Monday, January 21, 2013
Syarifah Zohra perlu berdebat dengan Ambiga
Oleh BOESTAMAM SARI
Kedudukan sebagai 'ahli bait' bukanlah kayu pengukur kepada wujudnya pemikiran Islam dalam ruang pemikiran seseorang 'ahli bait' itu. Ini jawapan untuk orang yang memendam kritik ke atas manusia yang bernama 'Syarifah Zohra'.
Nama Ambiga disebut-sebut Syarifah Zohra di dalam sebuah pertengkaran di universiti di utara tanah air. Tetapi, apakah Zohra mampu dan mahu berdebat dengan Ambiga itu?
Asal mulanya, seorang pemudi sedang manfaatkan ruang awam bagi membahaskan tajuk Pendidikan Percuma di sebuah forum kemahasiswaan di Universiti Utara Malaysia.
Seperti mana kedudukan forum lain, kedudukan himpunan Bersih dan kebencian ke atas Ambiga turut diangkat dalam forum tersebut. Ini perkara yang biasa berlaku dalam mana-mana forum perbincangan sekali pun.
Jadi, di sinilah peranan moderator dalam meluruskan semula garis-garis penyimpangan di dalam forum-forum itu. Tetapi, penyimpangan ini bukanlah isu utama.
Yang paling utama dibahas adalah perkara pendidikan percuma itu tadi yang menentukan kewujudan sebuah dasar baru mengenai perjalanan pendidikan negara daripada sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti. Hal inilah yang wajar ditumpukan.
Apabila Zohra sudah diberi peluang bercakap oleh Bawani, maka perbualan meleret-leret kepada benda yang tidak munasabah seperti ikan, ikan jerung, itik, ayam, kucing yang ada masalah. Apa kaitan itu semua dengan pendidikan percuma?
Sikap mencela dan menghina jelas kelihatan. Menurut orang-orang seperti Zohra, jika ada kalangan rakyat yang tidak suka corak pemerintahan yang sedia ada, maka mereka keluar sahajalah daripada negara ini. Seruan seperti ini tentu sahaja tidak sihat.
Bagaimanapun Zohra mungkin cuba membawa isu manusia rakus ketika menyebut contoh kucing yang bermasalah termasuk ikan jerung itu. Tapi sedarkah beliau bahawa kerakusan itu ada di mana-mana sahaja termasuklah di Putrajaya sendiri.
Perbincangan ini tidak boleh membawa fikiran kita ke mana-mana jika forum itu telah pun dikawal oleh satu pihak. Cuma satu pihak sahaja yang ingin menguatkuasakan pandangan mereka, sekali gus menafikan suara orang lain.
Universiti kini khususnya di UUM telah jadi gelanggang berat sebelah, medan pertarungan debat yang membosankan lantaran wujudnya sikap yang enggan meraikan beza pendapat sesama kita. Jadi, siswa pencetus perubahan ini perlulah membuka ruang baru pula.
Ruang baru itu mungkin perlu dibuat di restoran berdekatan UUM jika sekatan fikiran ini masih dilakukan pentadbiran kampus. Forum di restoran ini mesti disebarluas di Youtube sebagai bukti bahawa IPT tidak mengizinkan wacana pendidikan percuma itu didebatkan.
Wacana pinggiran tentang pendidikan percuma ini biar berlanjutan dan tak akan terputus selepas pembantaian perkhemahan 'occupy' di Dataran Merdeka dan penahanan Umar di Penjara Kajang itu. Fokus mahasiswa selepas ini adalah Syarifah Zohra.
Bagaimanakah anda ingin 'memerangkap' beliau untuk berucap sekali lagi mengenai ikan jerung, ayam, dan burung yang bermasalah dan hubungannya dengan kerakusan manusia yang selalu mengadu masalah di negara ini?
Atau, anda boleh minta Sinar Harian dan TV9 anjurkan debat tentang kebebasan bersuara dan pendidikan percuma untuk dibahas tuntas bersama Ambiga dan lain-lain tokoh.
Kini Syarifah Zohra telah menjadi suara baru bagi orang-orang Umno. Sayanglah jika bakat berdebat (baca: menyekat hujah) ini disia-siakan oleh Najib. Untung-untung, dia akan jadi calon pilihan raya dengan manifesto - ke arah jihad menentang pendidikan percuma!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment