Tuesday, February 28, 2012

Najib hadir acara agama lain bukan sekali

Aqidahnya dalam acara dulu bagaimana?
Oleh BOESTAMAM SARI

Di dalam penutupan program Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 bersama Perdana Menteri pada 19 Februari lalu, barulah Najib Razak menjelaskan kedudukan aqidahnya.

Secara terbuka, Najib menyentuh perkara aqidah itu bagi menerangkan kedudukan teguran Mufti Perak, Harussani Zakaria berhubung kehadiran beliau ke dalam sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Namun begitu, yang Najib lupakan adalah, teguran Harussani sebelum ini, bahawa mufti menegur Najib banyak kali mengenai kehadirannya di upacara keagamaan lain sebelum ini. Ini bermaksud, bukan kali ini saja Najib terjebak. Malah, dia mengikuti upacara agama lain banyak kali juga.

Kali ini Harussani mungkin kecewa lalu membuat kenyataan terbuka ke atas Najib. Perdana Menteri akhirnya bertemu mufti dan menerangkan kedudukan sebenar. Sejurus selepas pertemuan antara Najib dan mufti, maka mufti pula yang menjawab lalu mengesahkan kesejahteraan aqidah Najib itu.

Yang menjadi persoalan, adakah mufti cuma mengesahkan kesejahteraan aqidah Najib dalam Thaipusam kali ini saja? Bagaimanakah dengan kedudukan acara keagamaan lain yang turut dihadiri Najib sebelum ini? Itu semua menjadi soalan yang perlu dijawab mufti nanti.

Kembali semula kita ke atas bicara aqidah Najib. Selepas mufti mengesahkan hal aqidah Najib yang masih sejahtera dan tidak tercalar, maka baru Najib berani tampil bagi menerangkan kepada semua bahawa aqidahnya sejahtera. Kata Najib, beliau menjelaskan kepada Harussani bahawa kehadirannya itu hanyalah melibatkan kawasan pekarangan dewan sahaja.

Tapi, suatu hal yang masih kabur dan belum jelas - baik Najib dan juga mufti - tidak menyentuh langsung hal-ehwal kehadiran dalam upacara keagamaan Hindu yang lalu.

Yang berani disentuh oleh Najib adalah - mufti mengesahkan bahawa kehadirannya di majlis itu tidak bertentangan dengan hukum syarak serta tindakan itu (pada masa kini) tidak bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. Tetapi, bagaimana dengan masa lalu?

Barangkali, ada kemungkinan, Najib hanya bercerita kepada mufti berhubung kegiatannya di dalam upacara Hindu baru-baru ini. Dan beliau sembunyikan sikapnya dalam upacara agama Hindu yang lalu. Hal inilah yang sedang difikirkan ramai orang kerana acara keagamaan Hindu telah pun banyak kali juga dikunjungi Najib sejak dahulu.

Hanya ada dua keadaan sahaja yang wujud, apabila mufti tidak mengulas kehadiran Najib dalam acara keagamaan Hindu yang lalu. Pertamanya, si mufti sendiri sudah malu alah dengan Najib. Kedua, Najib terlupa bertanya mufti berhubung kehadirannya yang lalu dalam upacara agama Hindu itu.

Jadi, untuk kesekian kali ini, Najib sudah bebas daripada tuduhan umat bahawa aqidahnya terbabas. Tapi, untuk kehadirannya yang lalu belum tentu lagi.

Apa pun, Najib mengucap terima kasih kepada Harussani sebab mufti menjawab isu itu baru-baru ini sekali gus menjelaskan kesejahteraan aqidahnya. Najib mendakwa, bahawa beliau selalu memelihara akidah saat menghadiri upacara penganut agama lain sesuai dengan tugas memimpin setiap lapisan masyarakat pelbagai agama.

Kata Najib, tanggungjawab menghormati agama lain perlu diamal setiap individu terutama penganut Islam selagi ia tidak bercanggah dengan akidah. Di sini, Najib sudah menerima pelajaran baharu apabila ramai rakyat meragui aqidahnya.

Najib boleh menarik nafas lega untuk kali ini. Tapi, yang belum lepas bebas daripada ingatan umat adalah kenyataan Mufti Perak itu yang telah menegur Najib berulangkali sebelum ini berhubung kehadirannya dalam upacara keagamaan Hindu yang lalu.

Cuma ada dua keadaan yang terjadi selepas umat membangkitkan semula soalan ini dengan meninjau kegawatan aqidah Najib pada musim yang lalu.

Pertama, hal aqidah Najib belum beres sebab kehadiran Perdana Menteri dalam upacara keagamaan Hindu pada zaman lalu belum dihisab sepenuhnya.

Kedua, kedudukan mufti akan terjejas di mata umat sebab mufti cuma tampil menjelaskan kemurnian aqidah Najib pada masa kini tapi beliau melupakan atau seolah-olah melupakan isu kehadiran Najib dalam upacara Hindu pada masa yang lalu.

No comments: