Tuesday, February 07, 2012

Masa depan politik Hassan Ali yang kabur

Oleh RUHI HAYATI THANI

Dr Hassan Ali baru-baru ini dalam salah satu ceramahnya membangkitkan kerisauan mengenai DAP. Katanya bayangkanlah apakah yang akan terjadi jika DAP mendapat Putrajaya dalam pilihan raya ini. 
 
Kata beliau, DAP akan menyatukan Malaysia dengan Singapura sekali gus bersatu dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP), begitu kata beliau.

Soalan awal yang boleh kita tanya, dari mana beliau mendapat fikiran ini? Adakah jelas mana-mana pemimpin DAP berfikir seperti itu? Kemudian, adakah DAP lebih merbahaya dibanding Umno setelah beliau dapat melihat dengan jelas garis-garis kemungkaran Umno yang wujud di depan matanya?

'Roadshow' ini membuka fikiran ramai orang. Setidaknya, ramai yang sedar bahawa tokoh ini masih terpaut dengan politik lama Umno yang ketinggalan. Dalam politik Umno lama, ramai yang melihat DAP sebagai parti Cina, walhal ruh parti itu adalah Sosialis dan kebetulan pula ia didokong ramai Cina.

Sedangkan dalam politik Umno baru ada juga ahli Umno yang akhirnya memasuki DAP seperti Sakmongkol dan lain-lain Melayu. Kalau Hassan Ali melihat sejarah jatuh bangun Gerakan, maka begitulah juga halnya.

Bagi menjawab kenyataan Hassan Ali ini, maka jawapannya lebih kurang begini. Gerakan itu, teras asalnya adalah Sosialis. Tetapi, lama-kelamaan fikiran ramai orang khasnya Melayu telah melihat parti itu milik Cina. Hal semangat Sosialis pun tenggelam dan melebur di dalamnya berikutan ramai Cina yang bernaung di dalamnya. Sedangkan, ramainya Cina di dalam DAP itu adalah faktor kebetulan sahaja.

Jadi, baik DAP dalam Pakatan Rakyat dan Gerakan dalam BN, kedua-duanya adalah Sosialis asalnya. Gerakan juga asalnya bukan ada di dalam BN, tetapi sudah dijemput menyertai BN. Hal inilah yang merubah wajah sosialis Gerakan kepada rupa kapitalis setelah mereka mengakrabi BN.

Tapi hingga kini, DAP masih juga Sosialis dalam Pakatan Rakyat ketika Gerakan beralih arah kiblat setelah banyak menerima habuan BN itu. Di Singapura pula, PAP yang asalnya Sosialis, kini sudah pun menjadi kapitalis apabila sudah merebut pemerintahan sejak sekian lama.

Kita dapat melihat betapa wujudnya sengketa yang luar biasa antara DAP dan Gerakan juga, termasuk MCA di dalam Parlimen. Ketiga-tiga parti ini walau sebangsa, tetapi masih juga berbalah atas nama prinsip dan perbezaan ideologi. 
 
Lalu, di manakah pula hadirnya persefahaman antara Cina dalam usaha membuang orang Melayu di negara ini? Ini kerana, antara DAP, Gerakan dan MCA sendiri ada bahang perbalahan yang meruap dengan keras juga.

Inilah segugus hakikat dan fakta sejarah yang mesti difahami Hassan Ali dan sesiapa sahaja yang berfikir seperti beliau.

Jadi, sudah tidak timbul fahaman karut dan tahyul khurafat yang menyatakan bahawa Cina sesama Cina akan jahanamkan Melayu. Ini faham Umno yang merosakkan bangsa hari ini.

Sebetulnya, untuk pengetahuan Hassan, parti Cina yang kental kecinaannya adalah MCA dan yang paling membahayakan bukanlah semangat Cina tetapi jiwa kapitalis yang hadir dalam MCA itu. Jiwa kapitalis yang menjalar ke dalam Umno itulah juga yang menyesatkan Umno hingga ramailah Melayu yang turut tersesat dalam hutan rimba pemikiran jahat Umno itu.

Hal inilah yang sepatutnya direnung terlebih dahulu sebelum Hassan Ali membuat jangkaan dan ramalan jauh bahawa DAP dan PAP akan bergabung lalu akan menyatukan semula Malaysia dan Singapura, lalu tersingkirlah Melayu dan Islam secara rasminya.

Hassan Ali sepatutnya mengutamakan kejadian fakta sejarah yang sudah terjadi dalam politik kepartian bangsa Cina yang mana sebelum ini, ia terpecah kepada blok kapitalis dan blok sosialis dalam DAP, Gerakan dan MCA. Hal ini yang disahkan terbukti telah berlaku, iaitu ada sengketa antara Cina juga.

Yang masih belum jelas terbukti adalah - apakah DAP akan bersatu dengan PAP jika Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya ke-13 ini? 
 
Maka, perkara yang belum nampak jelas, jika Hassan Ali ceramahkan juga isinya, ia tidak lebih daripada ramalan saja. Hassan Ali bukan Yusuf a.s yang meramal mimpi Raja Mesir. Kemungkinan besar, ramalan Hassan Ali boleh tersasar jauh juga.

No comments: