Meluruskan asas pemikiran penyair
Oleh H FANSURI
Barangkali, dalam tempoh-tempoh masa
berharga yang semakin menghampiri detik pembubaran Parlimen, kita tak perlu
lagi bengkel penulisan kreatif dan latihan mengarang novel. Kebanyakan pengarang
novel sejak dahulu tidak dibangunkan kemahiran mereka dengan bengkel tersebut.
Kesusahan hidup telah mengajar
mereka erti berani, keperitan hidup zaman perang telah banyak mencetak khazanah
paling berharga, iaitulah pengalaman hidup mereka sendiri.
Penulis yang hidup menyaksikan
perang dan penjajahan pada zaman British dan Jepun tentu saja terlibat dalam
politik melawan penjajah. Ertinya, pengalaman hidup berbentuk politik zaman,
era penjajah inilah yang membina garangan kata-kata yang menerbitkan keindahan
yang tersendiri.
Selepas merdeka, pengarang muda telah
menjadi senang dan tidak merasai kelazatan hidup yang terhimpit. Barangkali,
sesekali mereka ini perlu ditamrinkan dan diletakkan di sekolah pondok.
Kesusahan dan keperitan hidup itulah
yang akhirnya membina daya kreatif dalam penulisan. Dan kesimpulannya, jika
hendak melatih jiwa pengarang yang tahan lasak, belajar untuk hidup susah!
Kehidupan susah menyebabkan sesiapa
pun boleh bangkit menjadi ahli falsafah. Dan, kehidupan susah akibat dijajah,
ditindas itulah yang menzahirkan penolakan demi penolakan dalam bentuk seni
yang terindah - cerpen, puisi, sajak, novel dan hikayat-hikayat perang pada
zaman yang lalu.
Politik yang menindas itulah yang
melonjakkan sederetan nama penulis. Maka, kesenangan hari ini mungkin tidak
berjaya dan dan tidak berdaya menghasilkan pengarang seperti masa lalu. Kita sudah
tamat barangkali dalam upaya melahirkan pengarang seperti masa yang lalu.
Sedangkan perang masih terjadi, dan
revolusi masih juga hadir di sana-sini meski tiada perang di tanahair sendiri. Ada
juga yang keluar untuk meriwayatkan kisah revolusi di luar negeri tapi sulit
pula menyerap rasa derita dan pahit maung orang tertindas dalam karya-karya mereka.
‘Perang’ hari ini di tanah air
sendiri kini tidak lagi hadir dalam wajah penjajah British, Jepun dan Portugis
yang menyinga tapi ‘perang’ (saudara kembar revolusi) berlaku antara mustadh’afin
dan mustakbirin di negara sendiri sesama kita. Pengarang yang merakam semua ini
adalah perwira!
Kalau dihayati kisah perjuangan
rakyat membantah Lynas, isu Pengerang dan lain-lainnya, maka keindahan boleh
sahaja tercipta tanpa kita perlu memburu bengkel latihan penulisan kreatif pun.
Kepayahan dan perasaan orang itulah guru yang membantu dalam melatih
kepengarangan itu.
Hari ini juga, kita asyik
membicarakan karya-karya novelis 1950-an, 60-an dan seterusnya. Jadi, jika kita
menulis hal-hal yang lari daripada catatan sengketa ‘perang’ antara Pakatan
Rakyat dan BN, maka tiada lagi catatan kita itu diendahkan pengarang muda untuk
20 tahun akan datang.
Entah di mana silapnya? Adakah kerana
kita diburu ketakutan untuk menulis ini disebabkan oleh rasa sayang jika nama ditahan
daripada senarai pemenang anugerah yang berjejeran di akhbar.
Banyaklah yang kita perlu muhasabahkan
diri. Polemik-polemik dan debat-debat mengenai dasar parti-parti politik
seakan-akan mati dengan sendirinya di tangan para pengarang. Pengarang tidak
akan berani bercakap dan memihak atas sebab-sebab yang sulit disebutkan.
Dan, jikalau ditanya-tanyakan selalu
berhubung kesulitan mereka itu, akan malu-malu pula sang pengarang mahu menyatakan
sebab kenapa mereka tidak bersuara membetulkan keadaan itu.
Akhirnya, yang terbit itu adalah
keluhan, teriakan dan ratapan di warung kopi mengenai masalah politik negara. Apabila
diajak berbincang hal keluhan ratapan itu secara rasmi dan bertulis, maka tiada
pula yang sudi dan sanggup berwacana mengenainya padahal debat adalah tugas-tugas
kita.
Inilah antara sikap-sikap yang ada
dan entah bilakah ratapan tidak rasmi di warung kopi tentang masalah politik
kenegaraan ini boleh diangkat secara rasmi untuk dibahas secara terbuka pula?
No comments:
Post a Comment