Wednesday, March 21, 2012

Apakah Najib akan bela Imam Hoslan?

Oleh BOESTAMAM SARI

Baru-baru ini sudah heboh mengenai cerita seorang anak yang tergamak tinggalkan ibunya yang lumpuh di sebuah hotel bajet. Masyarakat kini sedang menuju ke arah bibit keruntuhan budi. Di pihak atasan dan bawahan, keruntuhan budi bermaharaja- lela.

Hotel bajet itu terletak di Kg Baru, Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Kisah beliau dipaparkan di Malaysia Hari Ini (MHI) pada pagi 12 Mac lalu. Tiadalah orang yang mengetahui bahawa di hotel itu sudah bersimbah air mata berjurai milik seorang ibu tua lumpuh dari Kg Jawa. Dia menangis ditinggalkan anaknya.

Ibu dan bapa adalah aset berharga menuju ke syurga. Kalau tiada syurga dan neraka sekali pun, jika tiada dosa pahala membela ahli keluarga sekali pun maka rasa belas kasihan itulah aset mustahak yang melayakkan kita semua digelar manusia penuh kemanusiaan. Lumpuh si ibu tua boleh dirawat terapi. Lumpuh rasa belas kasihan di hati anaknya itu, entah siapakah yang peduli lagi?

Tindakan membuang anak itu barangkali tidak sama seperti sikap dan tindakan Najib Razak 'memecat' Shahrizat Abdul Jalil atas nama peletakan jawatan dengan rela hati. Tindakan anak 'memecat' ibu tua dari rumah tidak seperti 'pemecatan' Shahrizat daripada jawatan. Dua wanita, dari dua belahan dunia berbeza. Shahrizat menteri wanita 'dipecat' ketika seorang ibu tua 'dipecat' dari rumah anaknya di Kg Jawa.

Kita wajar bertanya - di manakah hilangnya kemanusiaan ketika Najib Razak memerintah hari ini? Terdahulu sebelum ini, Najib meminta supaya golongan ulama, cendekiawan Muslim dan penulis maya bergabung sebagai satu benteng kukuh dalam mempertahan kepentingan dan maruah Islam.

Tetapi, adakah Najib Razak pernah menanamkan benih fikirannya ke dalam jiwa penulis blog, ulama dan cendekiawan Muslim itu agar mereka sedar iaitu kedudukan kasih sayang itu sangat penting dan bernilai untuk masa depan negara?

Antara tanda bahawa Najib Razak telah ketandusan kasih sayang adalah pengecilan tanah rizab Melayu yang kini tinggal sekitar 1.3 juta hektar saja. Jika beliau kasihkan Melayu, kenapa ada 273 ekar tanah Kampung Melayu Tradisi Kg Chu Badak Sentul Kuala Lumpur yang telah diambil alih? Di sana, sekitar 160 buah keluarga dihalau bagaikan pelarian.

Tetapi dalam keadaan begitu pun Najib masih berpesan secara tidak bertanggungjawab terhadap tiga kumpulan yang bertenaga dalam bidang pemikiran dan penulisan ini; ulama, penulis blog dan cendekiawan Muslim. Katanya, tiga kumpulan itu perlu prihatin ke atas perkembangan semasa dan perubahan dasar kerajaan agar setiap maklumat dapat disampaikan dengan tepat.

"Justeru berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariah Islam sama ada melalui penulisan atau percakapan hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas, beramanah, maklumat yang jujur dan tepat, serta tidak mengelirukan pihak yang mendengarnya," kata beliau lagi.

Kenapakah Najib hanya mahu penulis blog, ulama dan cendekiawan itu menulis dasar kerajaan saja? Sebetulnya, jihad dalam tafsiran Najib Razak adalah menyebarkan maklumat di pihak kerajaan sahaja dan pihak atasan sahaja dan ia bukannya melibatkan sebaran maklumat di peringkat rakyat bawahan.

Kenapa tidak Najib bersikap lunak dan mengambil peduli hal-hal yang dibangkitkan oleh mereka dan cuba selesaikan sedaya-upaya. Inilah hubungan dua hala yang sepatutnya dirintis dan dibina oleh seorang Perdana Menteri. Najib tidak boleh melaksanakan semua ini kerana di hatinya telah berkubur kasih sayang.

Terbaru, heboh mengenai seorang imam masjid yang berjihad menolak penyelewengan wang di sebuah masjid. Tetapi imam itu digari bagai penjenayah. Imam Hoslan Hussein, hatinya bertambah parah melihat kecurangan hakim. Seliparnya dilempar sebagai tanda protes!

Lalu, beliau dihukum penjara setahun secara tiba-tiba. Jika ada sedikit ruang untuk berkasih sayang di hati Najib, maka beliau akan turun membela Imam Hoslan itu. Tetapi, apakah Najib Razak akan turun membela keluarganya yang daif itu, tidak dapat dipastikan lagi.

Harakah menyumbang RM2,000 kepada keluarga Imam Hoslan hasil sumbangan umat. Majlis pertunangan anak Najib Razak dan putera Kazakhstan telah menelan belanja RM400,000! Jumlah ini adalah 200 kali ganda dibanding sumbangan rakyat ke atas Imam Hoslan yang disampaikan lewat Harakah.

Pada musim orang buang ibu di hotel bajet ini, rakyat tertanya-tanya, pudarkah rasa kasih Najib sehingga begitu tega membiarkan keluarga Imam Hoslan terkontang-kanting sendirian tanpa bapa dan suami? 

Jangan terlalu ikut telunjuk Rosmah, inginkan majlis pertunangan yang mewah tapi membiarkan ibu tua ditinggal kesepian di hotel bajet sekali gus begitu tega melihat kesengsaraan keluarga Imam Hoslan terkapa-kapa tanpa pembelaan sewajarnya.

No comments: