Tuesday, March 13, 2012

Derma BR1M demi Islam tidak salah

Oleh RUHI HAYATI THANI

Perdana Menteri Najib Razak tidak kemas menyusun hujah mengenai Negara Berkebajikan. Katanya, 'Welfare State' menyebabkan negara miskin. Walhal sebelum ini beliau mendakwa, Umno sudah pun membangun Negara Kebajikan.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), katanya, adalah contoh Umno menjaga kebajikan. Mulanya Umno tiada masalah dengan BR1M, sehinggalah ahli PAS memanfaatkan wang itu untuk tabung pilihan raya.

Melompatlah Menteri Besar Perak Zambry Abd. Kadir mendengar berita ahli PAS mengguna BR1M demi tabung PAS itu. Katanya, PAS melaung prinsip negara berkebajikan, tapi mengguna wang orang miskin.

"Pas tidak patut memaksa mereka menyerahkan bantuan yang diterima untuk kepentingan parti pula. Buatlah cara lain, kasihanilah rakyat,” katanya saat memetik sumber blog Taiping Central.

Blog itu mendedah surat pekeliling Setiausaha Pas Kawasan Taiping mengenai kutipan derma ahli Pas yang mendapat BR1M untuk tabung pilihan raya. Hati Umno mana yang tidak terbakar mendengar wang BR1M untuk pancing undi itu akhirnya jatuh ke tangan PAS, lalu wang itu digunakan untuk tabung pilihan raya. Zambry mesti marah. Tapi, marahnya mesti kelihatan bersopan.

Tidak mungkin kenyataannya diangkat dalam wajah kepartian, melainkan mesti diguna senjata lawan; 'Negara Berkebajikan' untuk tikam musuh. Zambry tidak berkata, "Kenapa guna duit orang Umno untuk tabung parti PAS!?"

Maka, Zambry bertindak bijak mengguna 'Negara Berkebajikan' ketika menyerang sikap ahli PAS mengguna BR1M itu. Sebenarnya Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain sudah jawab hal itu.

Beliau tidak nafikan memang ada derma ahli PAS untuk tabung Pas cawangan Kamunting demi pilihan raya depan. Lagi pun katanya, tiada unsur paksaan untuk ahli cawangan itu menderma sedikit wang bantuan itu.

Namun, Zambry sama ada tidak faham atau sengaja tidak faham, masih menyifatkan sikap ahli PAS memberi 10 peratus wang BR1M kepada tabung parti itu adalah amalan tidak wajar. Katanya rakyat perlu nilai perjuangan Pas yang memperjuang konsep negara berkebajikan, tapi mengambil kesempatan ke atas orang miskin demi politik.

Dakwa Zambry, tindakan Pas Kamunting, menunjukkan pembangkang terdesak menghadapi pilihan raya umum sehingga sanggup mengambil wang yang diberi kerajaan kepada orang miskin demi agenda politik.

"Mereka sudah tiada jalan lain. Jadi, mereka gunakan orang miskin yang kita bantu bagi tujuan kepentingan politik mereka dan apabila minta komen, katanya Pas menggalakkan ahlinya bersedekah dan mereka tidak ada rasa bersalah langsung," katanya.

Utusan melaporkan bahawa, blog Taiping Central menyiarkan surat bertarikh 1 Disember tahun lalu bertajuk, 'Rayuan sumbangan derma one off RM50 atau 10 peratus daripada ganjaran pemberian daripada kerajaan pemerintah BN sebanyak RM500 kepada mereka yang bekerja dan berpencen pada bulan Disember 2011 untuk 'tabung pilihan raya N16 Kamunting'.

Berpandukan tajuk surat itu pun kita boleh tahu bahawa dakwaan Zambry itu tidak berasas. PAS merayu ahlinya bersedekah kira-kira RM50 untuk tabung pilihan raya Kamunting.

Rayuan sumbangan derma bukan paksaan. Kedudukan wang BR1M itu telah jadi hak milik rakyat, sama ada mereka PAS atau bukan. Menjadi hak mereka untuk menderma kepada sesiapa pun termasuklah PAS.

PAS cuma rayu ahlinya menyumbang demi Islam. Ahli PAS berhak memberi atau tidak. Lebih afdal mereka derma demi Islam. Kalau mereka tidak memberi pun, mereka tidak berdosa.


Umno boleh buat rayuan yang sama ke atas ahlinya agar menderma RM50 seorang daripada wang BR1M demi perjuangan Melayu, walaupun rakyat tahu Umno kaya selepas 'merompak' tanah rizab Melayu. Tiada masalahnya. Tiada ahli PAS kecil hati, tersinggung dengan rayuan Umno ke atas ahlinya untuk memenuhkan kantung parti untuk mendepani pilihan raya nanti.

Tetapi Zambry terlanjur mengkritik. Najib mungkin hendak meniru langkah PAS, iaitu merayu ahli untuk menderma kepada parti demi pilihan raya. Namun, apakan daya? Zambry terlanjur mengkritik PAS. Jika Najib hendak tiru langkah PAS itu, terasa malu pula.

Kepada Zambry, kita berpesan bahawa bersedekah itu amalan mulia. Jangan halang orang mahu buat kebaikan. Sentiasa ingat bahawa, ketika seseorang sudah ambil miliknya (BR1M), maka dia berhak belanja wang itu ke mana-mana termasuklah menderma kepada PAS.

No comments: