Setelah dicatat dua ciri persuratan Islam seperti ciri keakhiratan dan kejujuran, maka satu ciri lain persuratan Islami adalah, mutu dan gaya penulisannya yang menolak penjajahan dan kezaliman penguasa. Perkara ini diperjelas di dalam Surah Al-Fiil (Gajah) di mana al-Quran merakam kejatuhan Abrahah.
Turut dimuatkan kisah kejatuhan Fir'aun dan Namrud di beberapa surah yang lainnya. Dan, kiaskanlah juga terhadap hal-hal yang melibatkan perjuangan nabi lainnya di dalam hadis yang lain pula. Tetapi, jika ditinjau daripada sudut ini, maka orang-orang akan bertanya kembali, misalnya...
"Lalu, apa bezanya dengan penulis Boris Pasternak yang menulis novel Dr Zhivago dengan tema penolakan penguasa yang zalim di dalam kesusasteraan, persuratan Islami? Bukankah pengarang itu juga berjuang menolak kezaliman penguasa?"
Maka, jawapan ke atas hal itu adalah - perjuangan melawan kezaliman ini merujuk kepada Tuhan sebagai tonggak. Hal ini dirujuk kepada ayat di bawah:-
"Dan (ingatlah wahai Bani Israil) ketika Kami (Tuhan) menyelamatkan kamu daripada (Firaun) dan kaumnya..." (al-A’raaf: 141).
"Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera gajah (yang meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?" {al-Fiil: 1-2}
"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata “Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)." (Fussilat: 33)
Persuratan Islami menolak kezaliman penguasa dengan mengikatnya dengan kuasa Allah s.w.t dan Ketauhidan yang mengguling kezaliman dengan kuasa insan. Adakah kesusasteraan Barat sekular yang menolak kezaliman itu meletakkan 'Ketuhanan Tauhid' dalam perjuangan revolusi?
Sementara itu, dalam Fussilat ayat 33 di atas, kita melihat ucapan yang baik menuju Allah dan amalan yang baik itu telah dilaksanakan Muslim. Ini beza dengan insan lain yang beramal baik sekali gus menyeru ke arah kebaikan, tetapi tidak dikaitkan hal kebaikan itu dengan syurga dan neraka, dan mereka pula bukanlah Muslim. Maka, inilah bezanya amalan kebaikan-kebaikan antara Islam dan Barat itu.
Baru-baru ini ada filem perjuangan umat Palestin anjuran Viva Palestin. Perlu diingat bahawa Dr Burhanuddin Al-Hulaimy adalah yang terawal ke penjara pada 1948 saat Empayar British hendak menyerah Palestin kepada Israel. Dia terpenjara kerana tulisannya yang menyokong perjuangan umat Palestin.
Jadi, penentangan terawal menolak rejim Israel di Malaya pada 1948 bukan demonstrasi, tapi lewat persuratan. Hari ini, perjuangan melawan Israel tidak hanya demonstrasi dan kenyataan media.
Malah, ia turut dipanjangkan lewat filem. Kesusasteraan Islami di Malaysia ini masih boleh dipersoalkan, adakah penulisnya menyokong rakyat Palestin, Melayu Selatan Thai, Selatan Filipina (Mindanao) itu atas nama Allah dan Rasul-Nya?
Arakian inilah ciri persuratan Islami ketiga, iaitu ia meriwayatkan perjuangan melawan kezaliman dengan mengaitkannya dengan Allah s.w.t saat sastera Barat hanya membataskannya kepada tema keadilan sejagat sahaja dalam isu keganasan Israel ini.
Arakian inilah ciri persuratan Islami ketiga, iaitu ia meriwayatkan perjuangan melawan kezaliman dengan mengaitkannya dengan Allah s.w.t saat sastera Barat hanya membataskannya kepada tema keadilan sejagat sahaja dalam isu keganasan Israel ini.
No comments:
Post a Comment