Saturday, March 10, 2012

Tuduhan khalwat diselubungi keraguan

Oleh BOESTAMAM SARI

Malam larut ke dinihari. Tapi, saya hadir juga dalam acara pengkebumian arwah Mohamed Shafri Shamsuddin, bekas wartawan Harakah selepas selesai solat jenazah itu. Di tanah perkuburan itu saya melihat kelibat Ustaz Badrulamin menabur semula saki baki tanah ke dalam liang lahad arwah Shaffri itu.

Dalam berpeluh keringat, beliau berpesan kepada para penggali kubur, "Mampatkan tanah, tapi jangan dipijak-pijakkan tanah tu."

Ketika habis bacaan talkin yang beliau pimpin, Badrulamin menghampiri anak-anak arwah Shaffri, lalu berkata, "Kalau sayang ayah, jangan nakal-nakal, baca al-Quran selalu, sedekah pahalanya kepada ayah."

Sepertinya, baru semalam ia berlaku. Hari ini media-media Umno sudah besarkan Badrulamin atas isu khalwat. Sebenarnya, Badrulamin telah menjawab. Katanya, wanita itu menghubunginya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat melarikan diri dari rumah kerana bimbang keselamatan dirinya.

Bagaimanapun, menurut Badrulamin, beliau sudah menasihatkannya agar tidak bertindak sedemikian. Katanya, pasangan yang sedang berdepan dengan masalah rumah tangga ini sering berhubung dengannya untuk mendapat nasihat tentang masalah hal keluarga yang mereka hadapi termasuklah perkara yang berkaitan hal keganasan rumah tangga.

"Dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin," kata Badrulamin. Maka, isteri Badrulamin juga pernah mengenali kedua-dua pasangan suami isteri ini.

Hari ini hubungan mereka mungkin bertambah parah dan si isteri perlukan khidmat nasihat daripada orang yang beliau percaya. Antaranya adalah Ustaz Badrulamin. Wanita ini mungkin keluar rumahnya dalam perasaan tidak keruan.

Dia tidak hanya risaukan dirinya, malah anaknya juga. Maka, anaknya turut dibawa sekali. Di sini, kita dapat mengesan bahawa tuduhan khalwat berada di tahap meragukan. Ini kerana, lazimnya, pelaku maksiat tidak membawa orang ketiga.

Seterusnya tindakan jahat lazimnya tidak dibuat ketika pelakunya mengetahui bahawa tempat itu (hotel) dihuni kenalan sendiri. Di dalam kes Badrulamin mustahil khalwat terjadi apabila ramai kenalannya menginap di hotel yang sama. Perilaku jahat lazimnya tidak dihebohkan dan dibuat secara diam-diam.

Contoh terbaik, perdana menteri hari ini telah dituduh berbuat serong dengan penyanyi terkenal di sebuah tempat di Port Dickson. Salah laku PM itu (jika benar berlaku), didakwa wujud ketika tiada mesyuarat di situ.

PM hari ini akan berbuat serong mungkin dengan ketiadaan isterinya. Mungkin sebab itu Rosmah sentiasa memburunya jika ada acara di luar negara ini? Rakyat tertanya-tanya juga, "Mungkinkah Rosmah juga tidak percayakan Najib?"

Kembali kepada Badrulamin, nampaknya tindakan wanita itu keluar lantaran risau keselamatan diri dan anaknya berasas juga. Mungkin, dia tahu bahawa suaminya terlibat dengan keganasan. Buktinya, ketika ramai orang datang menyerbu hotel itu, dilaporkan bahawa mereka bersikap samseng.

Kata Badrulamin, "Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka, namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik."

Menurut laporan lain, setelah 20 minit dikurung kumpulan samseng, maka pegawai Jabatan Agama Islam Pahang pun tiba dan menahannya sendirian di bilik. Jadi, beliau memang bersendirian di biliknya. Sudah ada keraguan bahawa terjadinya perilaku khalwat itu.

Ya, wanita itu mungkin takut kerana suaminya terlibat dengan gejala samseng itu. Suaminya telah memanggil samseng dalam masa singkat. Hal ini akan menumbuhkan pertanyaan lain pula, "Mungkinkah benar wanita itu ketakutan kerana memang pernah berlaku keganasan di rumah?"

Ringkasnya masih banyak keraguan yang terhimpun di benak fikiran rakyat kalau yang melaporkan semua ini adalah Kosmo! Utusan dan Berita Harian. Di sana, saya masih terbayang sosok Badrulamin yang sentiasa akrab dengan keluarga arwah Shaffri hingga dia turut hadir pada saat pengkebumiannya.

Maka, tidaklah mustahil jika Badrulamin mengakrabi keluarga bermasalah termasuklah wanita yang datang meminta bantuannya itu.

No comments: