Oleh
H FANSURI
Pepatah
Mongolia menyebut, “Debat dengan sabar itu lebih baik dibanding damai
berpura-pura.” Ini bermaksud, berhujah menyatakan buah fikiran lalu akan
berperang lidah itu adalah lebih baik dibanding berdiam kerana enggan bergaduh
walau dalam hati penuh tepu dengan gelora dendam.
Terkini,
Umno dan BN akan memperalat isu agama iaitu ‘kepenggunaan’ nama Allah oleh
orang bukan Islam sebagai alat mencandui pemikiran rakyat. Akhirnya, dalam
diam, satu rumusan lain akan terbina - lebih baik mengundi BN dibanding Pakatan
Rakyat yang merelakan hal ini terjadi.
Dalam
keterbatasan ruang, kita tidak dapat meneruskan banyak ulasan berhubung betul
salah dan benar – batil dalam isu itu. Sungguh! Ini ruangan kecil dan kerdil
dan tidak mungkin memuaskan hati orang-orang yang ingin mencari kebenaran,
menegakkan yang hak dalam isu ini.
Secara
ringkas, ada dua kelompok yang berhempas pulas menjawab isu ini. Kelompok
akademik dan politikus parti. Akademikus lebih jujur sebab tiada kepentingan.
Manakala politikus hanyut dalam arus dilema lantaran memikirkan soal undi.
Kelompok
akademik yang berkecimpung dalam politik pun akan turut dicengkam dilema kerana
hal yang semacam ini jua. Akhirnya terbitlah dua pandangan - satu pihak
merelakan dan lainnya menentang. Ini pendapat Muslimin. Ada juga gerejawan yang
enggan nama ‘Allah’ digunakan.
Tapi,
tidak mungkin media Umno akan menyingkap kata-kata gerejawan ini kerana ia
tidak akan berfaedah untuk melepaskan peluru fitnah bagi mengganyang Pakatan
Rakyat. Hanya kenyataan PR yang dilaga-lagakan dalam medan pertempuran akliah
bertujuan memeningkan fikiran orang.
Jadi
perkara inilah yang patut difahami terlebih awal kenapakah isu ini diwujudkan
semula. Oleh sebab ruangan ini terbatas, maka kita hentikan di sini saja
kecuali pembaca berminat menyalakan polemik yang merebakkan pencerahan selanjutnya,
maka bolehlah wacana ini diperpanjangkan.
Sekarang,
marilah kita bermuhasabah mengenai kedudukan al-Quran sebagai ‘persuratan
agung’ yang tertuang di dalamnya debat-debat antara Muslimin dan Kristian,
Yahudi (Ahli Kitab). Kita akan terjumpa sejumlah kata-kata dan pesan yang
berkaitan seruan khas terhadap ‘ahli kitab’.
Betapa
banyaknya seruan berbunyi di dalam al-Quran itu, “Ya ahlal kitab… (Wahai Ahli
Kitab)” dan hal ini tentu sahaja menunjukkan betapa debat-debat pertempuran
akliah antara Muslim dan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu berlaku dengan
sangat hebatnya!
Rasulullah
s.a.w tidak perlu menoleh kepada pepatah Mongolia ketika mengamalkan dasar
debat dengan sabar dengan ahli-ahli kitab ini. Jawapan baginda dipandu wahyu
Allah s.w.t.
Dan, banyak lagi seruan yang dimulai
dengan ‘Wahai Ahli Kitab’ (Ya Ahlal Kitab) di dalam al-Quran itu. Ini jelas
menunjukkan bahawa sastera persuratan al-Quran telah menggalakkan debat
pertempuran akliah bersama Kristian dan Yahudi.
Tetapi, berapa ramai sasterawan dan
penyair yang berniat hendak terjebak ke dalam wilayah ini? Tidak ada! Kalaupun
ada, jumlahnya sangat sedikit. Ramai menulis untuk anugerah-anugerah.
Selebihnya menggunakan lapangan sastera
persuratan bagi melawan kezaliman pemerintah. Dan, sikap ini pun bagus juga
kerana mereka termasuk dalam aliran kepenyairan Hasan bin Tsabit dan Kaab bin
Malik yang berjuang membela maruah nabi dengan bakat kepenyairan mereka itu.
Jika sastera persuratan al-Quran sendiri
banyak menjawab persoalan akidah, maka penyair Islam dan sasterawan Islam
tentulah akan banyak menumpukan kegiatan kepada debat Islam - Kristian. Bukan
tugas politikus Muslim untuk bersoal-jawab dengan kelompok Kristian
Missionaries.
Barangkali tidak keterlalu jika
dikatakan bahawa inilah antara tugas dan peranan sebenar penyair Muslim itu
iaitu mengadakan debat bersama ahli-ahli kitab pada masa sekarang. Untuk
mencapai maksud, tujuan itu, kepustakaan penyair Muslim perlu ada Bible dan
kitab-kitab agama lain juga.
Kadang-kadang, halangan ini bukan
berpunca daripada faktor luaran, malah faktor dalaman. Jika ingin simpan kitab
agama lain dalam pustaka, ada yang sanggah dengan contoh batil, “Tak boleh
disatukan nasi dan najis…”
Sesetengah yang lain berkata, “Mungkin
si fulan nak pisahkan antara nasi, najis. Setelah dipisah keduanya, maka nasi
itu akan dimakan.” Rumusan awal, kegelapan pemikiran penyair Muslimin perlu
disuluh sebelum disalahkan politikus yang sebenarnya mentadbir negara dan wang
rakyat.
Ya penyair Muslim kini perlu bersedia
menggalas tugas untuk meneruskan debat Islam - Kristian kerana sastera
persuratan al-Quran itu sendiri dipenuhi debat antara kedua-dua agama besar
kini.
No comments:
Post a Comment