Kita perlu ‘Taman Ismail
Marzuki’ di Malaysia
Oleh H FANSURI
Apabila Stadium Merdeka
dibanjiri kira-kira 40,000 orang di dalamnya dan di luarnya entah berapa
puluhan ribu lagi, pada detik inilah, A Samad Said menyatakan kagumnya terhadap
para peserta.
Beliau tidak pernah
menjangkakan betapa puisi, sajak dan kata-kata ini boleh dilihat sebagai
senjata dalam perjuangan mengguling kezaliman. Di Stadium Merdeka, saya
termenung jua mendengarkan ucapannya itu.
"Di usia saya begini
inilah kali pertama saya membaca puisi di hadapan hadirin sebegini ramai,"
kata novelis Salina itu selepas Ito menyanyikan lagu ‘Ubah Sekarang, Selamatkan
Malaysia’.
Rakyat masih dibuai kelekaan
dan membuat 'gelombang turun-naik' ketika Pak Samad mula-mula membaca puisinya
itu. Kegembiraan dibuai lagu Ito itu masih terasa juga. Tetapi, lama-kelamaan,
semuanya terdiam dan jadi khusyuk pula mendengar pada tiap-tiap bait puisi itu.
Di Atas Padang Sejarah
Di dataran sejarah suara
kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang
tanpa resah tanpa takut.
Lagu kita rindu demokrasi
darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai
kemerdekaan diri.
Rumput di kaki, awan di kepala,
gah iringi murba,
seramainya, sederapnya,
setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara,
bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita
sebangsa dan sejiwa murni.
Di atas padang sejarah
pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah
mengisi rindu demokrasi.
Diri kita amat padu maruah
senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim,
menyubur kuning berseri.
Kita, tenaga jati, gah
berjuang demi keadilan,
kita terbang sederas sinar
julang panji kebenaran.
Tamat puisi A. Samad Said
itu. Pesan-pesan yang terbang di ruang udara stadium itu sudah agak lama
dihadam demonstran revolusioner. Pesan-pesan yang dicurah lewat puisi memang
mudah dikunyah. Jadi kepelbagaian persembahan dalam kegiatan kesenian itu amat
perlu.
Pada malam sebelumnya saya
hadiri ucapan tokoh-tokoh di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru. Kelompok artis
Hairie Othman, Abby Abadi berada di atas pentas. Mereka ini bukan barisan
pemidato dan keahlian mereka itu pun bukanlah dalam bidang ceramah pidato.
Ada suatu kekosongan yang
perlu kita isi sekarang dalam mengupayakan setiap kemahiran orang yang ingin
menggulingkan kerajaan zalim Umno dan BN dalam masa akan datang.
Stadium Merdeka itu entah
berapa upah sewanya untuk 2 ke 3 jam. Timbalan Presiden PAS Haji Mohd Sabu
bergurau petang itu, “Anda yang datang, andalah yang bayar.”
Para petugas itu hadir
mengutip derma untuk membayar sewaan stadium tersebut. Agaknya kita perlukan
sebuah tempat yang dapat himpunkan segala bentuk kegiatan seni dan budaya yang menolak
penindasan dan mengguling kezaliman.
Ada orang yang suka
berhibur. Ada orang suka menyanyi dan mendeklamasikan puisi. Ada yang suka
berlakon dan ingin dilibat dengan pementasan teater. Ada yang suka menyunting
filem pendek. Dan ada yang ingin teater pendek berbentuk lawak jenaka di
Stadium Merdeka.
Tapi, apakan daya ia milik
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Jika kita berjaya tawan negeri-negeri di bawah
Pakatan Rakyat, maka majlis-majlis kerajaan tempatan wajar juga memberi
pelepasan kepada kegiatan seni yang ingin mengguling kezaliman penguasa itu.
Di Indonesia sudah ada Taman
Ismail Marzuki. Rasanya kumpulan pelakon, anak seni perlu kemukakan tuntutan ke
atas Pakatan Rakyat - “Kita mahu Taman Ismail Marzuki Malaysia!”
No comments:
Post a Comment