Tuesday, March 20, 2012

Isu Syria: Sejak bila KPT bertanggungjawab?

Oleh BOESTAMAM SARI

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan bertanggungjawab ke atas siswa yang enggan pulang dari Syria. Ada hal aneh apabila KPT angkat bicara mengenai hal kebertanggungjawaban. Sejak bila KPT terfikirkan tanggungjawab ini? Semak kedudukan siswa di Upsi dan kisah UKM4, adakah mereka ini dilayan secara bertanggungjawab oleh KPT?

Apabila wartawan bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin, maka jawapan yang paling kerap diterima adalah - nasib pelajar diserahkan kepada universiti. Biarlah universiti mengambil tindakan ke atas mereka.

Tindakan membawa balik mahasiswa Mesir dalam Revolusi Mesir pada tahun lalu itu masih boleh diperselisih nawaitunya. Adakah benar siswa dalam keadaan bahaya hingga mesti dibawa pulang atau Najib Razak enggan siswa terlibat dalam revolusi mengguling rakan sejawatannya; Hosni Mubarak? Dan, benarkah Najib tidak mahu pengalaman revolusi ini dibawa pulang ke Malaysia untuk menggulingkannya pula?

Wallahu'alam. Tapi di Syria hampir bergolak oleh keadaan yang sama. KPT pula yang menanganinya. Tiba-tiba ada 222 siswa yang pulang dan selebihnya 178 lagi enggan. Ke atas golongan yang enggan pulang inilah Khaled berkata KPT tidak akan bertanggungjawab ke atas keselamatan mereka jika enggan pulang atau dipindahkan ke Jordan. Kata Khaled, para siswa itu telah dihubungi sebelum ini dan dimaklumkan tentang risiko jika terus berada di sana.

"Penuntut yang enggan balik atau berpindah ke Jordan akan diminta menandatangani surat bagi mengesahkan mereka tahu akibat daripada keputusan mereka itu," katanya. Nampaknya, Khaled akan kirim surat dan meminta siswa menandatanginya supaya kerajaan tidak dipersalahkan. Sebenarnya tiada yang menyalahkan kerajaan kerana pilihan belajar di Syria adalah pilihan pelajar dan keluarga mereka.

Kerajaan sepatutnya hanya membawa pelajar pulang jika ada ibu bapa yang meminta anak-anaknya pulang. KPT tidak wajar mendesak pelajar Syria itu pulang ke Malaysia dalam keadaan mereka sedang belajar dalam musim-musim perang dan revolusi.

Belajar adalah jihad. Mati saat menuntut ilmu adalah syahid. Inilah tanggungjawab sebenar KPT, iaitu memberi kemudahan ke atas pelajar Timur Tengah
dan bukan memaksa mereka pulang ketika terjadi perang dan revolusi di sesebuah negara.

Tapi jika siswa ingin pulang kerana gangguan perang dan revolusi, atau mereka diminta pulang oleh ibu bapa, maka kerajaan boleh bawa mereka pulang. Inilah sikap yang perlu KPT dan Najib amalkan - kerajaan membantu siswa yang mahu pulang saja.

Ketika terjadinya rusuhan di London pada Ogos tahun lalu sejurus selepas perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Julai 2011, tiada pula kedengaran kerajaan akan membawa pulang siswa, walaupun Muhammad Asyraf Haziq Rossli cedera teruk dipukul hingga membabitkan kecederaan di bahagian rahangnya.

Apakah KPT termasuk Najib Razak pernah membuat kenyataan untuk membawa semua siswa di London itu pulang ke tanah air gara-gara rusuhan London itu? Jika tidak, maka di manakah sikap dan pendirian kerajaan yang sebenarnya? Kenapa di Timur Tengah hendak dibawa pulang? Dan di Barat dibiarkan?

Kita tertanya-tanya, kenapa harus ada 'double-standard' antara pelajar Timur Tengah dengan pelajar yang mengikuti pengajian di Barat?

Syahadan, maka di dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) pada 5 Mac lalu telah diadakan temu bual secara lintas langsung dengan seorang pelajar di Syria berhubung kejadian berdarah itu. Nama pelajar Malaysia yang enggan itu adalah Syed Muhammad Ishak Syed Abu Bakar.

Kata pelajar itu, antara sebab kenapa masih ada pelajar Malaysia di Syria yang masih enggan pulang adalah kerana mereka masih ingin teruskan belajar di halaqah-halaqah masjid dan menuntut ilmu di kuliah-kuliah universiti mereka. Tambah beliau, tempat mereka belajar itu jauh daripada kejadian yang melibatkan 40,000 orang yang sudah menjadi pelarian itu.

Jadi pesanan kita terhadap menteri pengajian tinggi Mohamed Khaled, sebelum mengangkat bicara tentang tanggungjawab, semak dahulu punca kenapa siswa ini enggan pulang. Rupanya, mereka sedar mengenai tanggungjawab menuntut ilmu ketika perang.

No comments: