Monday, March 12, 2012

Wujudkah kempen perang ketakutan mufti?

Oleh RUHI HAYATI THANI

Di Utusan Online, ada kenyataan Mufti Pahang Abdul Rahman Osman tentang kempen mengundi ini. Berkata beliau, "Mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan."

Memang dalam Islam, jelas wujud arahan Tuhan untuk mengangkat pemerintah bertujuan menyelesaikan urusan umat. Firman Tuhan, "Sesungguhnya Allah SWT menyuruhmu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil..."

Maka, pesanan agar rakyat bawahan mendaftar sebagai pengundi ini sudah didahulukan, tapi bagaimana pula nasihat buat penguasa? Ya, begitulah antara tugas mufti. Sekadar memuatkan fatwa ke atas orang bawahan, maka tugas digalas itu tidak mencukupi. Ia tidak terhenti di situ. Yang paling utama adalah menegur kesilapan penguasa.

Kalau hal ini gagal dilaksanakan, maka jadilah mufti itu 'syaitan yang bisu'. Syaitan itu makhluk jahat. Tetapi, belum ada kempen besar untuk memerangi jenayah 'syaitan bisu' ini, iaitu agamawan, mufti yang berdiam diri ke atas kesesatan dan kezaliman penguasa.

Alkisahnya, baru-baru ini, di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak), Dr Mahathir 'meracau' lagi mengenai Hudud. Lalu, seorang kenalan bercerita tentang sikap seorang mufti 'bebas' yang seolah-olah lunak dengan banyak kenyataan Dr Mahathir yang tersasar sebelum ini.

Secara sindiran, dia berkata, "Takkanlah disebabkan dia banyak kali minum kopi dengan Dr Mahathir, maka itu jadi alasan untuk dia sangka baik dengan bekas Perdana Menteri itu. Apakah dia mahu tunggu dan balik Malaysia, lalu minum kopi dengan Dr Mahathir, maka barulah dia mahu jelaskan kedudukan isu itu?"

Ucapan Dr Mahathir di Unimas memang boleh mengelirukan pemikiran masyarakat awam, terhadap hukum Allah s.w.t, iaitu Hudud. Jika Dr Mahathir yang sesat dalam pencarian kebenaran tentang Hudud di hujung nyawa, hal itu beliau tanggung sendiri. Dr Mahathir mungkin ditanya di akhirat, kenapa beliau tidak mahu belajar dengan lebih banyak dan mendalam lagi mengenai Hudud ini?

"Hudud ini dibentuk oleh ahli-ahli fekah, ia tidak terdapat dalam al-Quran. Dalam al-Quran, ada hukum-hukum yang tidak begitu keras seperti hukum Hudud ciptaan ahli-ahli Fekah," kata Dr Mahathir dalam suatu acara di universiti berkenaan.

Jadi, ketika bertembung dengan kenyataan Dr Mahathir ini, maka kenalan penulis itu berkata, bahawa bekas mufti yang dilihat bebas itu sepatutnya menjawab terus kenyataan sesat bekas PM itu lewat rencana beliau sejak awal lagi.

Katanya, dalam hal ini, agamawan Perkasa dan Wahabi Literalis Umno kelihatan lebih tegas membantah pendapat Dr Mahathir yang sesat berhubung isu Hudud yang terbaru ini. Maka, menurutnya, bekas mufti yang kini bebas, dan dilihat bebas, sepatutnya akan lebih keras sikapnya jika mahu dibanding dengan golongan agamawan Umno itu.

"Jangan disebabkan Dr Mahathir belanja kita minum kopi, sanggup bekas mufti itu buang gelaran ulamak bebas demi menjaga nama baik Dr Mahathir dalam isu ini dengan alasan yang lemah," kata kenalan saya itu lagi.

Jika Najib berada di pihak yang benar ketika menziarahi kuil Hindu menjelang Thaipussam, maka berani pula dia bertemu Mufti Perak Harussani Zakaria bagi menjelaskan kedudukan akidahnya itu. Maka, lunaklah pula hati Harussani dengan Najib, walhal tegurannya ke atas Najib itu bukan cuma terhad ke atas isu 'ziarah' Najib ke perayaan Hindu kali ini saja, malah turut melibatkan ziarah Najib dalam perayaan Hindu sebelum ini juga.

Itu cerita hubungan Harussani dengan Najib.

Kini, tiba pula giliran Dr Mahathir yang tersesat pendapat mengenai Hudud, lalu si bekas mufti ini berdiam diri ke atas kesesatan bekas PM itu. Begitu antara isi rungutan kenalan saya itu. Musim ini saya tertanya-tanya juga. Di sana-sini, ada kempen memerangi pelbagai jenis jenayah.

Ada jenayah ragut, jenayah pemerdagangan manusia dan lainnya. Jika agamawan yang takut menegur penguasa dilihat 'syaitan bisu', maka syaitan juga sosok jahat. Jahat dalam erti kata, sikap bisunya adalah sejenis kejahatan. Sama ada bisu boleh dianggap suatu jenayah atau tidak, maka hal itu boleh dibahas kemudian.

Kita cuma tertanya-tanya, "Adakah boleh disusun kempen memerangi 'syaitan bisu' dan isytihar perang ke atas agamawan penakut ini?"

No comments: