Wednesday, March 14, 2012

Kiriman balas surat buat Rafidah Zahari

Oleh H FANSURI

Anak Zahari Hasib, puan Rafidah mengirim surat ringkas dengan titipan puisi dengan iringan Al-Fatihah kepada kami. Demikian antara isi suratnya itu.

Salam, Encik H Fansuri,

Saya Rafidah Zahari, anak kepada Allahyarham Zahari Hasib ingin menyatakan ucapan terima kasih kepada Harakah kerana telah menyiarkan sajak-sajak ayahanda saya sepanjang karier beliau sebagai penulis.


Kami sekeluarga amat terharu dengan rencana 5 Mac yang memperingati arwah dan ditulis encik H Fansuri. Terima kasih daripada kami. Hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat membalasnya. Mudah-mudahan roh Allahyarham akan ditempatkan bersama golongan mukminin. Amin...

"Majulah Harakah"

Salam,

Rafidah Zahari


Maka, surat itu dibalas sebagai berikut:-

Puan Rafidah Zahari yang terhormat...

Betapa kami semua berbangga menyambut puisi-puisi pakcik Zahari yang sungguh berharga itu. Kesungguhannya dalam berpuisi barangkali tidak dapat ditandingi sesiapa pada dekad-dekad dan abad ini sehinggakan saya secara peribadi menyangkakan bahawa puisi-puisi itulah ruh, detak jantung, denyut nadi dan tangkai jiwanya. 

Dia dan puisi adalah kembar erat. Pak Zahari dan dunia persajakan adalah kembar rapat yang tidak boleh dipisahkan lagi.

Mungkin Pak Zahari dilahirkan ke dunia ini, semata-mata untuk berpuisi. Sajak itu darah dagingnya. Orang-orang yang dilahirkan untuk sesuatu nawaitu tertentu amat sedikit sekali dan boleh dihitung dengan jari. 

Arwah Rustam A Sani antara orang yang kerap terhitung sebagai sosok yang hidup matinya semata-mata kerana pemikiran. Jika Tuhan mahu menamatkan pemikirannya, maka ajalnya pun tibalah.

Demikianlah Pak Zahari. Dia pergi meninggalkan kita ketika Tuhan mengkehendaki agar sajaknya tamat setakat itu. Mereka yang berkorban, mewakafkan waktunya demi pemikiran, jiwanya bagai wali-wali dan nabi-nabi. 

Nabi Muhammad s.a.w adalah insan yang hidup dan matinya semata-mata wahyu. Jika baginda wafat, itu bererti Tuhan sendiri memutuskan agar wahyu dihentikan dengan kewafatan baginda.

Pada malam-malam tarikh ajal {deadline) Harakah ini, jika ada puisinya yang tersiar, kami kan bergelak ketawa sekilas mengenai sajaknya itu. Dia bukan berpuisi untuk dirinya, malah dia juga menyemak perkembangan penulis lain. 

Selepas ini, tiada lagi suara serak garaunya yang menelefon untuk beritahu bahawa puisi dan cerpen saya ada tersiar di beberapa majalah dan akhbar tertentu. Demi sesungguhnya, saya sangat merindui suara serak garaunya itu.

Kalau hendak diperturunkan catatan anekdot mengenai Pak Zahari ini tentu panjang juga dan tidak termuat di ruangan ini. Kini, hanya tinggal sebiji buah lai hadiah pemberiannya untuk dihadam esok lusa. Itu antara kenangan yang masih tersisa dalam bentuk jamad. Tapi, kenangan itu boleh hilang nanti.

Yang kekal, tidak akan pernah hilang adalah pemikiran dan catatan Pak Zahari yang mengasuh kemanusiaan dan mendidik manusia agar lebih manusiawi lewat puisi-puisinya itu. 

Seorang jaguh puisi sufi Maulana Jamaludin Rumi pernah bermadah (lebih kurang bunyinya), "Tidaklah perlu dicari pusara orang-orang yang baik itu di perkuburan, kerana pusara mereka yang sebenarnya sudah berada di dalam hati setiap manusia yang mengingatinya."

Sekianlah puan, salam perkenalan dari keluarga besar Harakah dan kepada arwah, dikalungkan pahala bacaan daripada Surah Al-Fatihah...

No comments: