan hadir membela pemimpin korup seperti Najib Razak, Rosmah Mansor, Umno dan BN, dan sekali gus dalam masa yang sama menghina pemimpin PR.

Dunia tak sunyi. Ia selalu mewah, meriah dan kaya dengan kutukan fitnah Papa Gomo dan rakan-rakannya yang berjiwa jahiliyyah. Inilah yang diresahkan Anwar Ibrahim. Perbicaraan telah selesai. 

Tapi, fitnah masih berleluasa. Yang kita kesal adalah pemfitnah Umno masih berterusan menyusun pertuduhan. Yang Najib mahu, tidak cuma pemenjaraan Anwar, tapi juga fitnah ke atasnya. Jadi, jika penahanan itu terbatal, maka operasi fitnah kekal bertahan juga.

Itulah yang diinginkan Abu Jahal dan Abu Lahab dan lain-lain kepala Musyrikin Quraisy di Mekah. Membunuh nabi jika perlu. Dan, sebelum itu, nabi telah dituduh gila, penyihir dan pelbagai umpat cela lagi, lewat syair-syair jahiliyah.

Kini, di mana suara penyair revolusioner yang akan membela pejuang kebenaran? Jibril menolong Hassan bin Tsabit saat dia membela nabi sang pejuang kebenaran. 

Selepas tamat wahyu, tentu saja Jibril tidak akan kembali mengukuhkan syair kita jika penyair sibuk meratib keuntungan duniawi yang dipukat kaut daripada hasil persajakan sambil menghitung anugerah dunia - Sea Write Award, Pulitzer, Nobel Prize dan lain-lainnya.

No comments: