1. Ciri Kejujuran
Lidahnya handal mengilas syair lawannya, dia petah mematahkan hujah lawan. Tetapi, di sisi baginda nabi yang jujur dan tidak pernah menipu, Ka'ab bin Malik tertunduk malu tersipu-sipu. Hanya satu hal yang bermain-main di fikirannya itu.
"Bagaimana aku akan menipu nabi yang jujur, tidak pernah menipu dan setiap janjinya tidak pernah dimungkirinya?" desis hati Ka'ab. Dia akhirnya jujur mengakui di depan nabi, "Hamba tiada alasan apa-apa lagi wahai nabi".
Selain Hassan bin Tsabit, Ka'ab bin Malik terkenal lantang dan petah bersyair. Tapi, di depan baginda nabi, sahabat yang pernah dihukum wahyu ini, kelu lidah lumpuh bicara. Dia tidak boleh menipu nabi yang menawarkan kebahagiaan untuk seluruh alam, dan mencurah keceriaan di dunia dan akhirat.
Inilah cerita mengenai kejujuran dan hubungannya dengan kesusasteraan, persuratan Islami. Tapi ini bukan kisah Ka'ab sahaja. Malahan ke atas diri nabi sendiri memang sedia ada nilai kejujuran itu. Ketika didatangi Ummu Maktum, baginda bermasam muka dan terus mengalih wajahnya.
Apabila ditegur wahyu, baginda segera mencari sahabat yang buta itu lalu baginda dengan jujur menghebahkan teguran langsung dari Allah s.w.t ke atas diri baginda. Jika baginda tidak jujur, tentu baginda menyembunyikan teguran yang disampaikan lewat Surah Abasa itu.
Nilai kejujuran adalah ciri penting dalam persuratan Islami. Sempena Maulid Rasul, marilah kita beriltizam menjadi penyair yang jujur berkata-kata, tidak menipu dan membuang ketidakjujuran dalam karya. Rasanya ketidakjujuran mungkin bermuara daripada rasa takut. Takut jika anugerah kesusasteraan di dunia ini tidak sempat diraih sepanjang hidup berkarya itu.
2. Ciri Keakhiratan
Satu malam di tanah perkuburan Sg Pusu Gombak saat wartawan Harakah; Mohamad Shafri Shamsuddin dikebumi ada getaran rohani bergetar terselinap di sanubari, "Kesasteraan dan persuratan Islami sepatutnya menyeru umat mengingati kematian dan cenderung menuju ke arah keakhiratan."
Langsung saya teringat temu bual bersama Habiburrahman El-Shirazi tidak lama dahulu. Katanya, "Saya tidak menamakan Ayat-Ayat Cinta sebagai novel Islami. Saya meletaknya sebagai novel pembangun jiwa." Beliau yang dikenali sebagai Kang Abik berkata, novel Islam itu latarnya boleh jadi apa sahaja.
"Novel Islam tidak hanya berlatar Arab. Kebetulan, saya pelajar Al-Azhar yang kebetulan menulis latarbelakang saya. Ada novel mengisahkan perjuangan petani yang berperang dengan kemarau panjang. Lalu, ada petani lain yang memujuknya. Kata rakannya, di sana ada sungai. Jirus hasil tanaman. Jangan putus asa dari rahmat Allah. Saya kira, ini juga novel Islami.
"Novel Harimau-Harimau mengisahkan sekumpulan pemburu yang tersesat di hutan. Mereka dengar ngauman. Lalu, mereka muhasabah dan teringatkan kematian. Pada saya, ini juga novel Islami."
Oleh itu, saya fikir, persuratan dan kesusasteraan Islami menyeru ke arah keakhiratan serta merangsang persediaan jiwa menuju kematian. Syair Perahu, Hamzah Fansuri juga menyeru umat agar menuju akhirat dan kematian. Jadi ciri dan nilai ini sudah tersarung lama dalam persuratan Melayu Islam purba.
Maka, setakat ini sudah ada dua ciri, nilai persuratan Islami yang boleh dibahas. Akhirat jarang dibahas dalam novel sekular. Novel Mahabbah (Shahnon Ahmad) juga mengisahkan perjalanan fikiran seorang tua yang menyeberang ke daerah kematian dan dalam masa sama, batinnya ikut berperang melihat sengketa bangsanya.
Dalam renungan saya, ini bezanya novel Barat, novel seks bebas dan karya sekular liar yang tidak merinci soal langkah menuju kematian serta mencintai keakhiratan seperti mana lagak persembahan karya-karya bernuansa Islami itu.
Syahadan betapalah pemergian Shafri ini tidak cuma menumbuhkan pohon makna. Malahan ia merendangkan pengertian yang banyak sekali ke atas diri ini. Untuk ruhnya, mari semua kita sama-sama menyarung kalungan surah Al-Fatihah ke ruang jiwanya. Al-Fatihah!
No comments:
Post a Comment