Thursday, April 25, 2013

Dian, menyalakan api ‘Politik Sunnah’

Oleh H FANSURI

“Tidak dapat diragukan, orang Muslim diharamkan berbai’at kepada penguasa mana pun yang tidak komited terhadap Islam. Baiat yang membebaskannya daripada dosa adalah baiat terhadap orang yang berhukum dengan apa yang diturunkan Allah.

“Jika tidak ada, maka semua orang Muslim berdosa hingga ada penerapan hukum Islam, sehingga ada pula baiat yang dituntut itu.” - (Dr Yusuf al-Qardhawi, Fiqh ad-Daulah dalam perspektif al-Quran dan as-Sunnah), halaman 29.

Thursday, April 11, 2013

Umno haram, perlukah S46 hidup semula?

Oleh H FANSURI

Biar pun Semangat 46 dahulu pernah dianggap sebagai pengacau namun daripada suatu sudut lain, parti itu sah taraf dan tidak haram seperti parti induknya, iaitulah Umno.

Walaupun ada dakwaan bahawa PAS juga berasal daripada pergeseran Umno dengan golongan ulama di dalam parti berkenaan, namun setidak-tidaknya PAS adalah parti halal selepas keluar daripada Umno.

Jadi, dikeluarkan PAS daripada Umno, bukanlah kerana PAS itu jahat, tapi sebaliknya Allah tidak inginkan PAS sebagai parti halal dibiarkan terus-menerus menyatu diri dengan parti haram Umno itu.

Hari ini, setelah bubar Parlimen, maka tiada yang lebih parah dibanding berita pengharaman parti. Isu ini timbul gara-gara pilihan raya semakin hampir. Jikalau pilihan raya masih jauh, maka perkara ini tidak pun diheboh-hebohkan. Bagaimanapun, mungkin semua ini berlaku atas rahmat Allah s.w.t juga.

Jika kesedaran mengenai pengharaman Umno ini wujud beberapa bulan sebelum terbubarnya Parlimen, maka Umno mungkin berpeluang menghalalkan kembali parti itu. Kini, operasi menyucikan Umno makin memenatkan. Parlimen telah dibubarkan. Masih adakah waktu bagi menyucikan parti haram Umno itu?

Segalanya bermula dengan gegaran Umno Tanah Merah. Ada pergolakan melibatkan perebutan jawatan pada tahun 2008. Sedikit kesilapan ahli-ahlinya boleh membawa padah kepada parti.

Menurut ceritanya, ada kalangan mereka yang mahu bertanding dalam jawatan penting pada ketika itu. Dan mereka didapati tidak membayar yuran. Malah, mereka terdiri daripada ahli-ahli cawangan haram.

Ekoran itu, pertikaian itu memaksa kes itu dibawa ke mahkamah. Dan, keputusannya mengejutkan. Ada 126 cawangan Umno di Tanah Merah yang tidak berdaftar. Sekali gus, hal ini menjadikan cawangan itu telah jatuh hukum haram di sisi perundangan.

Melalui sistem perwakilan ini, maka cawangan haram Umno ini yang mengirim perwakilan ke peringkat bahagian secara tidak langsung sudah menjadikan Umno bahagian itu sebagai persatuan haram.

Dan ketika peringkat Umno bahagian mengirim para perwakilannya ke Perhimpunan Agong Umno, maka secara tidak langsung, segala persidangan Umno itu menjadi persidangan yang haram.

Tidak cuma persidangan itu haram. Malahan perwakilan haram yang menaikkan pemimpin itu juga telah menjadikan Umno sebagai sebuah parti yang haram di sisi undang-undang negara.

Dan, masalah Umno sebagai parti haram ini bukannya baru. Ia telah bermula sejak pertengahan 1980-an lagi. Rupa-rupanya, parut luka oleh kesakitan yang lama itu kini berdarah kembali.

Ditinjau daripada segi pandangan agama, pemimpin yang dilantik itu mesti diangkat dengan hukum, akta yang dipersetujui oleh semua orang. Tetapi ini tidak berlaku. Sebaliknya Umno masih kekal haram dan ia tidak peduli walaupun rakyat menyedari bahawa parti itu sudah pun haram.

Barangkali, kerana inilah negara tidak mendapat rahmat dan gagal meraih keberkatan apabila mentadbir dengan cara yang melanggar undang-undang yang mereka sendiri ciptakan.

Kesan daripada semua ini adalah, umat kini telah ditadbir sebuah pertubuhan parti yang haram dan undi rakyat ke atas Umno dengan sendirinya telah menjadi undi yang haram. Kalau pun tidak haram daripada suatu segi, namun ia tetap membawa maksud – mengurangi keberkatan dalam pemerintahan.

Merujuk senarai pendaftaran, didapati sekitar 75 peratus daripada belasan ribu cawangan Umno seluruh negara tidak pernah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sejak Umno Baru ditubuhkan. Hal ini perlu dijelaskan semula oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1988.

Selepas kelahiran Umno Baru pada 1988, cuma Najib Razak sahaja satu-satunya PM yang tidak berpaling tadah kepada Semangat 46. Abdullah Ahmad Badawi pernah berpaling tadah ke arah parti halal S46 itu.

Sejak dahulu, yang bersih dan ingin dibersihkan Tuhan pasti tertendang keluar daripada Umno Baru. Dan inilah rahsianya, kenapa sulit benar hendak dibuat transformasi dalam Umno Baru itu sendiri.

Jika umat sedar bahawa mereka sudah mengundi parti haram selama ini, lalu mereka berasa insaf, maka ini mengundang petaka buruk terhadap Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengasas Umno Baru itu. Adakah Umno Baru akan dibubarkan selepas pembubaran Parlimen dan S46 dibentuk semula?

Masih ada ruang bagi Ibrahim Ali dan Rais Yatim untuk bermimpi melompat diri serta melonjakkan nama sebagai Perdana Menteri (atau Ketua Pembangkang) selepas mengguling Najib Razak di Putrajaya nanti.

Wednesday, April 10, 2013

Kebebasan media perlu dituntut di jalan raya

Kebebasan media pilihan raya perlu dituntut di jalan raya

Oleh H  FANSURI

Ketika ini acara LIMA 13 pun tamatlah sudah di Langkawi. Terleka sebentar cerita derita Lahad Datu itu. Lupalah kita kepada hal-hal tragedi yang menimpa balu-balu tentera.

Ganjil ketika memikirkan -- bagaimana kerajaan masih ingin mempamerkan kehebatan peralatan tentera apabila rakyat mengetahui peralatan tentera kita masih ‘lemah’ ekoran terjadinya bolosan di Sabah.

Monday, April 01, 2013

Bezanya Ainun Habibie dengan Rosmah Najib

Oleh H FANSURI

Sejak buku autobiografi Rosmah itu dilancarkan, maka tidak sedikit buku itu mengundang kutukan dari langit. Kutukan dari langit itu sudah diterjemahkan lewat impian segala hati manusia untuk mengejinya.

Sementara itu di pihak Umno pula -- ketika catatan ini ditulis -- belum ada mana-mana pihak Umno yang sudi membuat diskusi bertujuan mengangkat wacana berhubung buku ini. Agaknya Umno juga mengerti bahawa Rosmah itu bebanan buat seluruh alam termasuk Umno.

“Kalau Umno nak kalah cepat,” kata seorang teman, “Banyakkan perbahasan tentang buku Rosmah itu.”

Masalah demokrasi Malaysia wajib diketahui semua negara

Oleh ALI BUKHARI AMIR

“Democracy needs support and the best support for democracy comes from other democracies. Democratic nations should... come together in an association designed to help each other and promote what is a universal value — democracy.”

Api kata-kata itu meletus, dinyalakan Benazir Bhutto dalam suatu ucapan di Universiti Harvard tanggal 1989. Bhutto berpendapat amalan demokrasi itu perlu didokong sesama manusia khasnya melibatkan bangsa-bangsa di dunia. Pendek kata, demokrasi itu perlu diraikan oleh masyarakat antarabangsa.

Amalan demokrasi itu bukannya milik peribadi amalan Malaysia sahaja malahan itu turut diamalkan oleh rakyat di serata dunia. Rata-rata bangsa hari ini masih mendakap pengertian demokrasi, kalau pun tidak, ia pasti meresapkan demokrasi itu ke dalam acuan pemikiran bangsanya sendiri.

Misalnya Sukarno hadir dengan gagasan Demokrasi Terpimpin dan selepasnya Dr Mahathir Mohamed di mana beliau memilih kata-kata madah berhelahnya - “kita perlu demokrasi dalam acuan kita sendiri.”

Di Amerika Syarikat berdengung dan bergema pula kata-kata ‘We The People.” Ringkasnya, segala warna bangsa manusia berterusan mengungkap makna demokrasi dengan resapan perkataan mereka sendiri.

Apakah kata-kata mereka itu benar-benar menyepakati jiwa dan semangat demokrasi maka hal itu perlu kita semak selalu agar tidak terjadinya perlanggaran hak sesama manusia atas nama demokrasi pula.

Dan, demikianlah yang terjadi di negara kita hari ini setelah amalan demokrasi nampaknya kucar-kacir di mana-mana sahaja. Di segala tempat, manusia hadir di kawasan lapang lalu meneriakkan kata-kata oleh bebanan ketidakadilan yang dikenakan ke atas diri sendiri. Pekerja  CIMB misalnya telah memberontak.

Ya, banyak hal tidak sihat mutakhir ini, khasnya apabila melihat ‘kemajuan’ perkembangan pembubaran Parlimen. Kita mesti bersetuju atas suatu perkara, iaitulah semua ini menambah gelisah, menuang derita di hati rakyat. Banyak rancangan menjadi tergendala dengan tiba-tiba.

“Nak pergi melancong pun susah,” kata seorang teman. “Nanti kalau pergi ke luar negara, tiba-tiba Najib Razak umum nak bubar Parlimen. Takut tak sempat nak balik untuk mengundi dan mengguling Najib.”

Itu baru satu pendapat. Mungkin jikalau dibuat tinjauan, nescaya ramai orang yang akan menyatakan hal yang sama. Jejak pendapat itu penting bagi menyemak keseluruhan resah yang bertakung di hati rakyat.

Secara tidak kita sedari, rakyat sedang menyerah buta sahaja urusan mentadbir negara ini ke atas orang-orang bodoh. Tidak hanya bodoh, mereka juga penakut dalam erti kata – takut berdepan kekalahan.

Semangat demokrasi yang dijunjung dan dijulang selama ini seakan-akan jadi mati dan tidaklah bernafas lagi apabila Najib Razak mula melambat-lambatkan kematian Barisan Nasional.

Dalam tradisi khurafat Melayu, orang yang membela hantu, jembalang (jin dalam balang?) akan mati jua dengan penuh kehinaan. Tapi, manusia tetap melihat mereka itu masih hidup dan kuat makan. Apa yang terjadi sekarang lebih kurang begitulah juga. Yang menghuni tubuh manusia bukanlah jiwa dan roh lagi.

Tapi, kuasa kejahatan yang masih bernaung di balik jasad pengamal ilmu sesat dan ilmu hitam itu. Maka, di dalam kuasa eksekutif itu pun demikianlah juga. Orang tidak melihat kuasa kejahatan yang mentadbir Parlimen kita kerana tidak terlihat asap kemeyan dan tengkorak yang menakutkan.

Tetapi, percayalah saudara-saudara (ini bukannya ‘Amanat Haji Hadi’)! Kuasa kejahatan itu memang ada. Selepas 8 Mac lalu, roh Parlimen, jiwa syura, dan semangat demokrasi itu sudah lama mati.

Kita kini sedang berdepan dengan Parlimen yang dipenuhi puak-puak puaka kejahatan. Kita sudah ditipu dengan helah Lahad Datu dan umat diperdayakan dengan lembaga-lembaga kemunafikan. Gambaran di fikiran kita dibayangi dengan darurat jika berlaku demonstrasi lagi.

Kitaran kebodohan ini diwarnai media awam raya. Selepas 8 Mac, media awam kita sepatutnya bersujud rukuk di bawah lembaga khas yang bebas oleh sebarang kawalan kerajaan. Kerajaan kini tak lagi wujud.

Roh dan jiwa manusia yang memelihara jin itu sebenarnya telah pun lama mati dan jasad pengamal ilmu hitam itu kini dikuasai jin yang dipeliharanya selama ini. Sudah lama Melayu dikuasai ketakutan ini.

Dalam sejarah, hanya ada satu watak manusia sahaja yang sudah lama mati tapi jin-jin sendiri masih lagi hidup dibelenggu oleh rasa takut kerana menyangkakan manusia itu masih lagi hidup memerintah.

Adapun nama manusia itu - Raja Sulaiman. Baginda wafat dalam keadaan berdiri sehingga jin-jin berkata selepas kewafatannya, “Kalaulah kita tahu Sulaiman sudah mati, nescaya tidak kita dihinakan sebegini.”

Jin itu mengetahui kematian Raja Sulaiman setelah tongkatnya patah oleh anai-anai yang memakannya. Maka, kita sekarang pun demikianlah juga halnya. Yang lama mati adalah kerajaan yang dilanjutkan itu.

Sekarang menjadi tugas semua untuk terus berikhtiar dan berusaha menyedarkan masyarakat agar tidak lagi patuh ke atas kerajaan yang sudah lama hilang mandatnya itu.

Demam pilihan raya tidak menunjukkan kebahnya. Batuk-batuk demokrasi tiada ditemukan penawarnya lagi buat masa ini. Sikap menanti sudah tidak relevan dalam keadaan yang memaksa kita semua menjadi doktor. Semua kita perlu terlibat sama dan berikhtiar membuat pembedahan ke atas sakit demokrasi.

Sakit-sakit demokrasi ini telah lama melepuh dagingnya. Bentan sakitnya merayap, berdenyut-denyut ke urat sarafnya dan hampir-hampir merosakkan tulang belakangnya. Jin dan segala hantu puaka itu sudah lama mentadbir kita tanpa mandat yang diberikan. Ya, kita perlu membedah rawat demokrasi kita kini.

Menjadi tugas kita semua merakyatkan wacana demokrasi agar dikongsi bersama pihak luar negara dan biar ia turut hangat dibahaskan dengan kedutaan pihak jua. Benazir Bhutto telah matii ditembak tentera Musharraf. Tetapi, pesanan wasiat dan kata-katanya itu belum pernah mati di hati semua kita.

“Demokrasi perlu didokong bersama oleh masyarakat yang turut menghargai demokrasi…”