Sunday, April 01, 2012

Sokongan Najib kerana undi

Oleh H FANSURI

Saya pulang daripada Sekolah Demokrasi 2.0, tajaan Roketkini (lidah rasmi Dap), Shah Alam pada 24 - 25 Mac. 

Ada pertandingan calon Presiden Sekdem 2.0 diadakan dan ada 3 buah kumpulan NGO diwujudkan dalam kempen. Dan ada kes antara penternak lembu dan pengilang yang cuba dimuhasabahkan untuk dicari langkah penyelesaian.

"Itu cerita benar yang berlaku di Felda Chuping pada 1993,"
kata ketua jurulatih kami. "Ia melibatkan tiga tahun untuk diselesaikan."


Kami belajar beza antara 'pemerhatian', 'pendapat' dan 'penghujahan'. Dalam apa jua keadaan, pemerhatian perlu didahulukan dibanding pendapat dan penghujahan. Dalam penulisan dan ketika menyusun kata-kata, ramai orang mengeluarkan pendapat dan terus berhujah tanpa menyiasat lanjut.

Arakian, pilihan raya makin dekat. Menurut qaul pendapat kebanyakan SB (Special Branch), Cawangan Khas Bukit Aman, pilihan raya diadakan pada Jun. Sementara itu, kata orang parti, pilihan raya akan berlaku pada hujung Mei.

Hal kedudukan tarikh pilihan raya ini, masih bersifat 'pemerhatian'. Yang bersifat pendapat, mungkin bunyinya, "Jika SB boleh bocor rahsia kepada orang awam, mungkinkah polis boleh sokong revolusi dalam Bersih 3.0 pada hujung April ini sebelum PRU diadakan pada awal Mei atau Jun?"

Jika begitu tidak hairanlah apabila hampir setiap malam Najib salurkan wang kepada rakyat. Ini demam pilihan raya. Tapi ini cuma pendapat berdasarkan pemerhatian setiap malam ketika berita disiarkan.

Seorang rakan menuduh Pakatan Rakyat tidak mempedulikan hal kebudayaan dibanding Najib dan BN. Menurut ukuran pemerhatian saya mungkin beliau merujuk kesungguhan Najib menabur duit, melabur ringgit sebanyak RM5 juta kepada ITNM-Pena.

Tapi saya kurang periksa, hal PR yang dituduh tidak pedulikan kesusasteraan itu - adakah ia pendapat yang didasari pemerhatian ke atas peristiwa khas? Jika ada, mana satu fakta kesnya? Hal pendapat yang diutarakan tanpa merujuk peristiwa khusus inilah yang membangun kekeliruan dalam berfikir.

Lalu, saya berkata, "Ya, Najib Razak 'menghargai' kaum penulis itu pun dekat-dekat pilihan raya saja."

Lantas, dia membela Najib, "Setidak-tidaknya, Najib Razak raikan penulis walau dekat pilihan raya, dibanding PR," kata beliau. "Adakah PR raikan penulis ini menjelang pilihan raya juga?"

Agak aneh, saat rakan yang dianggap kiri boleh kelihatan seperti menyokong Umno dan BN kini. Apakah yang dimaksudkan dengan hargai penulis di sini?

Adakah dengan wujudnya anugerah, maka itulah maksudnya penghargaan kepada penulis? Jika demikian, pemikiran kebendaan sudah menjalar ke dalam fikiran kebanyakan kaum penulis. Ini amat merbahaya kerana kaum penulis dahulu tidak berjuang merebut anugerah.

Pak Sako sehingga ke akhir hayat tidak mendapat anugerah. Jangan diukur sikap Najib raikan penulis dengan merasmikan PPMN, Pena serta merasmikan acara Gapena sebagai sandaran bukti bahawa Najib menyokong perjuangan kaum penulis.

Untuk saya, kita patut adil dalam melakukan pemerhatian betapa Pakatan Rakyat telah meraikan pendapat penulis budayawan dengan menyokong GMP, membantah PPSMI dan turut menyeru umat ke jalan raya ketika GMP benar-benar mahukan sokongan rakyat ketika itu.

Najib sebetulnya tidak menyokong perjuangan budayawan yang menyelar nama Pudu Sentral. Jadi, kenapa hal ini tidak diambil kira ketika mengeluarkan pendapat bahawa Najib itu menyokong perjuangan penulis?

Menurut hemat saya, beza bentuk sokongan Pakatan Rakyat dan BN ke atas budayawan-penulis adalah, PR sokong budayawan, tapi tidak lewat anugerah yang melalaikan budayawan-penulis.

(Sebetulnya, Selangor sudah pun beri anugerah kepada Prof Shaharir Md Zain. Jadi, ini antara bukti bahawa Pakatan Rakyat tidak meminggirkan budayawan, seniman. Ada juga anugerah diberi kepada bakat muda Selangor. Hasmi Hashim pernah meraih anugerah ini.)

Inilah bezanya cara Pakatan Rakyat menyokong perjuangan penulis, tidak cuma mengisi keperluan material, malah sokongan kejiwaan juga ketika berarak turun ke jalan raya.

Ya, Umno 'membantu' kepenyairan A Samad Said dengan mengirim semburan air kimia ke wajah tuanya saat rapat umum diadakan di Masjid Negara. Entahlah mana satu penghujahan, pendapat dan pemerhatian. Saudara berhak menilainya sendiri.

No comments: