Friday, February 24, 2012

Maulid dirai, sunnah rasul Najib tinggalkan

Oleh RUHI HAYATI THANI
Maulid Nabi baru sahaja berlalu. Tetapi masyarakat kita khasnya Najib Razak belum dapat meresapkan pengertian sebenar sunnah ke dalam pentadbiran beliau. Ambil satu contoh mudah. Masih ada kalangan Umno yang meletak kepala lembu dan kepala babi di dalam masjid.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng telah dihadiahkan dengan najis. Semua ini adalah simbolik kepada penghinaan Umno, BN ke atas PAS serta Pakatan Rakyat. Sikap ahli-ahli Umno ini sebenarnya mirip kepada sikap orang-orang Jahiliyah dahulu.

Contohnya, kita lihat, betapa bahtera Nabi Nuh a.s sudah dihumbankan dengan najis manusia sebagai suatu cara untuk mengejak baginda. Lihatlah juga bagaimana baginda Rasulullah s.a.w telah disimbahkan dengan najis unta di atas kepala baginda sendiri tatkala baginda bersujud di depan Kaabah.

Yang datang menghinakan baginda itu tidak lain dan tidak bukan, adalah bapa saudara baginda sendiri, iaitu Abu Jahal!

Ringkas kata, sikap meletakkan najis dan kepala bangkai ini, jika kita telusuri sejarah lalu kita cermati dan teliti sikap, perangai Umno ini, maka kita akan mencapat kata sepakat muafakat bahawa Umno dan Jahiliyyah musyrikin Quraisy dan sikap umat derhaka Nabi Nuh a.s itu tidaklah jauh bezanya.

Najis, bangkai, Umno, Jahiliyah Abu Jahal dan penghinaan kaum Nabi Nuh a.s memang mirip sama lantaran jiwa kaum penderhaka ini bermuara daripada hal yang sama, iaitu kekufuran dan jahiliyyah. Semua ini berpunca daripada kesombongan, ketakburan, dengki dan iri hati yang terjadi sesama mereka.

Kisah najis unta diletakkan ke atas kepala junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w ini wajarlah diperingatkan selalu. Cerita Abu Jahal menghina anak saudaranya sendiri, patut disingkap bertalu-talu dengan menyentuh perihal kejadian yang kerap berlaku mutakhir ini.

Umat mesti dibangunkan fikirannya tentang punca-punca kenapa Umno bertindak sebegitu. Walaupun pelaku yang meletakkan kepala babi itu belum lagi dikenalpasti, tapi satu dunia mengetahui bahawa Umno Pulau Pinang juga yang telah merakam sejarah dengan menghadiahkan najis kepada Guan Eng.

Jadi, semua ini - najis, bangkai kepala babi dan kepala lembu ini secara lojiknya datang daripada kumpulan yang sama, iaitu kumpulan yang sudah rosak akklak dan lumpuh pula jiwanya. Terhadap hal yang satu ini pun, Najib Razak gagal menanganinya dengan mengambil sikap berdiam diri sahaja.

Mengapa kita katakan bahawa Najib Razak berdiam diri. Ambil satu contoh mengenai suatu kes yang jelas ketara dan terang lagi bersuluh, iaitu tindakan segelintir ahli Umno Pulau Pinang menghadiahi najis itu.

Persoalan yang kita mahu bangkitkan di sini, sebagai Presiden Umno, adakah Najib Razak telah mengambil langkah secara 'gentlement' dengan meminta maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu, bagi pihak ahli-ahli Umno Pulau Pinang?

Adakah Najib Razak memberi hukuman ke atas sikap ahli-ahli Umno Pulau Pinang itu? Setakat catatan ini ditulis, belum lagi kita dengar ucapan maaf dari Najib Razak dan belum ada sebarang hukuman dikenakan ke atas ahli-ahli Umno yang biadap itu.

Jadi sikap Najib Razak ini bukanlah ciri-ciri pentadbiran mengikut sunnah baginda Rasulullah s.a.w dalam menyusun pentadbiran kerajaan. Baginda amat memerangi sikap Asobiyyah, iaitu semangat kesukuan, walaupun suku kaum sendiri telah melakukan kezaliman.

Jadi, sikap menyokong Asobiyyah ini adalah bid'ah kerana semangat dan jiwa Asobiyyah memihak terhadap kezaliman. Lawan bagi kezaliman (asobiyyah) ini adalah bersikap adil dalam pemerintahan negara. Maka, bersikap adil dalam pentadbiran negara itu adalah sunnah.

Sunnah pemerintahan inilah yang wajib Najib Razak tegakkan. Dalam kes menghadiahkan najis kepada Guan Eng ini misalnya, Najib Razak enggan minta maaf bagi mewakili kesilapan Umno Pulau Pinang. Najib akan tetap setia membela Umno Pulau Pinang walau mereka zalim, kerana kezaliman ahli Umno itu dilaksanakan bagi mendatangkan kesusahan buat musuh Najib Razak sendiri.

Jadi, untuk apa Najib menyelar sikap ahli-ahli Umno yang berlaku biadap selama ini ke atas Pakatan Rakyat? Adalah wajar bagi Najib membiarkan sahaja perilaku kotor dan sikap jijik ahli-ahli Umno itu kerana tindakan jijik itu memang satu cara untuk Najib Razak membalas dendam terhadap Pakatan Rakyat melalui tangan ahli-ahli Umno sendiri.

Najib Razak tidak mungkin mara ke depan untuk menghadiahi najis kepada Guan Eng kerana mahu menjaga imej dan reputasinya. Diamnya Najib ke atas sikap ahli Umno Pulau Pinang itu sudah menandakan bahawa beliau bersetuju dengan sikap ahli Umno Pulau Pinang itu. Tiadanya tindakan diambil Najib ke atas mereka itu, sekali gus membuktikan bahawa Najib bersetuju dan menyokong secara diam-diam.

Maka, tinggalkanlah bid'ah dalam pemerintahan (kezaliman, sikap Asobiyyah) dan kembali kepada sunnah nabi dalam pemerintahan iaitu keadilan.

No comments: