Monday, January 14, 2013

Croissant Rosmah, tanda awal kejatuhan Najib?

Croissant Rosmah, tanda kejatuhan Najib?

Oleh IBNUAMIR AL-PENDANGI

"…It is the duty of every patriot to protect his country from its government…" - (Thomas Paine)

Marie Antoinette adalah permaisuri terakhir Perancis yang kerap dinisbahkan dengan revolusi di negara berkenaan. Hari ini, Perancis kerap dikaitkan dengan Malaysia gara-gara skandal kapal selam Scorpene.  

Menurut catatan ramai pihak, permaisuri yang gemar bermewahan ini pernah mengeluarkan ungkapan yang memedihkan hati rakyatnya sendiri, “Jika tiada roti untuk dimakan, makanlah kek seperti saya.”

Kononnya kata-kata itu membangkitkan lagi gelora dan kepedihan. Hati mereka jadi tersayat dan tersiat-siat ekoran kelaparan yang memuncak. Rakyat fikir, aduan berhubung kelaparan mereka itu didengari.

Malahan, Marie bertindak liar dengan mengeluarkan kata-kata yang menyinggung hati mereka. Revolusi itu pun mula bangkit menjadi marak terus bagaikan api yang tidak dapat dikawal dan ditahan-tahan lagi.

Kini Rosmah Mansor datang membikin onar lagi dengan roti croissant. Cara isteri Najib Razak itu berbual kepada pihak media sangat menjengkelkan. Jawapannya menyinggung rasa ramai pihak juga.

“Pastikan roti dan croissant ini sampai kepada anak-anak ini, sebab saya tidak fikir anak-anak daripada pusat Permata ini pernah mengecapi croissant.

"Jadi tolonglah beri mereka peluang untuk merasai croissant - bukan sahaja anak-anak di rumah (jagaan) tetapi juga di pusat Permata," katanya lagi.

Sama ada kita sedar atau pun tidak, Rosmah secara tidak sengaja telah menghina anak-anak Permata itu sendiri. Penghinaan pertama, adalah kerana beliau seolah-olah beranggapan bahawa mereka itu miskin, dan lantaran kemiskinan itu, mereka tidak pernah mengecapi nikmat merasai roti itu seumur hidup.

Kata-kata ini memberi gambaran bahawa, beliau sedar bahawa tidaklah ramai orang yang memakan roti mewah croissant, iaitulah pastri yang berlapiskan mentega dan berbentuk bulan sabit.

Penghinaan kedua, adalah berkaitan nilai-nilai akademik yang bersangkutan kependidikan Permata itu. Rakyat tertanya-tanya, adakah anak-anak mereka dihantar ke Permata untuk makan roti croissant atau untuk menimba ilmu pengetahuan? Alangkah hinanya jika mahu makan sedap, maka perlu ke Permata.

Dan, Permata pun bukanlah lagi menjadi sebuah pusat pendidikan dan pembelajaran untuk anak bestari itu, melainkan ia menjadi tempat jamuan makanan mewah pula nanti. Mujur tiada lagi alim-ulama’ yang berfatwa, bahawa memakan roti croissant itu adalah ‘sunnah Rosmah’.

Rosmah selalu hadir dengan polemik murahan seperti ini. Maka, kali ini roti croissant pula yang menjadi sasarannya untuk kembali menghina rakyat yang tidak memakan roti tersebut. Bagaimanapun semua itu diwajahkan dengan watak mulia dan bermaksud baik, iaitulah program Roti 1Malaysia.

Atas nama program ini, maka ada usaha mengumpul lebihan roti daripada hotel mewah untuk diagih ke rumah-rumah kebajikan dan kepada insan-insan yang lebih memerlukannya.


Lalu, beliau mencadangkan agar program itu diperluas lagi kepada pusat pendidikan anak-anak Permata yang berada di bawah seliaannya selama ini.

"Saya ingin merayu dan mencadang untuk pertimbangan program Roti 1Malaysia – mungkin anda boleh pertimbang secara serius untuk memperluas program ini ke semua pusat Permata kami di seluruh negara," katanya semasa pelancaran acara itu di ibu kota pada baru-baru ini.

Mungkin setakat inilah tahap pemikiran Rosmah. Beliau hanya bercakap mengenai roti. Mujurlah beliau tidak meminta capati. Antara banyak-banyak roti, Roti Perancis juga digemari orang. Mungkinkah roti itu ada hubungannya dengan revolusi?

Arakian, tanggal 12 Januari di ibu kota, ada siri demonstrasi berikutnya yang akan menjawab kebiadapan Rosmah Mansor dan Najib Razak yang angkuh dengan kekayaan dan kemewahan mereka selama ini!

No comments: